Mahasiswa UM bantu peniaga jalanan tingkat kefahaman undang-undang
Universiti Malaya melaksanakan inisiatif advokasi komuniti bertajuk Nadi Peniaga: Suara Peniaga Jalan bagi meningkatkan kesedaran perundangan dalam kalangan peniaga makanan jalanan di ibu negara.

KUALA LUMPUR, 23 Ogos 2025 – Sekumpulan 12 mahasiswa tahun pertama Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM) melaksanakan inisiatif advokasi komuniti bertajuk Nadi Peniaga: Suara Peniaga Jalan bagi meningkatkan kesedaran perundangan dalam kalangan peniaga makanan jalanan di ibu negara baru-baru ini.
Program itu dijalankan selama kira-kira 14 minggu sebagai sebahagian kursus wajib universiti di bawah inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM).
Kumpulan mahasiswa berkenaan berinspirasi melaksanakan program tersebut selepas menyedari ramai peniaga, meskipun gigih berdikari sebagai usahawan, masih tergolong dalam golongan B40.
Selain berdepan tekanan ekonomi, mereka turut berhadapan kekangan memahami aspek undang-undang yang kompleks serta prosedur berkaitan operasi perniagaan.
Justeru, mahasiswa terbabit meneliti secara lebih mendalam masalah undang-undang yang membelenggu peniaga jalanan khususnya di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur.
Program itu dilaksanakan di Jalan Petaling dan Jalan Alor, dua lokasi ikonik tumpuan pelancong antarabangsa yang terkenal dengan hidangan tradisional tempatan.
Ia dianjurkan dengan sokongan Fakulti Undang-Undang UM dan kerjasama beberapa persatuan peniaga, sekali gus memberi peluang kepada mahasiswa menjalankan temu bual secara langsung bersama peniaga makanan jalanan serta pemimpin komuniti setempat.
Antara tokoh yang terlibat dalam sesi temu bual ialah Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Bukit Bintang, See Foo Hong; Setiausaha Persatuan Penjaja Jalan Alor, Simon Ang dan wakil Persatuan Kesaksamaan Demi Kedamaian Rakyat Sejagat, Ahmed Hussein.
Melalui sesi itu, kumpulan mahasiswa mengumpul pandangan serta maklumat berkaitan cabaran dihadapi peniaga dari segi peraturan perniagaan, kebersihan makanan serta akses kepada bantuan guaman.
Mereka juga dibimbing pensyarah penasihat iaitu Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang UM, Dr. Zalina Abdul Halim yang sentiasa memberi panduan serta nasihat sepanjang pelaksanaan program.
Sebagai hasil utama, kumpulan mahasiswa menghasilkan risalah dwibahasa (Bahasa Melayu dan Bahasa Cina) yang memuatkan maklumat asas berkaitan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan akses kepada bantuan guaman melalui Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam serta Klinik Bantuan Guaman UM.
Pemilihan dua bahasa itu dibuat berdasarkan bahasa utama yang digunakan kebanyakan peniaga di kawasan terlibat bagi memperluas capaian risalah.
Risalah berkenaan disemak dan diperakui Zalina serta pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum diedarkan, bagi memastikan kandungan yang disampaikan sahih dari segi perundangan dan bersesuaian dengan komuniti sasaran.
Selain risalah bercetak, kumpulan mahasiswa turut menghasilkan rakaman video penerangan projek untuk dokumentasi dalaman dan rujukan masa depan.
Video itu menerangkan objektif, proses pelaksanaan serta impak awal program yang disasarkan. Mereka berharap maklumat dalam risalah berkenaan dapat membantu peniaga jalanan memahami undang-undang negara serta memudahkan mereka mendapatkan bantuan guaman.
“Untuk masa depan, kami ingin program ini diteruskan agar dapat merangka rangka kerja dasar untuk DBKL bagi meningkatkan kebajikan peniaga jalan.
“Pendidikan undang-undang asas harus boleh diakses oleh semua, termasuk usahawan kecil. Inilah sumbangan kecil kami untuk komuniti,” kata Ketua Projek, Tan Zhi Kai.