USM bantu tangani obesiti kanak-kanak sekolah Pulau Pinang melalui PROSAS

PROSAS mula dilaksanakan pada tahun 2022 sebagai program penglibatan komuniti berskala kecil melibatkan sebuah sekolah dengan hanya 20 peserta.

Feature Image (3)

OBESITI kanak-kanak bukan lagi isu kesihatan yang boleh dipandang ringan. Ia kini menjadi antara cabaran kesihatan awam paling membimbangkan di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan jumlah kanak-kanak dan remaja berumur 5 hingga 19 tahun yang mengalami obesiti telah meningkat lebih sepuluh kali ganda dalam tempoh empat dekad lalu.

Di Malaysia, situasinya turut membimbangkan apabila hampir seorang daripada tiga kanak-kanak berada dalam kategori berlebihan berat badan atau obes. Keadaan ini meningkatkan risiko mereka untuk menghidap pelbagai penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung pada usia yang lebih muda.

Di Pulau Pinang, data terkini daripada penilaian Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK) tahun 2025 menunjukkan prevalens obesiti dalam kalangan murid sekolah berumur 10 hingga 17 tahun adalah sebanyak 12.8 peratus. Lebih membimbangkan, kadar obesiti dalam kalangan murid sekolah rendah berumur 10 hingga 12 tahun adalah lebih tinggi, iaitu 14.9 peratus berbanding 11.1 peratus dalam kalangan pelajar sekolah menengah berumur 13 hingga 17 tahun.

Statistik ini jelas menunjukkan keperluan mendesak untuk melaksanakan intervensi awal yang berkesan bagi mengelakkan masalah obesiti berlarutan sehingga dewasa.

Menyedari cabaran ini, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan Program Sekolah Sihat, Aktif, Segak (PROSAS), satu intervensi digital berasaskan sekolah yang memberi fokus kepada pencegahan obesiti kanak-kanak.

PROSAS mula dilaksanakan pada tahun 2022 sebagai program penglibatan komuniti berskala kecil melibatkan sebuah sekolah dengan hanya 20 peserta. Namun, hasil kerjasama erat antara institusi pengajian tinggi, pihak sekolah, ibu bapa dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, program ini berkembang pesat sehingga kini melibatkan lebih 300 murid daripada 30 buah sekolah di seluruh Pulau Pinang pada tahun 2026.

Kejayaan ini menjadikan PROSAS sebagai salah satu program utama (flagship programme) Universiti Sains Malaysia dalam usaha memperkukuh kesihatan kanak-kanak dan menangani obesiti di peringkat komuniti.

Keunikan PROSAS terletak pada kerjasama rapat antara penyelidik universiti dan Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang. Kerjasama ini memastikan program yang dilaksanakan bukan sahaja berasaskan bukti saintifik, malah dapat disepadukan secara praktikal dalam persekitaran sekolah.

Pendekatan ini membolehkan aktiviti promosi kesihatan dijalankan secara lebih sistematik dan berterusan, sekali gus meningkatkan peluang untuk menghasilkan perubahan tingkah laku yang berkekalan dalam kalangan murid.

PROSAS menggunakan modul intervensi selama lapan minggu yang telah dibangunkan dan disahkan oleh pakar. Program ini memberi tumpuan kepada tiga komponen utama yang saling berkait iaitu amalan pemakanan sihat, kesejahteraan psikologi, dan aktiviti fizikal.

Pendekatan ini mengambil kira bahawa obesiti bukan hanya berpunca daripada pemakanan semata-mata, tetapi turut dipengaruhi oleh faktor emosi, motivasi, gaya hidup dan persekitaran sosial.

Bagi menyokong pelaksanaan program, sebanyak 24 modul kesihatan digital dibangunkan melalui aplikasi web PROSAS yang boleh diakses oleh murid, ibu bapa, guru dan pasukan penyelidik. Platform ini membolehkan pemantauan serta interaksi dijalankan secara berterusan walaupun di luar waktu persekolahan.

Satu lagi kekuatan PROSAS ialah pendekatan “tiga serangkai” yang melibatkan ibu bapa, guru dan murid sebagai agen perubahan utama.

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memantau dan menyokong perubahan gaya hidup anak-anak di rumah. Guru yang dilatih sebagai Guru Sihat PROSAS pula bertindak sebagai mentor dan pemudah cara di sekolah. Pada masa yang sama, murid digalakkan mengambil tanggungjawab terhadap kesihatan mereka sendiri.

Pendekatan menyeluruh ini penting kerana perubahan tingkah laku yang berkekalan hanya dapat dicapai apabila mesej kesihatan disampaikan secara konsisten di rumah dan di sekolah.

PROSAS turut menyokong pelbagai dasar dan strategi kesihatan negara yang menumpukan kepada pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD) dan promosi gaya hidup sihat.

Melalui fokus terhadap pemakanan sihat, aktiviti fizikal dan perubahan tingkah laku sejak usia muda, program ini membantu merealisasikan usaha kerajaan untuk membendung obesiti sebelum ia berkembang menjadi masalah kesihatan kronik pada masa hadapan.

Selain itu, penglibatan guru sebagai pendidik kesihatan turut mengukuhkan peranan sekolah sebagai platform utama dalam membentuk tabiat hidup sihat sepanjang hayat.

Maklum balas awal daripada ibu bapa dan murid menunjukkan impak yang sangat positif. Banyak keluarga melaporkan perubahan ketara dalam rutin harian mereka, termasuk peningkatan pengambilan makanan sihat dan penglibatan dalam aktiviti fizikal.

Malah, sebahagian peserta turut menunjukkan penurunan berat badan selepas mengikuti program selama lapan minggu. Guru pula melaporkan peningkatan keyakinan dalam menyampaikan pendidikan kesihatan dan melaksanakan aktiviti berkaitan obesiti di sekolah.

Maklum balas awal daripada ibu bapa, murid dan guru menunjukkan impak yang amat positif hasil pelaksanaan PROSAS. Ramai peserta melaporkan perubahan ketara dalam amalan pemakanan harian, peningkatan aktiviti fizikal dan tahap keyakinan diri yang lebih baik.

Salah seorang peserta, Sufi Harraz Rizqi Shukri, 11 tahun dari Sekolah Kebangsaan Balik Pulau, menjadi antara contoh kejayaan program ini. Menurut ibunya, Puan Hasmida, sebelum menyertai PROSAS, Sufi mempunyai berat badan sebanyak 72 kilogram dan sering mengalami keletihan ketika melakukan aktiviti harian. Selepas mengikuti program selama lapan minggu dengan bimbingan pasukan pakar, guru dan jurulatih PROSAS, berat badannya berjaya dikurangkan kepada 64.95 kilogram.

Lebih penting daripada penurunan berat badan itu sendiri ialah perubahan gaya hidup yang berjaya dibentuk. Menurut ibunya, Sufi kini lebih aktif, ceria dan mampu membuat pilihan makanan yang lebih sihat secara kendiri, termasuk mengurangkan pengambilan minuman dan makanan tinggi gula. Saiz pakaian yang dahulunya XL kini berubah kepada M atau L, mencerminkan pengurangan ukuran badan yang ketara.

Kejayaan tersebut turut memberi inspirasi kepada ibunya untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat. Beliau yang turut mengikuti amalan pemakanan sihat yang diperkenalkan melalui PROSAS berjaya menurunkan berat badan daripada 72.55 kilogram kepada 54.80 kilogram.

Menurut beliau, perubahan yang dialami bukan sekadar pada angka di atas penimbang, malah memberikan kesan positif terhadap kualiti hidup secara keseluruhan. Beliau kini berasa lebih cergas, tidur lebih lena, tidak lagi mudah tercungap-cungap ketika menaiki tangga dan kembali memperoleh keyakinan diri yang sebelum ini semakin berkurangan.

“Apa yang paling saya suka tentang PROSAS ialah program ini tidak menyeksa peserta. Kami tidak perlu berlapar atau berpantang secara keterlaluan. Semuanya dilakukan secara santai tetapi mengikut kaedah yang betul. Sebab itu perubahan yang berlaku lebih mudah dikekalkan untuk jangka masa panjang,” katanya.

Pengalaman keluarga ini menggambarkan bagaimana pendekatan PROSAS yang melibatkan murid, ibu bapa dan guru secara serentak mampu menghasilkan perubahan yang lebih menyeluruh dan berkekalan. Ia membuktikan bahawa usaha menangani obesiti kanak-kanak bukan sahaja memberi manfaat kepada mereka, malah mampu mencetuskan transformasi kesihatan dalam seluruh keluarga.

Ketika Malaysia terus berdepan peningkatan kadar obesiti dan penyakit berkaitan gaya hidup, PROSAS membuktikan bahawa intervensi awal yang berasaskan sekolah, komuniti dan teknologi digital mampu menghasilkan perubahan yang bermakna.

Lebih daripada sekadar program pencegahan obesiti, PROSAS merupakan satu model pembangunan kesihatan komuniti yang memperkasakan kanak-kanak, menyokong keluarga dan memperkukuh peranan guru dalam membentuk generasi yang lebih sihat.

Jika kejayaan awal ini dapat dikekalkan dan diperluaskan, PROSAS berpotensi menjadi model rujukan nasional dalam usaha membina masa depan yang lebih sihat untuk anak-anak Malaysia.