Warga UiTM Rembau syukuri nikmat kemakmuran limpahan kemerdekaan

UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau mengadakan majlis bacaan Yaasin bagi mensyukuri nikmat kemakmuran yang dikecapi hasil limpahan daripada kemerdekaan negara.

Feature Image (3)

REMBAU, 22 Ogos 2025 – Warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau mengadakan majlis bacaan Yaasin bagi mensyukuri nikmat kemakmuran yang dikecapi hasil limpahan daripada kemerdekaan negara baru-baru ini.

Acara bersemuka itu merupakan antara atur cara sambutan kemerdekaan peringkat UiTM Kampus Rembau yang dirangka Pejabat Penolong Rektor bersama Unit Hal Ehwal Islam dan turut dihadiri warga kampus.

Program berkenaan bertujuan mendekatkan hati seluruh warga kampus khususnya dan umat Islam amnya dalam mensyukuri nikmat kemakmuran yang dikecapi hasil kemerdekaan negara, selain boleh dianggap sebagai satu kempen memerdekakan diri, pemikiran, agama, bangsa dan negara.

Penceramah jemputan, PU Raihan dalam ceramahnya menekankan aspek kemerdekaan beragama, pemikiran dan tingkah laku, selain menggesa warga kampus berazam meletakkan al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan utama dalam beragama, berfikir serta bertindak.

Beliau turut menyarankan warga agar sentiasa berdoa supaya organisasi dilimpahi rahmat Ilahi di samping memohon kesejahteraan negara Malaysia agar kekal bebas daripada bencana dan terus makmur.

Sempena sambutan Hari Merdeka ke-68, Penolong Rektor UiTM Kampus Rembau, Prof. Madya Dr. Masitah Ahmad dalam ucapannya mengingatkan warga kampus supaya menghayati erti sebenar kemerdekaan.

“Merdekakan diri ialah menjadi insan yang lebih baik setiap masa, sentiasa memperbaiki pencapaian diri dalam memberi perkhidmatan dan yang paling penting menjadi muslim yang lebih baik serta cemerlang,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada penganjur serta mengharapkan agar warga dan organisasi sentiasa mendapat keberkatan melalui penganjuran aktiviti kerohanian seumpama itu.

Tambahnya, kemerdekaan adalah terma yang sudah difahami oleh setiap lapisan masyarakat kerana melalui kemerdekaan, organisasi seperti UiTM dapat ditubuhkan sekali gus mencipta pelbagai kejayaan besar yang membolehkan rakyat menikmati kehidupan sejahtera dan harmoni.

“Daripada sebuah negara pertanian tanpa peralatan canggih, Malaysia telah menelusuri kejayaan dan perkembangan dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi serta teknologi. Hari ini, Malaysia mampu berdiri sebagai negara berdaulat yang merdeka dan maju, dengan rakyat majmuk yang hidup penuh harmoni tanpa sengketa,” ujarnya.

Selain itu, program berkenaan turut mengingatkan bahawa dalam menikmati kehidupan merdeka dan kemajuan negara, peranan institusi ilmu tidak boleh dilupakan. UiTM sebagai organisasi pendidikan seharusnya melahirkan kelompok masyarakat yang mampu keluar daripada belenggu pelbagai masalah sosial.

Malaysia juga tidak terkecuali daripada cabaran tersebut apabila sebahagian rakyatnya berdepan masalah sosial yang semakin parah sekiranya tiada pengurusan pendidikan berkesan untuk menanganinya.

“Kemerdekaan tidak dapat ditafsirkan secara komprehensif jika sebahagian rakyat menderita kerana dijajah oleh pelbagai penyakit sosial,” menurut penceramah itu.

Melalui program sama, warga kampus turut diseru agar memerdekakan jiwa dan kehidupan berpandukan al-Quran serta Sunnah dalam menerajui kehidupan moden di tanah air yang telah lama merdeka, dengan kekuatan jati diri dalam diri setiap rakyat.

Nilai itu perlu diterapkan sejak kecil kerana kekuatan jiwa dan jati diri hanya boleh lahir melalui penghayatan agama yang sebenar. Kekuatan iman yang disemai secara holistik diyakini mampu memerdekakan jiwa dan diri seseorang daripada belenggu penyakit sosial serta cabaran peradaban semasa.