KLP48 raikan ulang tahun pertama dengan konsert ‘BLOOM’

Lautan light stick iringi persembahan, ahli janji terus melangkah ke arah sasaran baharu.

Feature Image (6)

KUALA LUMPUR, 23 Ogos 2025 – Kumpulan idola wanita Malaysia, KLP48 meraikan ulang tahun pertama penubuhan mereka dengan penganjuran konsert “〜BLOOM〜” di Zepp Kuala Lumpur baru-baru ini, yang berlangsung penuh meriah dengan lautan light stick mengiringi setiap persembahan.

KLP48, kumpulan adik kepada AKB48 dari Jepun yang ditubuhkan di Malaysia pada 2024, tampil dengan pesona mesra serta bertenaga sekali gus berjaya menarik peminat pelbagai kaum.

Kumpulan itu dianggotai 13 ahli terdiri daripada rakyat Malaysia iaitu Salwa, Yi Shyan, Lucine, Amanda, Ann Drea, Khalies dan Tiffany; Hillary dari Hong Kong; Devi dari Indonesia; Yurina, Haruka dan Suzuha dari AKB48; serta Cocoa dari STU48, menjadikan KLP48 simbol kepelbagaian budaya serantau.

Konsert anjuran 48 Entertainment Sdn Bhd itu mengetengahkan tema ‘mekar’ (Bloom) yang melambangkan perjalanan KLP48 selepas setahun menempuh pelbagai cabaran.

Persembahan pembukaan diserikan oleh kumpulan wanita tempatan COËX dengan lagu Like Jennie dan Just Another Friend diikuti penyanyi muda Ismail Izzani dengan rangkaian lagu popularnya Bidari, Tenggelam dan Luar Biasa.

Kehadiran JKT48 dengan 12 ahli mengenakan gaun berwarna-warni turut menjadi kejutan apabila mereka mempersembahkan lagu hits termasuk #Kusangatsuka, Rapsodi dan Ponytail to Shu Shu, sekali gus mencuri hati penonton melalui tarian bertenaga serta pesona manis.

Sorakan semakin rancak apabila KLP48 tampil di pentas dengan lagu Oh My Pumpkin diikuti Aitakatta dan Melon Juice yang disambut lautan light stick berwarna-warni.

Kemunculan semula Lucine selepas berehat atas faktor kesihatan turut menjadi momen mengharukan, apabila kesemua 13 ahli tampil lengkap dengan persembahan Shonichi dan Namida Surprise.

Konsert turut diselitkan tayangan video khas mengimbas perjalanan KLP48 sepanjang setahun, daripada detik debut hingga pentas besar, sekali gus mengundang sebak dalam kalangan peminat. Ahli kumpulan itu dalam ucapan penuh emosi berkata: “Perjalanannya tidak mudah, tetapi kami amat berterima kasih atas sokongan peminat.

“Ada air mata, ada peluh tetapi yang paling banyak adalah kegembiraan dan kenangan berharga. Semoga kami dapat terus membawa senyuman dan kekuatan kepada anda semua.”

Sorakan ‘KLP48!’ terus bergema, mengiringi persembahan lagu-lagu popular lain seperti Green Flash, Heavy Rotation, High Tension, Flying Get dan Alasanku Maybe.

Gerak tari seragam, senyuman ceria serta aura bertenaga ahli KLP48 menyerlahkan semangat usia muda.

Sebagai penutup, KLP48 dan JKT48 kembali bergandingan membawakan lagu Oh My Pumpkin! yang menampilkan lebih 20 ahli di pentas, sekali gus menjadikan kemuncak konsert berkenaan penuh manis untuk diingati hampir 2,000 penonton.

Konsert ini bukan sahaja menandakan ulang tahun pertama KLP48 tetapi juga menjadi titik permulaan perjalanan baharu mereka. Seperti ditegaskan kumpulan itu: “Malam ini bukanlah pengakhiran tetapi permulaan menuju ulang tahun kedua. KLP48 akan terus berusaha, melangkah bersama anda semua.”