Jangan dilupakan isu keselamatan kanak-kanak berkeperluan khas
Kanak-kanak berkeperluan khas memerlukan perhatian keselamatan yang lebih komprehensif kerana sifat kerentanan mereka yang unik.

ISU keselamatan kanak-kanak berkeperluan khas pernah menjadi sorotan masyarakat Malaysia apabila negara dikejutkan dengan tragedi menyayat hati pada Disember 2023, melibatkan Zayn Rayyan Abdul Matiin, seorang kanak-kanak autisme yang dilaporkan hilang sebelum ditemui meninggal dunia di kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai.
Kes ini bukan sahaja menimbulkan trauma mendalam kepada keluarga mangsa tetapi juga membuka mata seluruh negara tentang betapa rentan dan terdedahnya kanak-kanak berkeperluan khas terhadap ancaman keselamatan.
Malangnya, selepas beberapa bulan, isu ini seolah-olah tenggelam daripada perhatian masyarakat luas, meskipun realitinya ancaman keselamatan masih wujud dan memerlukan perhatian yang konsisten.
Dalam tempoh beberapa minggu ini, Malaysia turut dikejutkan dengan sebuah kes buli yang melibatkan Zara Qairina, yang kisahnya menjadi tular di media sosial dan mendapat perhatian daripada Kerajaan.
Walaupun kes Zara bukan melibatkan kanak-kanak berkeperluan khas, isu buli ini memperlihatkan betapa rapuhnya perlindungan terhadap golongan kanak-kanak dan remaja di negara ini.
Jika kanak-kanak tipikal sekali pun sering terdedah kepada bahaya, maka bayangkanlah tahap kerentanan yang dihadapi oleh mereka yang mempunyai autisme, ADHD, sindrom Down atau cerebral palsy.
Mereka berhadapan bukan sahaja dengan kesukaran untuk membela diri, malah sering tidak berupaya melaporkan pengalaman mereka dengan tepat, menyebabkan ancaman keselamatan lebih mudah berlaku tanpa disedari.
Kanak-kanak berkeperluan khas memerlukan perhatian keselamatan yang lebih komprehensif kerana sifat kerentanan mereka yang unik.
Sebagai contoh, kanak-kanak dengan autisme cenderung mempunyai kesukaran dari segi komunikasi dan interaksi sosial, yang menjadikan mereka sukar meminta bantuan atau melaporkan bahaya.
Kanak-kanak dengan ADHD pula sering dilabel sebagai hiperaktif dan mudah terdedah kepada kemalangan kerana kekurangan fokus.
Mereka yang menghidap sindrom Down atau cerebral palsy pula mungkin mengalami kekangan fizikal yang menghadkan kemampuan mereka untuk melarikan diri daripada situasi bahaya.
Justeru, keselamatan bagi golongan ini bukan hanya soal fizikal tetapi juga psikososial, melibatkan bagaimana mereka dilindungi daripada ancaman keganasan, eksploitasi dan buli.
Dalam konteks Malaysia, tragedi Zayn Rayyan menjadi titik penting yang mendorong pelbagai pihak, termasuk kerajaan untuk menilai semula langkah-langkah perlindungan terhadap kanak-kanak berkeperluan khas.
Beberapa langkah dasar seperti pengukuhan peranan agensi kebajikan, pihak polis serta Kementerian Pendidikan Malaysia dalam menyediakan sistem sokongan telah disebutkan.
Namun, cabaran sebenar terletak pada kesinambungan dan keberkesanan pelaksanaan. Sering kali, isu-isu besar seperti ini mendapat liputan meluas seketika, namun tidak lama kemudian tenggelam dalam arus berita lain, seolah-olah ia tidak lagi mendesak.
Keadaan ini amat membimbangkan kerana nyawa dan keselamatan kanak-kanak berkeperluan khas bukanlah isu bermusim yang boleh dilupakan begitu sahaja.
Peranan kerajaan amat penting dalam memastikan isu keselamatan ini tidak hanya dipandang dari sudut undang-undang semata-mata tetapi juga sebagai agenda nasional yang melibatkan kesedaran, pendidikan, dan penyertaan seluruh masyarakat.
Misalnya, dasar perlindungan kanak-kanak perlu diperkukuhkan dengan memasukkan komponen khusus bagi kanak-kanak berkeperluan khas.
Di sekolah, guru dan warga pendidik perlu dilatih untuk mengenali tanda-tanda penderaan atau buli yang mungkin dialami murid berkeperluan khas.
Program latihan yang inklusif harus diwujudkan agar semua tenaga pengajar dapat memainkan peranan sebagai barisan pertama perlindungan.
Selain itu, masyarakat turut memikul tanggungjawab besar dalam melindungi golongan ini. Sikap prihatin perlu dipupuk, terutamanya dalam komuniti kejiranan.
Tragedi Zayn Rayyan menunjukkan bahawa masyarakat seharusnya lebih peka terhadap persekitaran mereka dan berperanan sebagai mata dan telinga tambahan dalam melindungi kanak-kanak.
Begitu juga dalam konteks buli, masyarakat tidak boleh lagi memandang ringan fenomena ini dengan menganggapnya sebagai ‘perkara biasa’ dalam proses membesar.
Sebaliknya, budaya membanteras buli perlu digerakkan bersama, dengan mengambil kira kerentanan yang lebih tinggi pada kanak-kanak berkeperluan khas.
Lebih jauh daripada itu, sistem sokongan psikososial juga perlu diperkukuhkan. Keluarga yang mempunyai anak berkeperluan khas memerlukan rangkaian sokongan yang bukan sahaja membantu mereka dari sudut pendidikan dan kesihatan tetapi juga dari aspek keselamatan.
Misalnya, menyediakan akses kepada latihan keselamatan khas untuk ibu bapa dan penjaga, penggunaan teknologi pengesanan (seperti gelang pintar atau GPS) untuk kanak-kanak yang cenderung mengembara tanpa pengawasan serta kempen kesedaran masyarakat tentang kepentingan melindungi golongan rentan ini.
Kes Zayn Rayyan dan isu buli yang membabitkan kanak-kanak di Malaysia seharusnya menjadi pemangkin untuk melahirkan kesedaran kolektif bahawa isu keselamatan kanak-kanak berkeperluan khas bukan sekadar tragedi individu tetapi isu kemanusiaan yang mencerminkan tahap kepedulian kita sebagai sebuah masyarakat.
Golongan ini bukan sahaja berhak mendapat pendidikan dan layanan yang sama rata tetapi juga hak paling asas iaitu perlindungan daripada bahaya.
Kesimpulannya, keselamatan kanak-kanak berkeperluan khas seperti autisme, ADHD, sindrom Down dan cerebral palsy perlu menjadi keutamaan bersama yang melibatkan kerajaan, sekolah, keluarga dan masyarakat secara menyeluruh.
Tragedi yang pernah berlaku tidak boleh dibiarkan berulang hanya kerana kita alpa atau gagal memberi perhatian berterusan.
Setiap kanak-kanak, tanpa mengira keupayaan, mempunyai hak untuk hidup dengan selamat, terlindung dan bermaruah.
Tanggungjawab kita ialah memastikan hak tersebut sentiasa terpelihara, bukan sahaja ketika isu ini sedang hangat diperkatakan tetapi sepanjang masa.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.