Memerang petanda ekosistem air yang sihat
Di bandar terkenal seperti Singapura dan Kuala Lumpur, memerang menggunakan sungai dan terusan sebagai laluan pergerakan serta berlindung di struktur binaan manusia.
Oleh: NURHIZUANI ABDUL MANAF dan HASMAHZAITI OMAR
MEMERANG ialah mamalia karnivor daripada famili Mustelidae dan subfamili Lutrinae. Haiwan ini mempunyai badan yang panjang dan langsing, kaki berselaput untuk berenang serta bulu yang tebal. Bulu ini membantu memerang kekal hangat dan terapung di dalam air.
Memerang juga dikenali sebagai haiwan yang suka bermain seperti meluncur ke dalam air dan bermain dengan batu. Tempoh kehamilan memerang adalah sekitar 60 hingga 86 hari. Anak memerang biasanya tinggal bersama keluarga selama kira-kira setahun, manakala jangka hayatnya boleh mencecah sehingga 16 tahun.
Makanan utama memerang ialah ikan, di samping katak, burung, udang karang, ketam dan kerang bergantung kepada spesies. Walau bagaimanapun, pemangsaan oleh memerang berlaku secara semula jadi dan terkawal, sekali gus membantu mengekalkan keseimbangan populasi ikan dalam sesuatu perairan.
Sesetengah memerang mempunyai kemahiran membuka kerang manakala yang lain memburu mamalia kecil atau burung. Memerang merupakan pemburu aktif di sungai, tasik atau laut dan kebanyakannya hidup berhampiran kawasan berair.
Pada masa kini, memerang semakin menyesuaikan diri dengan persekitaran bandar. Di bandar terkenal seperti Singapura dan Kuala Lumpur, memerang menggunakan sungai dan terusan sebagai laluan pergerakan serta berlindung di struktur binaan manusia.
Kehadiran memerang juga membantu mengawal populasi spesies invasif terutamanya ikan asing yang membiak secara berlebihan di perairan bandar. Oleh itu, kehadiran memerang bukan sahaja menandakan peningkatan kualiti air, malah menunjukkan pemulihan keseimbangan ekosistem akuatik.
Rentetan masalah yang pernah berlaku di Tasik Varsiti Universiti Malaya di mana tasik ini dilaporkan mengalami eutrofikasi yang menyebabkan kemerosotan kualiti air. Namun, berdasarkan kajian Jabatan Perikanan ikan kelah yang dilepaskan pada tahun 2024 didapati hidup dan membesar dengan sihat, sekali gus menunjukkan pemulihan ekosistem yang sangat positif.
Lebih membanggakan, kehadiran memerang pada tahun ini turut dirakam di tasik tersebut dan dipercayai merupakan rekod pertama kemunculan memerang di kampus Universiti Malaya. Kehadiran pemangsa semula jadi ini di bandar mencerminkan ekosistem yang semakin seimbang dan stabil, hasil usaha pemulihan berterusan melalui Projek ReviVaL yang bermula sejak tahun 2014.
Woo Chee Yoong iaitu pembantu penyelidik daripada Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) turut menyatakan bahawa kehilangan memerang daripada sesuatu kawasan menunjukkan bahawa kualiti air tidak lagi sihat. Memerang sangat sensitif terhadap pencemaran dan hanya boleh hidup di perairan yang bersih.
Seorang pakar tanah lembap, Ng Wai Pak juga menjelaskan bahawa memerang ialah pemangsa utama dalam ekosistem tanah lembap. Kehadiran memerang menjadi petunjuk kepada kesihatan alam sekitar. Selain itu, memerang membantu mengawal populasi ikan invasif yang boleh mengganggu keseimbangan ekosistem.
Penyelidikan di India dan Singapura menunjukkan bahawa memerang licin atau nama saintifiknya Lutra perspicillata dari subbenua India dan Asia Tenggara sering menghadapi tekanan akibat pembandaran dan pembangunan pesat kerana ancaman daripada pencemaran dan kerosakan habitat asal.
Menurut Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), sejak 1996, memerang licin dikategorikan sebagai spesies terancam. Hal ini membuktikan bahawa usaha pemuliharaan perlu diperkukuhkan.
Baru-baru ini Selangor Maritime Gateway (SMG) juga menyatakan bahawa kehadiran memerang merupakan tanda ekosistem akuatik yang sihat. Memerang membantu mengekalkan keseimbangan rantaian makanan dengan mengawal populasi mangsa dan mengelakkan dominasi satu spesies.
Dalam hal ini, semua pihak perlu memainkan peranan yang penting dalam melindungi memerang dan biodiversiti. Agensi kerajaan serta pihak berkuasa tempatan bertanggungjawab mengawal pencemaran, menguatkuasakan undang-undang alam sekitar dan melindungi habitat semula jadi.
Selain itu, institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar serta komuniti setempat turut berperanan menyokong usaha konservasi melalui penyelidikan, pendidikan dan penglibatan aktif masyarakat.
Usaha bersepadu yang berterusan amat penting bagi memastikan kelangsungan hidup memerang serta pemeliharaan biodiversiti untuk jangka masa panjang. Orang awam dinasihatkan supaya tidak memberi makanan kepada memerang dan sentiasa mengekalkan jarak yang selamat bagi mengelakkan haiwan tersebut menjadi agresif atau bergantung kepada manusia.
Selain itu, haiwan peliharaan perlu diikat dan dikawal bagi mengelakkan interaksi secara langsung yang boleh mengancam keselamatan manusia, haiwan peliharaan serta memerang itu sendiri.
Kesimpulannya, memerang ialah bioindikator penting bagi menilai kesihatan sungai, tasik dan laut. Kehadiran memerang menunjukkan perairan yang bersih dan seimbang.
Peranan memerang amat penting dalam mengekalkan ekologi dan biodiversiti kerana hilang satu, rosak segalanya iaitu kehilangan satu komponen ekosistem boleh menjejaskan keseluruhan keseimbangan alam. Oleh itu, kehilangan memerang boleh menyebabkan ketidakseimbangan yang serius dalam ekosistem akuatik.
* Nurhizuani Abdul Manaf dan Prof Madya Dr Hasmahzaiti binti Omar adalah daripada Program Ekologi Biodiversiti, Institut Sains Biologi, Universiti Malaya.

