FWD Insurance, BSN lancar Qaseh Setia
Penyelesaian insurans inklusif untuk semua rakyat Malaysia, dengan fokus kepada komuniti B40.

KUALA LUMPUR, 21 Ogos 2025 – Kehidupan dipenuhi dengan ketidakpastian, yang sering kali menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan kewangan.
Menyedari hakikat ini, FWD Insurance Berhad (FWD Insurance) bersama rakan bancassurance jangka panjangnya, Bank Simpanan Nasional (BSN) memperkenalkan Qaseh Setia, sebuah pelan mikroinsurans mampu milik yang direka khas untuk memberikan sokongan kewangan kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40).
Sejak dilancarkan pada April 2025, Qaseh Setia telah melindungi lebih daripada 20,000 individu, sekali gus mencerminkan permintaan yang tinggi serta keyakinan terhadap produk ini.
Dengan serendah RM0.20 sehari, Qaseh Setia menyediakan perlindungan kewangan yang komprehensif. Pelan ini merangkumi manfaat penting seperti perlindungan sehingga RM90,000 bagi kematian akibat kemalangan.
Bagi kematian bukan akibat kemalangan dan hilang upaya kekal menyeluruh, perlindungan sehingga RM15,000 turut disediakan. Menyedari beban kewangan yang mungkin timbul selepas kehilangan insan tersayang, Qaseh Setia juga menawarkan bantuan sehingga RM3,000 untuk menampung kos pengebumian.
Ini mencerminkan komitmen FWD Insurance dan BSN terhadap tanggungjawab sosial serta usaha memperkukuh keterangkuman kewangan..
“Qaseh Setia mencerminkan komitmen teguh kami untuk memastikan insurans benar-benar boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat. Ia bukan sekadar pelan mikroinsuran, tetapi satu langkah penting dalam memperkasakan komuniti yang kurang mendapat perhatian, dengan menyediakan perlindungan dan keyakinan yang sewajarnya mereka miliki.
“Di FWD, kami mahu setiap individu raikan kehidupan dengan penuh keyakinan, mengetahui bahawa orang tersayang sentiasa dilindungi dan disokong ketika saat paling mencabar.
“Ketenangan fikiran bukanlah satu kemewahan, tetapi satu keperluan yang seharusnya dapat dinikmati oleh semua,” kata Ketua Pegawai Eksekutif FWD Insurance, Mak See Sen.
Sementara itu, Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata: “Qaseh Setia mengukuhkan misi BSN iaitu ‘Tiada Rakyat Malaysia Yang Ketinggalan’ dengan memastikan perlindungan asas dapat diakses dan ditawarkan pada harga mampu milik kepada semua rakyat Malaysia, khususnya komuniti B40.
“Inisiatif ini adalah untuk membantu rakyat Malaysia melindungi orang tersayang serta meringankan beban kewangan ketika berdepan detik-detik paling mencabar dalam kehidupan.”
Qaseh Setia direka agar mudah dimiliki, tanpa memerlukan sebarang pemeriksaan kesihatan. Ciri ini secara langsung menghapuskan salah satu halangan utama, sekali gus memudahkan akses kepada perlindungan insurans bagi golongan B40.
Sebagai sebahagian daripada Kempen FWD Fiesta Paling Onz 2025, FWD Insurance akan menganjurkan acara jelajah khas dari 21 hingga 24 Ogos 2025 di MyTown Shopping Centre.
Inisiatif ini bertujuan untuk mendekati orang ramai sambil memupuk kesedaran tentang kepentingan perancangan kewangan. Sepanjang acara, pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat mengenai penyelesaian kewangan seperti Qaseh Setia dan Qaseh Bakti Plus di gerai-gerai khas yang disediakan, selain menikmati pemeriksaan kesihatan percuma.
FWD Fiesta Paling Onz bukan sahaja menyampaikan maklumat tetapi turut menggalakkan penglibatan masyarakat melalui pelbagai aktiviti menyeronokkan, termasuk stesen seni pasir kreatif untuk kanak-kanak.
Para peserta juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik, termasuk hadiah utama, sebuah Proton X50 baharu!
Melalui maklumat yang diperoleh dan pengalaman yang bermakna, jelajah ini menggambarkan visi FWD untuk mengubah cara orang ramai berfikir tentang insurans, menjadikannya lebih sesuai dan mudah difahami untuk semua orang.