Antara pilihan individu dan risiko masyarakat

Kes pemandu mabuk membuktikan bahawa apa yang bermula sebagai pilihan individu boleh bertukar menjadi ancaman kepada orang lain.

Feature Image

Isu pemandu mabuk bukanlah perkara baharu, namun setiap kali ia berlaku, kesannya sentiasa mengejutkan dan menyayat hati. Nyawa yang melayang, keluarga yang kehilangan insan tersayang dan trauma yang berpanjangan menjadi harga yang terpaksa dibayar akibat satu keputusan yang mungkin dianggap remeh oleh sesetengah pihak, minum minuman memabukkan.

Persoalannya, sejauh mana tindakan ini benar-benar bersifat peribadi? atau sebenarnya ia mempunyai implikasi yang jauh lebih besar terhadap masyarakat?

Dalam wacana moden, pengambilan alkohol sering dilihat sebagai hak individu. Selagi tidak mengganggu orang lain, ia dianggap sebagai kebebasan peribadi yang perlu dihormati. Namun, realiti di lapangan menunjukkan bahawa sempadan antara peribadi dan awam tidaklah sejelas yang disangka.

Kes pemandu mabuk membuktikan bahawa apa yang bermula sebagai pilihan individu boleh bertukar menjadi ancaman kepada orang lain. Apabila seseorang berada di bawah pengaruh alkohol, keupayaan membuat keputusan menjadi lemah, reaksi menjadi perlahan dan pertimbangan menjadi kabur. Dalam keadaan ini, tindakan seperti memandu bukan sahaja berisiko kepada diri sendiri, tetapi turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

Pendekatan Islam mencegah sebelum terjadi

Dalam Islam, larangan terhadap arak bukan sekadar berkait dengan dosa peribadi tetapi berakar daripada prinsip menjaga kemaslahatan umum. Arak diharamkan kerana kesannya yang merosakkan akal, iaitu satu elemen penting dalam memastikan manusia mampu membuat pertimbangan yang rasional.

Pendekatan ini sebenarnya bersifat pencegahan. Islam tidak menunggu sehingga berlakunya kemudaratan untuk bertindak, sebaliknya menutup pintu yang boleh membawa kepada kerosakan tersebut. Dalam konteks ini, larangan arak boleh dilihat sebagai satu bentuk perlindungan awal, bukan hanya kepada individu, tetapi juga kepada masyarakat.

Rantaian antara minum arak dan kemalangan jalan raya bukanlah sesuatu yang sukar difahami. Ia bermula dengan pengambilan alkohol, diikuti dengan gangguan terhadap fungsi kognitif dan akhirnya membawa kepada tindakan berisiko seperti memandu dalam keadaan tidak sedar sepenuhnya.

Apa yang lebih membimbangkan, mangsa dalam banyak kes bukanlah individu yang melakukan kesalahan tersebut. Mereka adalah pengguna jalan raya lain yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan perbuatan itu. Di sinilah timbul persoalan keadilan, mengapa orang lain perlu menanggung akibat daripada pilihan individu?

Undang-undang dan realiti semasa

Di Malaysia, isu ini ditangani melalui dua kerangka perundangan yang berbeza tetapi saling melengkapi. Dari sudut undang-undang syariah, pengambilan minuman memabukkan merupakan satu kesalahan bagi orang Islam. Sebagai contoh, di Wilayah-Wilayah Persekutuan, perbuatan tersebut boleh didakwa di bawah Seksyen 19 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, yang memperuntukkan hukuman kepada mana-mana orang Islam yang minum arak atau berada dalam keadaan mabuk.

Peruntukan ini menggambarkan bahawa Islam tidak melihat isu arak sebagai perkara remeh atau sekadar urusan peribadi, tetapi sebagai satu perbuatan yang boleh membawa kepada kemudaratan yang lebih besar.

Pada masa sama, undang-undang sivil pula memberi tumpuan kepada kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, khususnya di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman berat termasuk denda, penjara dan penggantungan lesen, terutama apabila melibatkan kemalangan atau kehilangan nyawa.

Namun begitu, kedua-dua pendekatan ini sering dilihat lebih bersifat reaktif iaitu bertindak selepas kesalahan berlaku. Hukuman dikenakan apabila individu telah pun memandu dalam keadaan mabuk, atau lebih tragis, selepas berlakunya kemalangan yang meragut nyawa.

Hukuman atau pencegahan

Sering kali, perbincangan mengenai pemandu mabuk tertumpu kepada keperluan hukuman yang lebih berat serta pampasan yang tinggi diberikan kepada mangsa atau warisnya. Namun, persoalan yang lebih penting ialah sama ada hukuman semata-mata mampu menyelesaikan masalah ini. Realitinya, hukuman datang selepas kesalahan berlaku. Ia tidak dapat mengembalikan nyawa yang telah hilang. Dalam kerangka ini, pendekatan pencegahan perlu diberi perhatian yang lebih serius.

Pendidikan, kesedaran masyarakat dan penghayatan nilai moral perlu bergerak seiring dengan penguatkuasaan undang-undang. Lebih penting, masyarakat perlu melihat isu ini secara menyeluruh, bukan sekadar sebagai kesalahan individu yang terpencil. Selagi budaya yang menormalisasikan pengambilan alkohol berterusan tanpa kesedaran tentang risikonya, selagi itu jugalah kemungkinan tragedi akan terus berulang.

Akhirnya, isu ini kembali kepada keseimbangan antara kebebasan individu dan tanggungjawab terhadap masyarakat. Adakah sesuatu itu masih boleh dianggap sebagai hak peribadi apabila kesannya boleh meragut nyawa orang lain?

Dalam hal ini, mungkin sudah tiba masanya untuk kita melihat semula bukan sahaja kepada bagaimana kesalahan dihukum, tetapi bagaimana ia boleh dicegah dari awal kerana dalam soal nyawa, setiap langkah pencegahan jauh lebih bernilai daripada sebarang bentuk hukuman selepas tragedi berlaku.