Kenapa kita masih mudah terpedaya dengan ‘scammer’?
Sehingga hujung tahun 2024, sebanyak 35,368 kes penipuan dan jenayah komersial dicatat pada tahun 2024, melibatkan kerugian hampir RM1.6 bilion.

DALAM era digital masa kini, insiden wang ‘lesap’ daripada akaun bank bukan lagi sesuatu yang luar biasa.
Hampir setiap minggu, media melaporkan aduan individu yang mendapati simpanan mereka hilang tanpa disedari, dipercayai melalui transaksi yang dilakukan tanpa pengetahuan atau kebenaran mereka.
Ada antara laporan ini yang sahih, disokong dengan dokumen dan siasatan pihak berkuasa. Ada pula yang masih menunggu pengesahan. Namun, satu perkara yang pasti, jenayah penipuan dalam talian atau scam kini menjadi sebahagian daripada realiti harian rakyat Malaysia.
Statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan trend yang membimbangkan.
Sehingga hujung tahun 2024, sebanyak 35,368 kes penipuan dan jenayah komersial dicatat pada tahun 2024, melibatkan kerugian hampir RM1.6 bilion.
Ini bermakna, secara purata, hampir 100 kes penipuan dilaporkan setiap hari. Pada suku pertama 2025 pula, lebih 12,000 kes telah dilaporkan dengan kerugian melebihi RM573 juta.
Di pihak institusi kewangan, Bank Negara Malaysia pula mengesahkan bahawa industri perbankan berjaya menggagalkan cubaan transaksi penipuan bernilai lebih RM399 juta sepanjang tahun 2024 hasil pelaksanaan kawalan keselamatan yang dipertingkatkan.
Ironinya, angka ini meningkat walaupun masyarakat telah diberi pelbagai peringatan dan kempen kesedaran dilaksanakan secara agresif oleh pelbagai agensi.
Mengapa ini masih berlaku? Jawapannya tidak mudah, namun beberapa faktor utama dapat dikenal pasti. Tahap literasi digital masyarakat masih rendah, dengan ramai pengguna tidak mengenali ciri asas laman web palsu, gagal membezakan panggilan rasmi dan panggilan penipuan serta mudah berkongsi maklumat perbankan peribadi kepada individu yang tidak dikenali.
Pada masa sama, kaedah yang digunakan penjenayah siber semakin sofistikated. Mereka tidak lagi bergantung kepada mesej atau panggilan palsu semata-mata, sebaliknya menyamar sebagai pegawai bank, pegawai polis atau wakil agensi kerajaan, lengkap dengan dokumen, surat dan panggilan video yang kelihatan sahih.
Ada yang menggunakan teknologi seperti deepfake, malah menyamar sebagai ahli keluarga mangsa sendiri. Tekanan ekonomi yang mencengkam rakyat turut menjadikan mereka lebih mudah terpengaruh dengan tawaran pelaburan segera, pinjaman mudah atau kerja sambilan berpendapatan tinggi, yang sering menjadi pintu masuk kepada penipuan berskala besar.
Namun, tidak adil untuk menuding jari kepada mangsa semata-mata. Realitinya, banyak sistem dan mekanisme sedia ada masih belum cukup tangkas untuk menangani ancaman ini.
Akaun penjenayah selalunya dibekukan lewat, kadangkala selepas wang dipindahkan ke akaun ketiga atau ke luar negara. Sistem pengesanan transaksi mencurigakan di sesetengah institusi kewangan juga masih belum cukup efisien untuk bertindak secara masa nyata.
Walaupun portal seperti semakmule.rmp.gov.my diwujudkan bagi membolehkan orang ramai menyemak nombor akaun, nombor telefon atau nama syarikat yang digunakan scammer, penggunaannya masih terhad. Ramai yang tidak mengetahui kewujudan atau hanya menggunakannya selepas menjadi mangsa.
Pendidikan digital pula masih bersifat reaktif dan bukan sistematik. Tidak banyak sekolah atau universiti yang menjadikan keselamatan siber sebagai sebahagian daripada silibus mereka, sedangkan majoriti pengguna telefon pintar hari ini terdiri daripada golongan muda.
Langkah pencegahan yang lebih menyeluruh perlu diambil, termasuk memperkenalkan kurikulum keselamatan digital di sekolah, menubuhkan pusat respons scam bersepadu 24 jam dan mewajibkan pengesahan dua faktor (2FA) bagi semua transaksi kewangan melebihi jumlah tertentu.
Media turut mempunyai peranan penting. Liputan kes bukan sahaja perlu menumpukan kepada kisah mangsa, tetapi juga pendedahan taktik penjenayah dan panduan pencegahan, kerana pendekatan ini lebih mendidik masyarakat berbanding sekadar memaparkan sensasi kehilangan wang.
Akhirnya, masyarakat harus sedar bahawa dalam dunia digital, kecurian tidak semestinya berlaku di lorong gelap atau perumahan sunyi.
Ia boleh berlaku di dalam genggaman sendiri, melalui telefon pintar, tablet atau komputer riba. Justeru, sikap berhati-hati perlu menjadi amalan dalam setiap urusan kewangan secara dalam talian, kerana dalam dunia siber, satu klik yang tersilap mampu menghapuskan simpanan seumur hidup dalam sekelip mata.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.