Sebuah ingatan kepada anak-anak yang culas
Pemberian nafkah kepada ibu bapa merupakan satu bentuk tanggungjawab sosial yang sewajarnya difahami dan diamalkan secara berterusan.

PERANAN dan tanggungjawab dalam menjaga ibu bapa merupakan amanah yang perlu dilunaskan oleh setiap anak-anak sebagai kewajipan dan keutamaan dalam menghormati hak ibu bapa.
Tanggungjawab ini bukan sahaja berteraskan tuntutan moral dan agama, malah mencerminkan nilai kemanusiaan dan kesejahteraan sosial yang perlu diterapkan khususnya dalam kalangan anak-anak yang telah memasuki alam pekerjaan.
Pemberian nafkah kepada ibu bapa merupakan satu bentuk tanggungjawab sosial yang sewajarnya difahami dan diamalkan secara berterusan.
Dalam konteks ini, konsep nafkah secara umumnya bersifat luas dan merangkumi pelbagai aspek, termasuk sokongan kewangan, bantuan emosi, penyediaan tempat tinggal serta penjagaan kebajikan ibu bapa dari sudut kesihatan, fizikal, mental dan emosi.
Walau bagaimanapun, pemberian nafkah dalam bentuk kewangan menjadi keutamaan, terutamanya terhadap ibu bapa yang tidak berupaya, uzur atau tidak mempunyai sumber pendapatan tetap bagi menampung keperluan asas kehidupan seharian.
Usaha kerajaan untuk mewajibkan pemberian nafkah kepada ibu bapa uzur dijangka dibentangkan di Parlimen yang akan mula bersidang pada Mac 2026. Langkah proaktif ini menandakan permulaan dasar penting bagi tahun 2026 yang berpotensi memberikan impak positif terhadap pemerkasaan sistem penjagaan ibu bapa, khususnya dalam konteks Malaysia yang sedang menuju status negara tua menjelang tahun 2030.
Inisiatif ini telah menerima sambutan yang baik daripada masyarakat, terutamanya dalam usaha menguatkuasakan enakmen khas berkaitan nafkah terhadap ibu bapa yang tidak mempunyai pendapatan atau tidak berupaya, khususnya bagi menangani kes anak-anak yang culas dalam melaksanakan tanggungjawab pemberian nafkah.
Namun, tidak kurang juga pihak yang menyuarakan rasa kurang senang dengan penguatkuasaan melibatkan undang-undang, yang bersifat mandatori untuk dilaksanakan pada setiap bulan.
Isu nafkah terhadap ibu bapa wajar ditangani melalui peruntukan undang-undang yang jelas dan berkesan, selaras dengan tuntutan hukum Islam yang menekankan kewajipan berbakti kepada ibu bapa.
Dalam hal ini, para ulama bersepakat bahawa pemberian nafkah kepada ibu bapa yang tidak berupaya merupakan suatu kewajipan yang tidak boleh diabaikan dan kadar nafkah tersebut tidak ditetapkan secara khusus, sebaliknya bergantung kepada kemampuan setiap anak.
Situasi ini telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada masyarakat, yang secara umumnya menyambut baik cadangan tersebut sebagai satu usaha menjaga kemaslahatan ibu bapa yang telah berkorban dan bersusah payah membesarkan anak-anak.
Dalam konteks Malaysia, negeri Kelantan telah muncul sebagai negeri perintis dalam menggubal peruntukan undang-undang yang mewajibkan anak-anak menanggung nafkah ibu bapa, selaras dengan cadangan yang dikemukakan di peringkat Persekutuan.
Inisiatif ini direalisasikan melalui kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Keluarga Islam 2025 yang telah dibentangkan dan diluluskan di peringkat Dewan Undangan Negeri Kelantan pada November 2025.
Peruntukan tersebut memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan anak atau cucu menunaikan tanggungjawab nafkah terhadap ibu, bapa, datuk, nenek, moyang dan seterusnya, dengan tujuan memperkukuhkan nilai tanggungjawab dalam kalangan anak-anak serta waris terhadap kebajikan ibu bapa.
Penggubalan undang-undang nafkah ibu bapa ini bukan sahaja bertujuan memelihara institusi kekeluargaan, malah berfungsi untuk melindungi hak dan tanggungjawab ahli keluarga secara menyeluruh.
Di samping itu, penguatkuasaan peruntukan ini turut memberi perlindungan khusus kepada golongan warga emas, khususnya yang tergolong dalam kategori fakir, miskin dan tidak berkeupayaan.
Daripada perspektif hukum Islam, usaha ini bertepatan dengan kerangka maqāṣid al-sharīʿah, khususnya dalam menjaga kesinambungan keturunan dan memelihara kebajikan insan iaitu melalui penghayatan nilai tanggungjawab dan ihsan dalam menjaga kesejahteraan ibu bapa.
Justeru, setiap anak yang telah memasuki alam pekerjaan seharusnya memiliki tahap kesedaran dan kepekaan yang tinggi terhadap tanggungjawab ini dengan menunaikan kewajipan memberi nafkah secara sukarela dan berterusan, tanpa menjadikan penguatkuasaan undang-undang sebagai faktor pendorong untuk melaksanakan kewajipan memberi nafkah kepada ibu bapa. Perkara tersebut telah dinyatakan di dalam hadith Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
“Apabila Allah memberikan seseorang kebaikan (kelebihan dari sudut harta), maka mulakanlah dengan dirinya dan juga ahli keluarganya.” (Riwayat Muslim)
Ibn al-Munzir juga menyatakan bahawa berlaku ijma’ di atas kewajipan untuk diambil sebahagian daripada harta atau pendapatan anak untuk dinafkahkan kepada ibu bapa yang tidak mempunyai pendapatan atau harta.
Justeru, kewajipan memberi nafkah kepada ibu bapa yang fakir dan tidak mempunyai mata pencarian bukan sahaja menjadi tanggungjawab kepada anak lelaki, bahkan anak perempuan juga tidak terkecuali terutama apabila memiliki harta yang melebihi keperluan.

