Patut terus atau hapus penggenapan 5 sen?

Kaedah ini melibatkan pembundaran jumlah akhir bil kepada 5 sen terdekat, sama ada dinaikkan atau diturunkan bergantung kepada digit terakhir amaun tersebut.

Feature Image (4)

MEKANISME penggenapan kepada 5 sen terdekat telah diumumkan oleh Bank Negara Malaysia dan digunaka pakai secara rasmi di Malaysia semenjak 1 April 2008.

Mekanisme ini dilaksanakan dengan melihat kepada jumlah keseluruhan bil atau resit, bukan kepada harga setiap item.

Kaedah ini melibatkan pembundaran jumlah akhir bil kepada 5 sen terdekat, sama ada dinaikkan atau diturunkan bergantung kepada digit terakhir amaun tersebut.

Sekiranya jumlah keseluruhan bil atau resit berakhir dengan angka 1, 2, 6 dan 7, amaun tersebut akan diturunkan kepada 5 sen terdekat. Contohnya, jika jumlah keseluruhan bil adalah RM10.02, maka jumlah yang perlu dibayar adalah jumlah yang telah digenapkan kepada RM10.

Sebaliknya, jika jumlah keseluruhan bil berakhir dengan angka 3, 4, 8 dan 9, amaun tersebut akan dinaikkan kepada 5 sen yang terdekat. Contohnya, jumlah bil RM10.04 akan digenapkan kepada RM10.05.

Mekanisme pembundaran ini memudahkan urusniaga antara penjual dan pembeli serta mengurangkan kebergantungan kepada duit syiling 1 sen. Penjual dan pembeli tidak perlu lagi mengeluarkan duit syiling 1 sen untuk pembayaran dan pemulangan wang secara tepat.

Dengan mengguna pakai mekanisme ini, ia akan mempercepatkan dan memudahkan urusniaga serta menjimatkan kos pengeluaran duit syiling 1 sen yang semakin kurang permintaan pada waktu tersebut.

Pelaksanaan mekanisme ini terbukti membantu mempercepatkan transaksi dan mengurangkan keperluan penggunaan duit syiling denominasi kecil.

Di samping itu, proses pengiraan bayaran dan baki menjadi lebih mudah bagi peniaga serta mengurangkan kemungkinan kesilapan dalam pengendalian wang tunai kecil.

Namun begitu, setelah lebih 17 tahun dilaksanakan, keberkesanan dan kewajaran sistem penggenapan ini wajar dikaji semula. Ini kerana landskap urus niaga dan kaedah pembayaran dalam kalangan pengguna dan peniaga telah berubah dengan ketara, terutamanya dengan kemunculan dan penerimaan meluas terhadap sistem pembayaran tanpa tunai.

Urusniaga pembelian dan penjualan kini telah menggunakan pembayaran tanpa tunai (cashless) di mana pembeli mempunyai alternatif untuk membayar tanpa menggunakan wang tunai fizikal seperti wang kertas atau duit syiling, sebaliknya menggunakan teknologi digital seperti penggunaan kad kredit, debit, e-dompet (e-wallet), kod QR atau perbankan atas talian.

Penggunaan transaksi tanpa tunai ini membolehkan pembeli membayar amaun secara tepat tanpa perlu pembundaran kepada nilai terdekat.

Dengan penggunaan transaksi tanpa tunai yang semakin meluas, keperluan untuk membundarkan jumlah bil kepada 5 sen terdekat menjadi kurang relevan. Pembeli boleh membayar jumlah tepat seperti RM10.02 atau RM10.04 tanpa sebarang isu, kerana sistem digital tidak memerlukan pertukaran wang baki fizikal.

Malah, sistem ini juga membolehkan transaksi yang lebih cepat, telus dan selamat, di samping memudahkan penyediaan rekod kewangan bagi tujuan pengauditan atau pematuhan cukai.

Dari sudut keadilan dan ketelusan, penghapusan sistem penggenapan boleh dilihat sebagai langkah positif. Ini kerana amaun yang dibayar oleh pengguna adalah jumlah sebenar yang dikenakan, tanpa sebarang pembundaran yang mungkin memihak kepada satu pihak sahaja.

Sebagai contoh, jika jumlah bil adalah RM9.98 dan ia digenapkan kepada RM10.00, pembeli mengalami kerugian 2 sen. Namun, jika bil berjumlah RM9.96 dan ia dibundarkan kepada RM9.95, penjual pula yang menanggung kerugian tersebut.

Walaupun jumlah ini kecil, dalam urus niaga yang berlaku secara besar-besaran setiap hari, impak kewangannya boleh menjadi signifikan dalam jangka masa panjang.

Tambahan pula, dalam dunia perniagaan moden yang semakin bergantung kepada data dan sistem automasi, ketepatan dalam angka adalah penting. Penggunaan amaun sebenar membolehkan peniaga menghasilkan laporan kewangan yang lebih tepat, tanpa keperluan untuk menyesuaikan angka kecil akibat pembundaran.

Ini juga boleh membantu dalam menjejaki sebarang kecurian, penipuan atau ralat dalam sistem perakaunan. Namun begitu, dikala teknologi digital telah mendominasi transaksi kewangan pada masa ini, masih terdapat sebilangan pembeli yang memilih untuk membuat pembayaran secara tunai.

Bagi golongan ini, suatu kaedah yang lebih fleksibel wajar ditawarkan, di mana mekanisme penggenapan mungkin masih diperlukan memandangkan wang syiling 1 sen tidak lagi dikeluarkan di Malaysia.

Justeru, pembeli harus mempunyai pilihan sama ada untuk membuat pembayaran secara tunai atau tanpa tunai. Sekiranya pembayaran dibuat secara tunai, pembeli perlu bersedia menanggung atau menyerap kos pembundaran, sekiranya ada. Hal ini sepatutnya tidak menjadi isu memandangkan kaedah ini telah lama diamalkan dan diterima oleh masyarakat.

Secara keseluruhannya, mekanisme penggenapan 5 sen yang diperkenalkan sejak tahun 2008 telah memberi sumbangan besar dalam memudahkan urus niaga tunai dan mengurangkan kebergantungan kepada duit syiling 1 sen.

Namun, perubahan landskap pembayaran dengan kemunculan teknologi digital telah mengurangkan keperluan mekanisme ini bagi majoriti pengguna, khususnya mereka yang menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai.

Walau bagaimanapun, keperluan untuk mengekalkan mekanisme penggenapan masih wujud bagi sebahagian kecil masyarakat yang kekal menggunakan tunai, bagi memastikan kelancaran dan keselesaan transaksi.

Justeru, pendekatan yang paling seimbang adalah mengekalkan mekanisme ini untuk pembayaran tunai, sambil membenarkan transaksi tanpa tunai dilakukan dengan amaun sebenar tanpa pembundaran.

Langkah ini akan memastikan sistem pembayaran negara kekal inklusif, adil, dan relevan dalam menghadapi perkembangan teknologi serta memenuhi keperluan semua golongan masyarakat.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.