Persahabatan dalam talian, realiti sosial anak-anak kini

Persahabatan dalam talian bukan lagi satu budaya yang pelik atau asing tetapi telah menjadi salah satu aspek kepada pertumbuhan generasi pada zaman digital ini.

Feature Image (2)

DEWASA ini, kita melihat pelajar-pelajar sekolah menjalinkan hubungan persahabatan dalam dunia yang mereka sendiri tidak boleh sentuh secara fizikal iaitu dunia maya.

Melalui media sosial, platform permainan mahupun aplikasi pemesejan segera, anak-anak di Malaysia membina ikatan digital yang mungkin boleh memperbaiki tahap emosi mereka atau sebaliknya.

Para pakar menjelaskan persahabatan dalam talian bukan lagi satu budaya yang pelik atau asing tetapi telah menjadi salah satu aspek kepada pertumbuhan generasi pada zaman digital ini.

Tatkala ini, ada aktiviti sembang dalam talian dalam kalangan anak-anak muda dianggap ketinggalan pula.

Persahabatan dalam dunia baharu

Pusat Penyelidikan Pew di Amerika Syarikat telah melakukan satu tinjauan berkenaan hubungan anak-anak remaja dalam talian dan hasilnya menunjukkan bahawa 57 peratus mempunyai sekurang-kurangnya satu rakan dalam talian.

Seterusnya, separuh daripadanya mempunyai lima atau lebih. Selalunya, persahabatan dalam talian terbentuk kerana mereka berkongsi minat atau kepentingan yang sama seperti suka bermain permainan mudah alih, dalam komuniti yang meminati selebriti yang sama, mempunyai kesusahan lalu berkongsi mengenainya dan lain-lain.

Disebabkan faktor-faktor ini, anak-anak remaja mula menganggap persahabatan dalam talian bermakna kerana mereka mampu memahami dan menyokong antara satu sama lain di mana sesetengah daripada mereka tidak merasai, tidak memiliki sokongan ini dalam dunia nyata.

Di Malaysia, data kajian yang spesifik berkenaan persahabatan dalam talian dalam kalangan anak-anak sekolah masih lagi terhad.

Oleh itu, penyelidikan yang meluas perlu dijalankan dan hasil dapatan dianggap penting bagi membantu para ibu bapa mendidik dan mengurus anak-anak dalam era digital ini.

Walau bagaimanapun, trend dunia bahkan disokong oleh laporan tempatan mengesahkan bahawa pelajar-pelajar sekolah berhubung dalam dunia digital setiap hari. Antara platform yang selalu dikunjungi ialah Instagram, Discord, Roblox dan juga TikTok.

Pakar pendidikan daripada universiti awam di Amerika Syarikat, University of California, Irvine, Profesor Stephanie Reich dalam kajian beliau bertajuk interaksi sosial maya dalam kalangan anak remaja menyatakan bahawa teknologi mahupun media sosial tidak menggantikan hubungan atau mengurangkan keakraban emosi.

Malah, persahabatan yang terbentuk dalam talian menyediakan sokongan yang sama seperti persahabatan dalam dunia nyata. Nilai-nilai persahabatan anak-anak remaja yang tampak berlaku di sekolah atau di pusat membeli-belah turut wujud dalam media sosial. Sesungguhnya, persahabatan ini nyata, cuma berbeza dari segi medium pengantaraan.

Rakan dalam talian sebagai sokongan

Bagi kebanyakan pelajar terutamanya yang pemalu, dipinggirkan bahkan yang bergelut dengan kesihatan mental berasa rakan dalam talian boleh menjadi talian hayat mereka.

Sesetengah pelajar menjelaskan bahawa kadang-kadang mereka boleh meluahkan kepada rakan dalam talian lebih lagi daripada kawan-kawan di sekolah.

Kelompok ini berasa rakan dalam talian tidak menghakimi, tidak menilai mereka kerana rakan dalam talian tidak mengetahui kehidupan sebenar mereka, contohnya tidak mengenali orang di sekeliling mereka.

Sentimen ini turut disahkan oleh para penyelidik. Para remaja kini lebih gemar berkongsi secara terbuka apabila berada dalam talian.

Hal ini berlaku kerana anak-anak ini berasa selamat apabila berkomunikasi di sebalik layar gajet. Jelaslah, apabila platform digital seperti WhatsApp dan Instagram digunakan secara bijak, ia menyediakan ruang untuk anak-anak remaja meluahkan idea dan perasaan, menunjukkan diri dan berinteraksi dengan lebih yakin.

Persahabatan berisiko

Bukanlah semua persahabatan dalam talian itu positif, bukanlah semuanya boleh memberi pengalaman baik kepada pelajar-pelajar sekolah.

Berdasarkan laporan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Malaysia menduduki tangga kedua di Asia, selepas China terlibat dengan buli siber dan tangga kelima dalam dunia, selepas Peru, Argentina, Mexico dan Brazil.

Situasi ini mengakibatkan ramai mangsa yang masih muda mengalami kebimbangan yang serius, tekanan perasaan malah ada yang terfikir untuk membunuh diri.

Pada awal tahun ini, ada satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal International Journal of Research and Innovation in Social Science (IJRISS) menunjukkan buli siber menyumbang kepada tekanan, kebimbangan dan perasaan untuk tidak mahu bergaul yang ditunjuki oleh para pelajar daripada sekolah antarabangsa di Petaling Jaya, Selangor.

Kajian lain turut memaparkan sesetengah remaja mengalami gangguan dan peras ugut yang datangnya daripada rakan dalam talian mereka. Ada juga yang menjadi mangsa kepada penipuan identiti maya dan pengantunan yang wujud dalam platform dalam talian.

Walaupun gangguan ini mungkin kelihatan kurang berbahaya dan boleh dielakkan, misalnya, lambat atau tidak mempedulikan mesej yang dihantar, ia sebenarnya boleh mencetuskan tekanan emosi bagi anak-anak muda.

Satu penyelidikan baharu di Itali yang diterbitkan dalam jurnal Frontiers in Digital Health menjelaskan kekecewaan akibat keadaan yang tidak dijangka yang berlaku di media sosial, misalnya rakan tidak membalas hantaran mereka seperti yang diharapkan merupakan faktor yang lebih kuat kepada konflik dalam persahabatan berbanding tekanan untuk kekal berada dalam talian.

Di negara kita, usaha-usaha berkaitan keselamatan siber giat dianjurkan dan ini membuktikan kesedaran terhadap trend hubungan dalam talian sedang berkembang.

Misalnya, Pusat Kesedaran Wanita (Women’s Centre for Change (WCC)) menerbitkan komik kartun digital yang bertajuk ‘Samir & Kawan Onlinenya’. Komik ini memberi pengetahuan tentang pengantunan seksual di alam maya dan bagaimana interaksi dalam talian boleh membentuk pengalaman emosi.

Kualiti persahabatan, bukan kuantiti

Kehidupan digital pelajar-pelajar sekolah pada zaman moden ini sarat dengan ikutan trend di media sosial, bercampur aduk dengan perlumbaan menambah pengikut, pencarian kenalan dalam rangkaian yang sama dan juga pertambahan kumpulan bual dalam talian.

Jelaslah di sini, dalam menyelusuri budaya ini, mereka mudah berasa keliru antara hubungan dan keakraban yang terbentuk dalam talian. Dalam pada itu, bukan semua jalinan persahabatan dalam talian boleh menepati jangkaan seperti yang mereka harapkan.

Penyelidikan membuktikan bahawa menjalinkan persahabatan dalam talian yang berkualiti dalam kumpulan kecil mampu membina rasa percaya, saling menyokong dan juga mewujudkan rasa empati yang tinggi.

Golongan ini mempunyai sistem sokongan yang lebih padu berbanding pengguna digital yang mempunyai rangkaian rakan yang besar tetapi tidak mendalam sokongannya.

Terbukti, bagi para ibu bapa dan pendidik, pendidikan literasi emosi dalam dunia digital adalah kunci yang sebenarnya, bukan sekadar memantau waktu layar anak-anak.

Mendorong pergaulan dalam talian yang sihat

Dalam bilik darjah di mana-mana sekolah, peranan seorang guru amatlah penting, tidak boleh diganti dengan apa pun.

Bahkan, teknologi AI yang menjadi hala tuju utama sekarang juga tidak boleh menggantikan posisi guru dalam kehidupan para pelajar.

Justeru, usaha-usaha seperti program berstruktur yang berfokuskan interaksi positif antara rakan sebaya di sekolah bersama para guru boleh meningkatkan kemahiran berhubung anak-anak sama ada secara fizikal atau dalam talian.

Di samping itu, empati digital, kawalan emosi dan kefahaman tentang garis sempadan dalam talian kini perlu dijadikan sebahagian daripada strategi literasi digital di setiap sekolah.

Idea ini disokong oleh kajian-kajian lepas yang menerangkan bahawa apabila anak-anak remaja berada dalam talian, mereka bukan membuang masa tetapi mereka mencari identiti, membina hubungan dan belajar tentang dunia mereka sendiri melalui hubungan media.

Persahabatan dalam talian yang selamat

Dunia digital kita semakin maju ke hadapan, begitu juga persahabatan dalam talian. Ia tetap terus mencorak bagaimana anak-anak muda kita berinteraksi dan rasa terhubung.

Oleh itu, amatlah penting untuk kita menerapkan keseimbangan antara pemerkasaan dan perlindungan. Teknologi digital tidak akan meninggalkan kita tetapi dengan panduan, kesedaran dan kecerdasan emosi digital, ia boleh membantu para pelajar untuk membina persahabatan dalam talian yang bermakna, selamat dan bersifat menyokong.

Realitinya, ia bukan sekadar klik dan sembang. Bagi anak-anak kita kini, persahabatan dalam talian adalah nyata, benar dan ternyata, ia penting dalam kehidupan mereka.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.