Zakat: Aset ESG terpendam Malaysia

Zakat jika disalurkan secara strategik, ia juga boleh menjadi salah satu senjata terkuat Malaysia untuk mencapai hasil ESG, terutamanya dalam dimensi ‘S iaitu impak sosial.

Feature Image

APABILA kita memikirkan tentang piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), laporan kemampanan kelestarian korporat pasti akan terlintas di fikiran.

Terkini, ESG telah menjadi satu kewajipan dalam dunia pelaburan dan pengawal selia global. Namun, di sebalik hamparan pelaporan kelestarian yang berjela dan kad skor kelestarian para syarikat korporat, terdapat satu sumber aset ESG yang diabaikan di negara kita.

Sumber ini mempunyai sejarah yang berabad lamanya dan mencapai berbilion ringgit. Sumber aset ESG ini adalah zakat!

Zakat, sedekah yang diwajibkan bagi umat Islam, bukan sekadar kewajipan agama. Ia adalah alat ekonomi, pengagihan semula kekayaan yang direka untuk membantu meningkatkan taraf masyarakat yang terkesan.

Zakat jika disalurkan secara strategik, ia juga boleh menjadi salah satu senjata terkuat Malaysia untuk mencapai hasil ESG, terutamanya dalam dimensi ‘S iaitu impak sosial.

Zakat: Bukan Sekadar Sedekah

Di Malaysia, setiap tahun, pihak berkuasa zakat negeri mengutip berbilion ringgit daripada pembayar cukai Islam.

Menurut Jabatan Zakat, Wakaf dan Haji (JAWHAR), kutipan zakat di seluruh negara melebihi RM3 bilion pada 2023.

Dana ini disalurkan kepada penerima manfaat yang layak di bawah undang-undang Islam seperti fakir, miskin, muallaf, riqab, gharimin, fisabilillah dan ibnu sabil.

Secara tradisinya, agihan zakat memfokuskan kepada bantuan segera iaitu bantuan makanan, sokongan tunai dan penjagaan kesihatan asas tetapi kini dengan kehadiran ESG, terdapat peluang untuk dana zakat beralih daripada badan amal reaktif kepada impak proaktif.

Kutipan zakat Malaysia mampu beralih daripada sekadar pemberian kepada pemerkasaan ekonomi sejagat.

Bagaimana Zakat Sejajar dengan Matlamat ESG

1. Sosial (S): Membina Daya Tahan
Zakat boleh digunakan untuk membiayai program pembiayaan mikro bagi usahawan kecil atau menyediakan servis penjagaan kesihatan yang mampu milik kepada komuniti terpinggir seperti yang dilakukan oleh Hospital Wakaf An-Nur Johor dengan kerjasama dana zakat.

2. Alam Sekitar (E): Membantu Komuniti Terdedah Ancaman Iklim
Walaupun dana zakat tidak bersifat alam sekitar, ia boleh disalurkan untuk membantu masyarakat yang dilanda banjir, kemarau atau bencana iklim yang lain. Ia boleh menjadi pelengkap kepada bantuan kerajaan, sambil mengukuhkan tumpuan ESG kepada kesaksamaan sosial yang terkesan akan ancaman iklim.

3. Tadbir Urus (G): Ketelusan dan Akauntabiliti
Institusi zakat boleh menerima pakai pelaporan kelestarian ESG untuk menunjukkan bukan sahaja cara dana diagihkan, tetapi juga kesan agihan dana tersebut. Pelaporan ini memupuk ketelusan dan akauntabiliti badan zakat negeri dan akan mengukuhkan lagi kepercayaan orang ramai. Para penderma zakat dapat melihat bahawa dana derma mereka telah digunakan untuk hasil yang berimpak kepada mereka yang memerlukan.

Contoh dan Inovasi Awal

Beberapa negeri Malaysia telah mula bereksperimen dengan program zakat yang sejajar dengan ESG. Sebagai contoh, lembaga zakat Selangor, telah membiayai program keusahawanan mikro dan peningkatan kemahiran digital untuk belia.

Di Pulau Pinang, peruntukan zakat menyokong intervensi pendidikan dan kesihatan melalui KPI yang boleh diukur.

Di peringkat antarabangsa, Badan Amil Zakat Nasional (BAZNAS) Indonesia telah melancarkan inisiatif ‘Zakat untuk SDGs’. Ia menghubungkan zakat dengan Matlamat Pembangunan Lestari oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN’s Sustainable Development Goals) iaitu satu model yang boleh disesuaikan di Malaysia.

Cabaran untuk Diatasi

Untuk menjadikan zakat sebagai instrumen ESG yang berkesan dan serius, tiga halangan perlu ditangani:

1. Jangka pendek: Banyak zakat masih disalurkan sebagai bantuan jangka pendek dan bukannya pemerkasaan sosial jangka panjang.

2. Tidak sekata: Pentadbiran zakat adalah berasaskan negeri, ini mewujudkan amalan tidak sekata dan skala terhad untuk membina program-program inovatif.

3. Kekurangan Metrik ESG: Beberapa institusi zakat pada masa ini mengukur impak melalui jumlah agihan, ini menghilangkan peluang untuk menunjukkan impak agihan zakat yang sebenar kepada Masyarakat yang memerlukan.

Namun begitu, cabaran ini boleh diatasi. Malah, cabaran-cabaran ini mencerminkan isu ESG yang sama yang dihadapi di seluruh dunia, bagaimana untuk memastikan bahawa niat baik untuk membantu itu dapat diterjemahkan kepada perubahan yang boleh diukur dan mampan.

Pelan Tindakan

Untuk membuka potensi ESG zakat, Malaysia boleh:

• Membina ‘Dana Impak Zakat’: Memperuntukkan sebahagian zakat untuk inisiatif jangka panjang sejajar ESG seperti latihan vokasional, pekerjaan hijau atau ketahanan terhadap bencana.

• Mengguna pakai Rangka Kerja Pelaporan ESG: Seragamkan pelaporan tentang bagaimana zakat dikumpul, dilaburkan, dan diagihkan, dengan metrik berasaskan hasil, sama seperti cara syarikat melaporkan pencapaian ESG mereka.

• Manfaatkan Perkongsian: Bekerjasama dengan korporat, NGO dan institusi wakaf untuk membiayai bersama projek berimpak tinggi. Sebagai contoh, program gabungan di mana dana zakat menyediakan sokongan sosial manakala modal swasta membiayai infrastruktur.

Peluang Malaysia Memimpin

Jika Malaysia boleh mentafsir semula zakat sebagai alat untuk ESG, ia bukan sahaja akan memenuhi kewajipan agama tetapi juga mempelopori model kemampanan yang didorong oleh agama untuk seluruh dunia.

Negara-negara majoriti Islam lain, dari Indonesia hingga Turki, sudah pun bereksperimen dengan idea yang sama. Dengan ekosistem kewangan Islamnya yang maju, Malaysia berada di sebuah situasi yang unik untuk menerajui pembangunan zakat ESG.

Potensi ganjaran daripada pembangunan ini adalah sangat besar, jaringan keselamatan sosial yang lebih kukuh, komuniti yang diperkasakan dan model ESG tempatan yang berakar umbi dalam nilai-nilai keagamaan tempatan.

Persoalannya ialah sama ada pihak berkuasa zakat, pengawal selia dan sektor swasta bersedia untuk keluar daripada pemikiran ‘amal’ dan mengamalkan pemikiran ‘impak’.

Konsep zakat sangat tertanam dalam struktur sosial dan kerohanian negara. Dengan menyelaraskan zakat dengan prinsip ESG, Malaysia boleh membina rangka kerja kemampanan yang bukan sahaja patuh syariah, tetapi signifikan dalam membasmi kemiskinan sejagat!


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.