Lebih 21,000 peserta gamatkan acara larian Twincity Marathon 2026
Jumlah penyertaan yang ramai ini mungkin disebabkan oleh peningkatan dari segi jumlah mereka yang semakin aktif dalam acara larian.
LEBIH 21,000 peserta menyertai acara larian Twincity Marathon 2026 yang berlangsung di Dataran Putrajaya baru-baru ini.
PUTRAJAYA, 20 Januari 2026 – Sebagai pembuka acara larian bagi tahun 2026, Twincity Marathon 2026 bukanlah satu acara yang asing bagi penggemar aktiviti sukan larian di negara ini.
Malah, saban tahun jumlah penyertaan yang dicatatkan menunjukkan peningkatan yang ketara melibatkan peserta daripada seluruh pelusuk dunia.
Jika pada edisi tahun lalu seramai 13,000 orang peserta telah mendaftar untuk menyertai acara Twincity Marathon 2025, pada tahun ini acara itu telah berjaya menarik penyertaan lebih daripada 21,000 orang daripada 33 buah negara.
Pengarah Urusan Ten Senses (M) Sdn., Bhd., (Ten Senses) yang juga penganjur acara Twincity Marathon 2026, Mohd. Bukhari Ismail berkata, pihaknya mengakui agak terkejut dengan sambutan yang diberikan oleh para peserta bagi acara itu yang sudah memasuki edisi ke-11 penganjurannya sejak tahun 2014.

“Kami telah membuka pendaftaran bagi semua kategori seawal bulan Jun 2025 dan merancang untuk membukanya sehingga Disember 2025 dengan sasaran awal seramai 18,000 penyertaan.
“Namun pada November 2025, kami terpaksa menutup pendaftaran disebabkan jumlah penyertaan sudah melebihi 21,000 orang berbanding edisi 2025 yang mencatatkan lebih 13,000 penyertaan.
“Jumlah penyertaan yang ramai ini mungkin disebabkan oleh peningkatan dari segi jumlah mereka yang semakin aktif dalam acara larian, selain jenama ‘Twincity Marathon’ yang semakin kukuh sebagai salah satu acara larian maraton yang terkemuka di negara ini.

“Mungkin atas dasar itulah, ramai peserta yang menjadikan Twincity Marathon sebagai medan untuk menguji kemampuan diri masing-masing setelah sekian lama berlatih,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Bukhari berkata, bagi edisi 2026 yang telah berlangsung pada 17 dan 18 Januari 2026 di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya, terdapat enam jarak larian yang ditawarkan melibatkan larian 3 kilometer (KM), 5 KM, 10 KM, 12 KM, 21 KM dan 42 KM.
“Bagi jarak larian 12 KM, 21 KM dan 42 KM, penyertaan dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu kategori terbuka melibatkan peserta berusia antara 16 tahun hingga 39 tahun dan kategori veteran bagi peserta berusia 40 tahun ke atas.

“Untuk jarak larian 10 KM pula, ia dikhususkan untuk kategori ‘friendship run’ iaitu acara larian berkumpulan dan penyertaan dibuka kepada semua peringkat usia.
“Bagi kategori 5 KM pula, penyertaan melibatkan peserta berusia lima tahun ke atas manakala bagi jarak larian 3 KM dikhaskan untuk kategori kanak-kanak berusia antara 5 hingga 12 tahun dan kategori remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun,” katanya.
Mohd. Bukhari berkata, pada setiap kali penganjuran acara larian Twincity Marathon, acara tumpuan adalah melibatkan jarak larian 12 KM, 21 KM dan 42 KM yang mencatatkan penyertaan teramai.
Bagi edisi kali ini yang bermula di Dataran Putrajaya, seramai 4,500 orang telah mendaftar bagi acara jarak 12 KM, manakala bagi jarak 21 KM dan 42 KM pula masing-masing mencatatnya penyertaan seramai 10,600 orang dan 3,500 orang.
Tiga lagi kategori iaitu 10 KM, 5 KM dan 3 KM menyaksikan masing-masing disertai seramai 1,300 peserta, 1,500 peserta dan 200 peserta.

“Berbanding tahun lalu, kami telah melakukan sedikit perubahan pada laluan larian bagi membolehkan peserta menikmati pemandangan yang berbeza di sepanjang laluan larian berbanding tahun-tahun sebelum ini.
“Malah, persekitaran Putrajaya dan Cyberjaya yang mempunyai pelbagai daya tarikan sudah pasti menyajikan pemandangan yang indah kepada setiap peserta di sepanjang larian.
“Lebih menarik apabila data menunjukkan lebih daripada 85 peratus peserta berjaya menamatkan larian mengikut masa yang ditetapkan bagi setiap acara,” ujarnya.
Mengulas mengenai pemenang, acara 42 KM bagi kategori lelaki terbuka dimenangi pelari Malaysia, Muhamad Haziq Hamzah dengan catatan masa 2jam 41 minit 41 saat (2:41:141) manakala kategori wanita terbuka pula diungguli Noor Pamela Musa dengan masa larian 3:13:05 saat.
Kategori veteran lelaki 42 KM pula dimenangi Nik Fakaruddin Ismail (2:48:37) dan Lee Siok Chin mengungguli kategori veteran wanita.
Untuk kategori lelaki dan wanita antarabangsa 42 KM pula masing-masing dimenangi Kazuto Sato dan Vu Khanh Linh.
Bagi acara larian 21 KM terbuka, ia dimenangi oleh Wan Azizul Wan Rosley (terbuka lelaki), Chua Khit Yeng (terbuka wanita), Muhaizar Mohamad (veteran lelaki), Ng Mei Mei (terbuka wanita), David Kibet (antarabangsa lelaki) dan Nami Kanai (antarabangsa wanita).
Kesemua pemenang berjaya membawa hadiah wang tunai beserta trofi kemenangan.

Mohd. Bukhari berkata, sebagai acara larian ikonik, Twincity Marathon yang sudah memasuki edisi ke-11 pada tahun ini tidak hanya sekadar pertandingan tetapi juga simbol semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan para peserta melangkaui usia, gender, bangsa dan negara.
Justeru, bagi penganjuran edisi seterusnya, pihaknya akan terus berusaha untuk melakukan penambahbaikan bagi membolehkan setiap peserta merasai pengalaman unik setiap kali menyertai acara larian Twincity Marathon.
Untuk rekod, sejak dianjurkan bermula sedekad lalu iaitu sejak tahun 2014, acara larian Twincity Marathon telah berjaya menarik penyertaan lebih daripada 70,000 peserta daripada pelbagai negara.
Twincity Marathon 2026 dijayakan dengan sokongan penuh daripada Perbadanan Putrajaya, Pulse Group, Majlis Perbandaran Sepang selain sokongan dari Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan, Hospital Pakar Avisena Shah Alam, Selgate Corporation, Rokeby, Boom+, Paramount Corporation Berhad dan Kahf.
