Baca Qunut Nazilah terhadap seteru politik melampaui batas

PUTRAJAYA, 19 Julai 2024 – Tindakan Ahli Parlimen pembangkang membaca Qunut Nazilah selepas Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung enam bulan daripada persidangan Dewan Rakyat disifatkan bertentangan prinsip Islam sebenar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismai berkata, memohon kehancuran terhadap lawan politik adalah satu perbuatan yang melampaui batas.

Beliau berkata, perbuatan membaca Qunut Nazilah terhadap musuh politik juga tidak menggambarkan akhlak politik Islam.

“Semalam Ahli Parlimen Jasin (Zulkifli Ismail) membaca Qunut Nazilah terhadap lawan politiknya. Ini bukannya akhlak politik Islam, jauh sekali hendak kata ini ajaran Islam.

“Dibacakan dalam Dewan Rakyat, jelas beliau (Zulkifli) cuba berselindung di sebalik imuniti Parlimen,” katanya ketika sidang media di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia terutama beragama Islam untuk melihat perkara ini dengan jelas bahawa perbezaan fahaman politik tidak membezakan akidah atau keimanan.

“Membaca Qunut Nazilah jelas bertentangan dengan sejarah dan tujuan asal Qunut Nazilah iaitu pada zaman nabi, zaman khalifah dan zaman Saidina Ali.

“Qunut Nazilah seharusnya tidak diguna untuk mendoakan kehancuran terhadap seteru politik sesama umat Islam, apa lagi di Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau sebagai Menteri Dalam Negeri mengingatkan sebarang bentuk amalan ekstremis dan pelampau seperti ini harus ditolak oleh rakyat Malaysia.

“Perbezaan politik tidak sepatutnya disamakan dengan pendekatan takfiri atau khawarij yang melihat beza politik itu sebagai lawan, yang sampai (tahap) kita doakan kehancuran.

“Ini bukan akhlak politik Islam… perbezaan pandangan politik tak boleh jadi alasan untuk menghakimi iman atau soleh seseorang itu,” katanya.

Semalam, media melaporkan Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang digantung daripada persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan kerana membangkitkan surat layang ketika perbahasan, dengan diiringi bacaan Qunut Nazilah oleh sebahagian Ahli Parlimen pembangkang lain.

Bacaan Qunut Nazilah yang lazimnya dibaca oleh umat Islam bagi mendoakan musuh agama atau dalam situasi perang dipimpin dipimpin Zulkifli yang juga salah seorang pemimpin PAS Melaka.