Ancaman ‘algospeak’ TikTok terhadap generasi muda dalam ruang digital

Algoritma juga turut diadaptasi untuk mengesan dan menyekat kandungan berbahaya, berunsur sensitif atau yang boleh mencetuskan kekeliruan dalam masyarakat.

Feature Image (2)

‘ALGOSPEAK’ merujuk kepada penggunaan bahasa dalam bentuk kod atau frasa tersembunyi yang digunakan oleh pengguna media sosial untuk mengelakkan kandungan mereka dikesan oleh algoritma platform.

Tujuan utamanya adalah untuk menghindari penyekatan atau penurunan kandungan yang berunsur negatif, sensitif atau melanggar polisi platform tersebut.

Fenomena ini semakin berkembang dalam kalangan generasi muda, terutamanya pengguna TikTok. TikTok, yang mula mendapat perhatian pada tahun 2020 semasa pandemik COVID-19, telah menjadi platform penting bagi Generasi Z dan Generasi Alfa untuk mengekspresikan diri, berkongsi kreativiti dan trend tular.

Walaupun aplikasi ini memudahkan pengguna berkomunikasi secara digital dan meluahkan diri, TikTok juga menimbulkan pelbagai risiko, terutamanya apabila ‘algospeak’ digunakan secara meluas.

TikTok, sebagai aplikasi perkongsian video yang berorientasikan hiburan dan kreativiti, memberi peluang kepada pengguna untuk berkongsi kandungan dalam pelbagai format daripada video, gambar, hingga kepada emoji dan teks.

Namun, keunikan TikTok terletak pada algoritma yang menganalisis tingkah laku pengguna seperti perkongsian, klik tanda suka dan kadar tontonan video untuk menentukan jenis kandungan yang dipaparkan kepada mereka.

Pada awalnya, algoritma bertujuan untuk memperbaiki pengalaman pengguna dengan memaparkan kandungan yang lebih relevan dan menarik. Namun, seiring dengan peningkatan penggunaan platform ini, algoritma juga turut diadaptasi untuk mengesan dan menyekat kandungan berbahaya, berunsur sensitif atau yang boleh mencetuskan kekeliruan dalam masyarakat.

Walaupun begitu, pengguna TikTok sering kali berusaha untuk memanipulasi sistem ini dengan menggunakan ‘algospeak’ untuk menyampaikan mesej tertentu tanpa dikesan.

‘Algospeak’ bukan sahaja terhad kepada penggunaan teks tetapi juga merangkumi imej, emoji dan video yang disunting khas untuk menyampaikan mesej yang berpotensi mengancam atau mempromosikan ideologi yang merbahaya.

Sebagai contoh, perkataan atau frasa seperti ‘pergi jauh’ yang sering digunakan untuk merujuk kepada tindakan bunuh diri, ‘cedera diri’ untuk menggambarkan kecederaan diri dan ‘R$uah’ bagi merujuk kepada rasuah.

Meskipun istilah-istilah ini nampak tidak membahayakan, namun penggunaannya di media sosial, terutamanya dalam platform seperti TikTok, boleh memberi impak yang mendalam terhadap minda generasi muda yang terdedah kepada bentuk komunikasi digital ini.

Lebih membimbangkan lagi, fenomena ini memperkenalkan konsep baharu dalam dunia berbahasa halus yang digunakan bukan sahaja untuk tujuan berseloroh atau untuk mengejutkan orang ramai tetapi juga digunakan untuk mengelak daripada dikesan oleh sistem kawalan platform media sosial.

Melalui penggunaan ‘algospeak’, mesej yang lebih sensitif dan kadangkala berbahaya dapat diteruskan tanpa sebarang sekatan, dengan itu mengabaikan peraturan yang ada.

Istilah seperti ini boleh digunakan untuk menyampaikan idea berkenaan keganasan rumah tangga, kebencian atau keganasan dalam kalangan remaja tanpa disedari oleh pihak yang berkuasa.

Tindakan ini berpotensi mencetuskan keadaan yang lebih berbahaya apabila pengguna, terutama sekali generasi muda, tidak memahami sepenuhnya kesan dan maksud di sebalik penggunaan bahasa tersebut.

Penyebaran ‘algospeak’ memberi kesan yang besar kepada perkembangan bahasa dalam kehidupan seharian. Dalam konteks akademik, ‘algospeak’ ini boleh menjejaskan cara pelajar berkomunikasi dan menyebabkan mereka lebih cenderung menggunakan bahasa yang tidak standard.

Sebagai contoh, mereka mungkin mula menggunakan perkataan atau frasa yang tidak sah atau tidak sahih, yang akhirnya menjejaskan penguasaan bahasa yang betul. ‘Algospeak’ juga memberi kesan negatif terhadap pemahaman tatabahasa yang betul, ejaan dan struktur ayat.

Jika penggunaan bahasa yang salah atau tidak formal ini berterusan akan merencatkan kemajuan dalam pembelajaran bahasa di sekolah dan universiti.

Dalam jangka masa panjang, ini boleh menyebabkan kemerosotan dalam penguasaan bahasa yang sesuai dalam pelbagai situasi kehidupan, termasuk di tempat kerja.

Kemajuan teknologi dalam komunikasi digital memberi cabaran besar kepada pendidikan bahasa. Sementara media sosial memudahkan pertukaran idea, namun turut memberi kebimbangan mengenai bagaimana generasi muda menguasai bahasa yang betul dan sesuai.

Penggunaan bahasa yang tidak standard atau dipenuhi dengan ‘algospeak’ berisiko menurunkan kualiti bahasa yang digunakan dalam interaksi harian.

Terdapat juga kebimbangan bahawa jika trend ini berlanjutan, fenomena ini boleh menyebabkan kemerosotan dalam kemahiran berbahasa yang baik, terutamanya dalam kalangan pelajar yang masih dalam proses pembelajaran.

Namun begitu, kesedaran tentang penggunaan bahasa yang betul dan pemahaman mengenai ‘algospeak’ perlu diberi perhatian. Pihak berkuasa, pendidik, dan ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai akibat buruk daripada penggunaan bahasa yang tidak betul.

Pendidikan mengenai ‘algospeak’ dan impaknya perlu diperkenalkan dalam kurikulum pendidikan dan menjadi sebahagian daripada usaha untuk memastikan bahasa yang digunakan oleh generasi muda tidak terjejas oleh budaya digital yang semakin berkembang ini.

TikTok dan platform media sosial lain boleh menjadi alat yang sangat berkuasa dalam menyebarkan idea dan kreativiti, tetapi juga harus digunakan dengan bertanggungjawab.

Jika digunakan secara tidak terkawal, ini boleh menjejaskan cara berbahasa dan memberi kesan yang mendalam terhadap generasi muda.

Oleh itu, perlu ada usaha berterusan untuk memastikan bahawa penggunaan ‘algospeak’ tidak menjadi norma dalam kehidupan digital, dan bahawa generasi muda akan terus memanfaatkan bahasa yang betul dalam komunikasi mereka.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.