Perpustakaan, kenangan dan kelangsungan jiwa
BBC melaporkan baru-baru ini lebih 190 perpustakaan telah ditutup dalam lima tahun kebelakangan ini di United Kingdom.

SEJAK kecil, saya telah dididik untuk mencintai ilmu dan dalam dunia kecil saya yang terletak di Kuala Rompin, Pahang, tiada yang lebih mempesonakan daripada bau kertas lama dan susunan buku yang teratur rapi di rak-rak yang sunyi.
Saya belajar membaca tulisan Jawi sejak usia empat tahun, hasil didikan ayahanda saya, seorang ulamak yang bukan sahaja mengajar al-Quran tetapi juga menyemai benih keilmuan dalam dada anak-anaknya.
Rumah kami dipenuhi buku-buku Jawi, termasuk majalah seperti Dian serta pelbagai karya Melayu klasik yang tidak ternilai harganya. Di situlah, saya mula mengenal dunia.
Namun, perpustakaan pada ketika itu hanyalah khayalan dalam mimpi seorang anak kampung. Di sekolah rendah tiada perpustakaan, di kampung pun tiada. Dunia bacaan saya terbatas kepada buku teks dan naskhah-naskhah usang yang dipinjam daripada kawan atau dikumpul ayah dari kota.
Setelah menjejak kaki ke sekolah menengah barulah saya mengenal apa itu perpustakaan, walaupun seadanya. Ruangnya kecil, koleksinya terhad, namun kepada seorang anak yang dahagakan ilmu, semuanya dibaca hingga habis, malah ada buku yang dibaca lebih dari sekali, seolah-olah menjumpai teman yang setia dalam kesepian.
Tingkatan empat membuka lembaran baharu. Saya melangkah ke sekolah berasrama di Kuantan. Di situ, perpustakaan yang juga tidak luas, menjadi rumah kedua saya. Di saat rakan-rakan lain ke padang atau ke kantin, saya lebih suka ‘ponteng’—bukan ke tempat yang dicurigai, tetapi ke dalam pelukan sunyi perpustakaan negeri Pahang yang sejuk dan menyamankan.
Dalam diam saya menemui ketenangan yang tidak dapat dijelaskan, seolah-olah buku-buku itu berbicara dengan jiwa saya yang resah dan sentiasa ingin tahu.
Kemuncak ketaksuban saya terhadap gedung ilmu ini tercetus semasa menuntut di Universiti Waikato, New Zealand. Di sana, perpustakaan bukan lagi rumah kedua, ia menjadi rumah pertama. Tiada kelas, tiadalah saya di bilik; saya akan terus melangkah ke perpustakaan, menyelami samudera ilmu yang luas daripada majalah antarabangsa, autobiografi tokoh-tokoh dunia, hingga kepada karya-karya fiksyen yang membuka jendela imaginasi.
Cinta saya pada buku membuahkan minat menulis. Hingga kini, 46 buku telah saya hasilkan dan 30 e-buku telah saya terbitkan semuanya lahir daripada percikan api yang dinyalakan oleh perpustakaan.
Semasa bermastautin di Dubai selama hampir dua dekad, saya tidak pernah melupakan rumah sunyi itu. Perpustakaan awam di sana sarat dengan buku-buku Arab, walaupun bahasa Inggeris agak terpinggir. Saya mengimbangi kekurangan itu dengan membeli buku di kedai-kedai besar seperti Kinokuniya, syurga buat pencinta buku. Hidup saya ketika itu bagaikan sentiasa dalam pelukan hikmah yang tidak putus-putus.
Namun, pada Ogos 2018, takdir menukar segalanya. Saya diserang strok dan kembali menetap di tanah air, di rumah saya di Kelana Jaya. Sebagai warga emas dan OKU, saya tidak lagi bebas menjelajah seperti dahulu. Perpustakaan masih ada, tetapi akses kepada mereka menjadi semakin sukar. Tambang e-hailing, kesesakan lalu lintas dan kemudahan mesra OKU yang terbatas membuatkan keinginan saya sering terpaksa dipendam.
Dalam kesepian itu, timbul persoalan yang menghantui, apakah perpustakaan di Malaysia sedang mengalami nasib yang sama seperti kedai buku beransur tutup dan hilang ditelan zaman? Apakah manusia kini telah berpaling dari buku dan lebih gemar menyelak skrin telefon daripada menyelak helaian kertas? Adakah perpustakaan masih relevan dalam dunia digital ini atau kita telah mengorbankannya atas nama kemajuan?
Laporan BBC baru-baru ini menyatakan bahawa di United Kingdom, lebih 190 perpustakaan telah ditutup dalam lima tahun kebelakangan ini. Di Croydon, perpustakaan Broad Green yang menjadi pusat komuniti, tempat berlindung buat warga emas dan ruang istirehat bagi penjaga sepenuh masa seperti Kiran Choda telah ditutup.
Ramai menyifatkannya sebagai kehilangan ‘rumah kedua’. Ada yang merasa terputus hubungan dengan dunia luar seperti kapal yang putus sauh di tengah lautan sunyi.
Adakah senario ini juga sedang berlaku di Malaysia, secara diam-diam, tanpa kita sedari? Adakah perpustakaan di negeri-negeri kita juga sedang ditutup secara berperingkat, atas alasan penjimatan?
Saya khuatir bahawa dalam usaha kita memacu negara ke hadapan, kita meninggalkan tapak asas yang menjadikan kita manusia yang berjiwa yakni keilmuan, budaya membaca dan tempat menghimpun pengetahuan.
Perpustakaan bukan sekadar rak dan buku. Ia adalah ruang demokrasi ilmu, tempat semua orang tanpa mengira darjat, latar belakang atau usia dapat belajar, bermimpi dan membina masa depan.
Di situ anak-anak kecil mengenal huruf, remaja mengenal dunia, dewasa mendalami hakikat dan warga emas mengimbas kenangan sambil menimba hikmah baharu. Perpustakaan adalah tempat jiwa bernafas, bukan sekadar tempat tubuh berteduh.
Saya menyedari bahawa teknologi telah mengubah cara kita mengakses ilmu. E-buku, enjin carian, video pembelajaran semuanya kini di hujung jari. Namun, apakah semua ini mampu menggantikan pengalaman berada dalam perpustakaan yang sunyi dan tenteram, mengelilingi diri dengan seribu cerita dan merasai kehadiran para pengarang yang berbisik di antara helaian kertas? Saya tidak fikir begitu.
Perpustakaan masih diperlukan tetapi ia perlu dirangka semula. Perpustakaan masa kini harus lebih mesra OKU, dilengkapi ruang digital, menyediakan aktiviti interaktif dan mengembalikan semula tarikan budaya membaca.
Ia perlu masuk ke pasar raya, ke kawasan perumahan, ke klinik kesihatan, ke terminal bas, ke mana-mana sahaja manusia berada. Seperti di Dubai, perpustakaan wujud dalam pusat beli-belah, menjadikan ilmu sebahagian daripada gaya hidup harian.
Saya mencadangkan agar perpustakaan bergerak diperkasakan semula. Jadikan mereka bukan sahaja tempat pinjam buku tetapi juga ruang bercerita, bengkel penulisan, sesi pembacaan puisi dan ruang terapi jiwa.
Untuk warga emas dan OKU seperti saya, biarlah ada perkhidmatan pinjaman rumah ke rumah atau sekurang-kurangnya servis digital yang menyeluruh dan mudah digunakan.
Kita tidak boleh membiarkan perpustakaan mati perlahan-lahan. Dalam masyarakat yang makin terasing dan lesu semangat, perpustakaan boleh menjadi tempat kita menemui semula diri kita yang hilang. Ia bukan semata-mata storan ilmu tetapi tempat persahabatan terjalin, solidariti dibentuk dan harapan dihidupkan semula.
Saya tidak menulis ini sebagai nostalgia semata. Saya menulis ini kerana saya tahu betapa perpustakaan telah menyelamatkan saya, membentuk saya dan memberi saya harapan dalam waktu paling sukar.
Saya menulis ini kerana saya tahu bahawa ada anak kecil di Rompin atau warga emas di Petaling Jaya, yang masih menunggu tempat sunyi itu untuk membuka pintu dan memeluk mereka dengan hikmah yang abadi.
Biarlah perpustakaan kekal hidup dalam bentuk fizikal, dalam roh budaya dan dalam dasar negara kerana apabila perpustakaan ditutup, bukan sahaja buku yang dikurung tetapi jiwa manusia yang perlahan-lahan terpenjara dalam kejahilan dan kesepian.
—
* Penulis pernah bekerja selama 18 tahun di Riyadh, Arab Saudi dan Dubai, UAE sebelum balik ke Kelana Jaya, Selangor akibat diserang strok dan menjadi warga OKU. Beliau merupakan pemenang 5 Hadiah Sastera Perdana Malaysia, 11 kali Hadiah Sastera Utusan, Anugerah Sastera Johor, Pahang, Terengganu, Selangor dan 30 hadiah sastera lain. Beliau juga bekas CEO empat buah syarikat di Dubai, pengarah, pengurus besar di syarikat antarabangsa. Menulis 44 buah buku dan 30 e-buku di clicks4book dan e-sentral.com.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.