‘Tanpa bahan kimia’ hanya strategi pemasaran atau krisis pendidikan sains?

Perkataan ‘bahan kimia’ tidak seharusnya menjadi label yang membangkitkan ketakutan tetapi pintu masuk kepada pemahaman tentang dunia yang kompleks dan menakjubkan ini

Poster Terkini (3)


“AWAK ajar apa di UM?”
“Kimia.”
“Oh, susah tu!” atau “Bahaya tu, main dengan bahan kimia!”

Itu antara reaksi yang sering saya terima setiap kali memperkenalkan diri sebagai pengajar Kimia di universiti.

Sering kali ia diiringi dengan nada bergurau, namun cukup untuk mencerminkan persepsi umum masyarakat bahawa kimia ialah subjek yang menakutkan.

Ia dikaitkan dengan racun, letupan dan segala yang tidak menyenangkan. Namun, benarkah kimia sebegitu buruk atau sebenarnya wujud salah faham yang lebih besar di sebalik istilah bahan kimia itu sendiri?

Hari ini, taip sahaja frasa ‘tanpa bahan kimia’ di mana-mana enjin carian dalam talian, kita akan dipaparkan dengan pelbagai iklan produk daripada makanan, kosmetik, produk penjagaan diri, hinggalah ke pembersih rumah.

Frasa ini digunakan secara meluas dalam strategi pemasaran, menggambarkan kononnya produk tersebut lebih baik dan lebih selamat kerana ‘bebas bahan berbahaya’.

Secara tidak langsung, ia mewujudkan persepsi bahawa bahan kimia ialah musuh yang perlu dijauhi tetapi persoalannya, adakah benar semua bahan kimia berbahaya? Atau adakah istilah tersebut telah disalahertikan?

Sebenarnya menurut kaca mata sains, istilah bahan kimia merujuk kepada sebarang jirim yang mempunyai struktur dan komposisi tetap, sama ada dalam bentuk unsur atau sebatian.

Menurut IUPAC iaitu sebuah organisasi antarabangsa yang menyeragamkan nama, istilah dan piawaian dalam bidang kimia, mereka mendefinisikan bahan kimia sebagai sesuatu yang terdiri daripada molekul, unit formula atau atom yang dapat dikenal pasti dan dikaji secara saintifik.

Dengan definisi ini, air yang kita minum, garam dapur (natrium klorida), gula pasir (sukrosa), udara (campuran nitrogen, oksigen dan karbon dioksida), bahkan hormon tubuh seperti insulin dan adrenalin semuanya adalah bahan kimia.

Maka, apabila sesebuah produk mendakwa ia bebas bahan kimia, apa yang sebenarnya dimaksudkan? Adakah produk itu bebas air, bebas bahan aktif atau mahu tampil lebih ‘semula jadi’ di mata pengguna? Inilah punca utama kekeliruan dalam kalangan pengguna.

Label seperti ini, walaupun menarik dari sudut pemasaran, namun ia mengelirukan daripada sudut sains. Lebih tepat jika digunakan istilah seperti ‘bebas bahan berbahaya’, kerana bukan semua bahan kimia itu berbahaya.

Ada juga produk yang meletakkan label ‘menggunakan bahan semula jadi’ sebagai alternatif kepada ‘tanpa bahan kimia’ bagi menggambarkan produk yang baik dan pilihan yang lebih sihat. Namun adakah benar semua bahan semula jadi itu benar-benar selamat?

Sama seperti kekeliruan terhatap perkataan ‘bahan kimia’ yang sering dikaitkan dengan perkara negatif, istilah ‘semula jadi’ pula sering dianggap sinonim dengan sesuatu yang selamat dan sihat.

Ini satu lagi salah tanggapan popular yang dipengaruhi oleh media dan iklan. Realitinya, semula jadi tidak bermakna selamat.

Contohnya, botulinum merupakan bahan semula jadi yang dihasilkan oleh sejenis bakteria merupakan toksin saraf yang sangat berbahaya tetapi digunakan secara meluas dalam bidang perubatan dan kosmetik seperti Botox dalam dos yang sangat kecil dan terkawal.

Sebaliknya, parasetamol, sebatian sintetik yang dihasilkan di makmal telah menyelamatkan jutaan nyawa. Keselamatan sesuatu bahan tidak ditentukan oleh asal-usulnya tetapi oleh dos, kaedah penggunaan dan tindak balas dalam tubuh.

Salah faham terhadap istilah bahan kimia ini bukan sahaja mencetuskan stigma terhadap produk buatan makmal, malah turut menjejaskan imej subjek Kimia itu sendiri.

Ramai pelajar menganggap kimia sebagai subjek yang sukar, berbahaya dan tidak relevan dengan kehidupan harian. Persepsi ini mungkin tampak remeh, namun kesannya amat besar.

Statistik menunjukkan penurunan ketara dalam bilangan pelajar aliran Sains di sekolah menengah daripada 45.20 peratus pada tahun 2017 kepada 40.94 peratus pada 2022.

Walaupun usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah meningkatkan semula angka ini kepada 50.83 peratus pada tahun 2024, cabaran untuk mencapai sasaran 60 peratus pelajar aliran Sains menjelang 2030 masih jauh.

Lebih membimbangkan, imej negatif terhadap bahan kimia ini juga telah menjauhkan masyarakat daripada pemahaman saintifik yang tepat.

Fenomena ini dikenali sebagai chemophobia iaitu ketakutan atau prasangka terhadap bahan kimia. Ia semakin menular dalam budaya popular dan pengiklanan, turut memberi kesan kepada pendidikan sains di sekolah.

Ada dalam kalangan guru sendiri yang mengurangkan aktiviti eksperimen makmal kerana khuatir dianggap mendedahkan pelajar kepada bahaya. Akibatnya, kimia tidak lagi dilihat sebagai subjek yang menyeronokkan dan penuh penerokaan, sebaliknya hanya tinggal sebagai hafalan rumus dan teori yang terputus daripada realiti.

Justeru, usaha memulihkan imej istilah ‘bahan kimia’ perlu dimulakan dari pelbagai arah. Paling utama, media dan pengiklan perlu lebih bertanggungjawab dalam menggunakan istilah sains secara tepat.

Selain itu, sistem pendidikan perlu memberi penekanan kepada konteks kehidupan sebenar dalam pengajaran kimia, agar pelajar dapat melihat kaitan antara ilmu dan realiti.

Akhir sekali, masyarakat juga perlu dididik bahawa sains bukan sekadar fakta tetapi cara berfikir, menilai dan membuat keputusan secara rasional.

Jika kita benar-benar ingin melahirkan masyarakat celik sains, kita tidak boleh membiarkan salah faham seperti ini terus berakar.

Perkataan ‘bahan kimia’ tidak seharusnya menjadi label yang membangkitkan ketakutan tetapi pintu masuk kepada pemahaman tentang dunia yang kompleks dan menakjubkan ini.

Maka, bahan kimia bukanlah ancaman tetapi ketidaktahuan kita terhadapnya itulah yang sebenarnya berbahaya.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.