Adakah saya juga seorang pembuli?

Apabila kita memikirkan tentang buli, kita biasanya membayangkan suasana di kawasan sekolah, kanak-kanak tolak-menolak, memanggil nama-nama ejekan atau berbisik sesama mereka dalam kumpulan.

Feature Image

PERNAHKAH anda memanggil seseorang ‘gigi jongang’, ketawa melihat gigi kawan yang senget, mempermainkan seseorang yang mempunyai sumbing atau parut pada wajah, memberi komen tentang gigi orang yang tidak dikenali di video TikTok atau berkongsi meme yang mengejek rupa seseorang?

Anda mungkin tidak berniat untuk berlaku kejam dan mungkin pada anda, ia sekadar gurauan atau sesuatu yang mampu membuat orang lain ketawa tetapi bagi individu yang menjadi mangsa, kata-kata itu mampu melukakan hati dan meninggalkan parut emosi yang kekal jauh lebih lama daripada detik gelak tawa itu.

Jadi, cuba kita tanya pada diri sendiri: Adakah saya seorang pembuli?

Apabila kita memikirkan tentang buli, kita biasanya membayangkan suasana di kawasan sekolah, kanak-kanak tolak-menolak, memanggil nama-nama ejekan atau berbisik sesama mereka dalam kumpulan.

Namun hakikatnya, buli tidak semestinya berakhir selepas tamat sekolah. Di dunia media sosial, buli dalam kalangan orang dewasa sama sahaja biasa berlaku, malah kadangkala lebih ketara.

Ruang komen dipenuhi dengan kata-kata sinis dan ejekan terhadap rupa paras seseorang terutamanya warna kulit, senyuman, gigi dan bentuk rahang.

Satu gambar tular yang memaparkan seseorang dengan gigi yang menonjol, rekahan/klef bibir atau masalah pergigian yang jelas boleh bertukar menjadi bahan tontonan umum dengan pantas dan ejekan tersebar lebih cepat daripada rasa belas kasihan.

Ada yang melakukannya secara terbuka, manakala ada yang berselindung di sebalik nama pengguna. Pesanannya tetap sama, jika anda berbeza, anda mudah menjadi sasaran.

Justeru, ini adalah satu perkara yang membimbangkan kerana perbuatan itu mungkin diperhatikan oleh kanak-kanak.

Mereka melihat bagaimana orang dewasa bercakap tentang orang lain dan belajar daripadanya. Jika kita ketawa melihat rupa paras seseorang di alam maya, bolehkah kita benar-benar mengharapkan anak-anak kita bersikap berbeza di sekolah?

Individu yang mempunyai masalah pada gigi mereka, sama ada gigi rongak atau susunan gigi yang tidak teratur, sering menerima perhatian yang tidak diingini.

Bagi orang luar, ia mungkin kelihatan seperti isu kosmetik yang kecil tetapi bagi individu yang mengalaminya, keadaan ini boleh membawa rasa malu, rendah diri dan keengganan untuk memberi senyuman.

Bagi kanak-kanak khususnya, ‘buli’ seperti ini boleh memberi kesan yang sangat buruk terhadap keyakinan diri serta mencetuskan kebimbangan dan kemurungan.

Kanak-kanak yang sering diejek juga akan berasa takut untuk bercakap atau mengambil bahagian dalam kelas.

Bukan itu sahaja, mereka juga berisiko mengalami trauma emosi jangka panjang dan enggan bergaul dengan orang lain.

Bagi orang dewasa pula, penghinaan secara dalam talian boleh memberi kesan serius terhadap kesihatan mental, imej diri dan harga diri.

Apa yang dianggap sebagai ‘sekadar komen’ boleh meninggalkan kesan mendalam kepada seseorang selama bertahun-tahun.

Doktor gigi dan pakar pergigian sering berdepan dengan kisah seperti ini. Ibu bapa kerap memberitahu pakar ortodontik dan pergigian pediatrik bahawa anak mereka sering dibuli di sekolah kerana rupa bentuk gigi dan disebabkan itu, mereka ingin mendapatkan rawatan untuk memperbaiki penampilan dan keyakinan diri anak mereka.

Seorang kanak-kanak mungkin datang hanya untuk pemeriksaan gigi biasa, namun di sebaliknya tersimpan sejarah ejekan dan kata-kata yang menyakitkan.

Adakalanya, perbuatan itu datang daripada rakan sekelas. Lebih mengejutkan, ia juga boleh datang daripada guru atau ahli keluarga sendiri.

Ramai antara kanak-kanak ini sangat pendiam semasa lawatan pertama ke klinik dan jarang bercakap dengan pakar. Biasanya mereka memerlukan beberapa sesi rawatan pergigian sebelum mereka berasa selesa untuk berkomunikasi dengan pasukan pergigian.

Golongan dewasa yang mempunyai masalah pergigian turut berdepan cabaran yang sama. Ada yang telah menerima rawatan sejak kecil, namun keadaan tersebut berlarutan sehingga dewasa.

Salah satu keadaan pergigian yang sering dilihat oleh pakar prostodontik ialah Amelogenesis Imperfecta (AI) iaitu gangguan yang menjejaskan perkembangan gigi sehingga menyebabkan perubahan warna gigi kepada kuning-coklat dan gigi menjadi sensitif akibat strukturnya yang lemah.

Pesakit dewasa dengan keadaan ini selalunya sangat pemalu dan berdepan masalah keyakinan diri yang rendah. Justeru, kesakitan yang mereka alami bukan sahaja di dalam mulut tetapi turut dirasai di dalam hati.

Justeru, setiap orang mempunyai peranan dalam usaha menentang buli. Kita perlu peka terhadap tanda-tanda mangsa buli.

Antaranya tiba-tiba menjadi pendiam, tidak mahu ke sekolah, enggan senyum atau perubahan dalam tingkah laku.

Jika buli itu berkaitan dengan masalah pergigian, dapatkan bantuan daripada pakar. Memperbaiki masalah pergigian boleh mengubah kehidupan, sama ada bagi kanak-kanak mahupun orang dewasa.

Ia bukan sekadar untuk senyuman tetapi untuk harga diri, keyakinan dan keberanian seseorang untuk berdepan dengan dunia.

Jika kita mahu generasi mendatang menjadi lebih penyayang, kita sendiri mesti menunjukkan teladan yang baik.

Ini bermakna kita perlu mengelakkan daripada memperlekeh penampilan orang lain, terutamanya di hadapan kanak-kanak serta bercakap secara terbuka tentang rasa hormat, empati dan kesan kata-kata kita.

Kita juga perlu mengajar anak-anak supaya tidak berkongsi atau ketawa melihat kandungan yang mengejek orang lain serta memahami bahawa masalah pergigian bukanlah pilihan semua orang.

Ini kerana, tidak semua orang mampu atau mempunyai akses kepada rawatan pergigian. Sebelum menekan butang ‘post’ atau ‘share’, tanyalah diri sendiri, adakah saya akan mengatakan perkara ini di hadapan orang tersebut? Adakah saya selesa jika anak saya berkata begitu kepada rakan sekelasnya? Adakah komen ini membantu atau hanya menyakitkan?

Untuk menjadi seorang pembuli, anda tidak semestinya perlu memukul atau menjerit menghina orang lain. Kadang-kadang ia berlaku apabila kita ketawa melihat gambar seseorang, berkongsi video senyuman yang ‘pelik,’ atau berdiam diri apabila melihat orang lain diperlakukan dengan kejam.

Namun, kita perlu beringat, kebaikan juga boleh berfungsi dengan cara yang sama iaitu tindakan yang kecil mampu membawa perubahan besar.

Jadi, kita boleh memilih untuk bersuara bagi menentang buli, tidak meninggalkan sebarang komen yang akan mengguris hati atau mengingatkan diri dan anak-anak bahawa setiap senyuman layak dihormati.

Kita hidup dalam dunia di mana penampilan boleh dihakimi dalam beberapa saat, namun kita juga hidup dalam dunia di mana kebaikan adalah pilihan yang boleh kita buat setiap hari.

Jadi, sama ada anda seorang kanak-kanak di sekolah, remaja yang sedang melihat aplikasi TikTok atau orang dewasa yang ingin menaip komen, berhentilah sejenak dan tanya diri anda, adakah saya seorang pembuli? Atau saya adalah orang yang membuat orang lain berasa selamat, diterima dan dihormati. Tidak kira bagaimana rupa mereka? Kerana pada akhirnya, jawapan itu lebih bermakna daripada mana-mana senyuman di dunia ini.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.