Zuriat melalui kaedah sains pelihara maruah dan nasab ummah

Dalam usaha membantu pasangan untuk mendapatkan zuriat, saintis telah membangunkan teknologi reproduktif berbantu.

Feature Image (1)

SETIAP pasangan suami isteri menginginkan zuriat yang sihat dan sempurna sifatnya. Namun, perlu disedari bahawa matlamat utama perkahwinan bukanlah untuk mendapatkan anak semata-mata kerana memperoleh anak di luar ‘bidang kuasa’ manusia dan merupakan ketentuan Allah SWT.

Allah SWT telah menjelaskan bahawa tidak semua pasangan yang berkahwin akan dikurniakan dengan anak sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Shura ayat 49 dan 50: “Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya; Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Atau Dia mengurniakan kedua-duanya – anak-anak lelaki dan perempuan dan Dia juga menjadikan sesiapa yang dikehendaki-Nya: mandul. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.”

Dalam usaha membantu pasangan untuk mendapatkan zuriat, saintis telah membangunkan teknologi reproduktif berbantu atau assisted reproductive technology (ART).

ART merupakan salah satu rawatan bagi kegagalan proses reproduktif tabii. Penggunaan ART untuk tujuan merawat dan menyembuhkan masalah ketidaksuburan pasangan berkahwin digalakkan Islam kerana ART tersebut memelihara kesinambungan zuriat manusia selagimana tidak mengganggu nasab.

Galakan tersebut selari dengan prinsip syarak iaitu hukum asal bagi perkara yang bermanfaat adalah diharuskan.

Pengamal perubatan bertanggungjawab dalam membantu pasangan berkahwin yang bermasalah reproduktif untuk merawat masalah tersebut dan memperoleh zuriat mereka sendiri.

Pilihan reproduktif menurut Islam bukanlah pilihan bebas dan mutlak seorang individu sahaja kerana reproduktif melibatkan pelbagai pihak meliputi pasangan individu, anak yang bakal dilahirkan, keluarga, masyarakat dan dunia amnya.

Pilihan reproduktif dalam Islam dipengaruhi dan dibatasi oleh konteks yang pelbagai, norma-norma masyarakat, agama dan budaya, dan pendirian rasmi sesebuah masyarakat dan negara.

Beberapa garis panduan umum telah ditetapkan oleh ulama-ulama dan pakar-pakar perubatan Islam berkaitan ART.

Asas utama identiti dan kesucian keturunan menurut Islam ikatan perkahwinan yang sah. Islam menggariskan bahawa dalam perkara-perkara melibatkan hubungan intim atau seksual, hukum asalnya adalah haram (al-aṣl fi al-abḍaʾ al-taḥrim) melainkan wujud dalil syarak yang membenarkan seperti pernikahan yang sah.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Muʾminun ayat 5 dan 6: “Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela.”

Ayat di atas menjelaskan bahawa isteri merupakan wadah penyaluran benih untuk perkembangan zuriat dan seorang isteri hanya boleh mengandung anak hasil benih daripada suaminya yang sah sahaja.

Oleh sebab itu, Islam hanya membenarkan persenyawaan benih pasangan suami dan isteri yang sah. Islam mensyaratkan pasangan suami isteri yang terlibat mestilah berada dalam tempoh ikatan perkahwinan yang sah sepanjang proses rawatan ART.

Islam melarang aplikasi ART yang bertujuan membantu ibu atau bapa tunggal kendiri (self-imposed single motherhood and fatherhood) dan golongan lesbian dan gay untuk memperoleh anak kerana bertentangan dengan institusi perkahwinan yang diiktiraf Islam.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia memfatwakan haram proses ART yang melibatkan pengambilan sperma atau ovum praperkahwinan meskipun persenyawaan dijalankan dalam tempoh perkahwinan yang sah.

Pengharaman juga meliputi aplikasi ART yang dilakukan selepas berlakunya perceraian atau kematian suami atau pemindahan zigot yang telah disenyawakan menerusi ART ketika dalam tempoh perkahwinan yang sah ke dalam uterus seseorang isteri selepas kematian suaminya atau berlakunya perceraian kerana tempoh sah perkahwinan tersebut telah luput.

Seterusnya, Islam mensyaratkan pengambilan sperma dan sel telur perlu mendapat keizinan pasangan suami isteri terlibat dan dilakukan secara terhormat di ruang tertutup bagi mengelakkan keraguan dalam proses pengambilannya.

Pengamal perubatan yang terlibat perlu memastikan kesucian sperma dan ovum suami isteri terlibat dijaga dan dipelihara.

Islam mengharamkan penggunaan atau pendermaan sperma, sel telur atau penglibatan pihak ketiga selain daripada pasangan suami isteri yang sah sepanjang proses ART kerana mencabuli ikatan perkahwinan sebagaimana digariskan dalam Deklarasi Casablanca 1997.

Asas kepada larangan tersebut adalah bagi mengelakkan berlakunya percampuran nasab pada anak yang dilahirkan menerusi proses ART seterusnya menimbulkan kekeliruan dan keraguan nasab anak tersebut.

Anak yang dilahirkan hasil daripada ART yang melibatkan penglibatan pihak ketiga tidak boleh dinasabkan kepada suami wanita tersebut.

Aktiviti pendermaan sperma juga diharamkan Islam. Penggunaan sperma lelaki selain daripada suami ke dalam uterus seorang wanita adalah haram dan dicela kerana menyerupai perbuatan zina.

Dalam isu teknologi ibu tumpang, Akademi Fiqh Islam Jeddah dan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia telah mengharamkannya meskipun bayi tersebut hasil daripada persenyawaan suami isteri yang sah kerana dibimbangi berlakunya percampuran genetik pada bayi tersebut antara genetik ibu bapa (pemilik sel-sel gamet) dengan genetik ibu tumpang.

Pengharaman juga melibatkan ovum yang telah disenyawakan daripada dimasukkan ke dalam uterus wanita lain.

Majlis Fiqh Islam Liga Dunia Islam pada awalnya membenarkan penggunaan ibu tumpang dengan syarat wanita yang menjadi ibu tumpang itu merupakan isteri lain kepada suami yang digunakan air maninya.

Namun, kebenaran tersebut telah dibatalkan kerana wujud kemungkinan berlaku percampuran nasab apabila suami mengadakan hubungan intim dengan ibu tumpang berkenaan.

Akademi Fiqh Islam Jeddah memfatwakan haram pemindahan organ reproduktif atau alat kelamin seperti testis dan ovari kerana organ-organ tersebut masih mengandungi sperma dan ovum pemilik asalnya.

Sekiranya dipindahkan kepada penerima dan berlaku kehamilan, maka akan timbul persoalan berkenaan status nasab sebenar bayi tersebut.

Pemindahan organ reproduktif seperti uterus yang tidak mengandungi sel gamet pula diharuskan dalam keadaan ḍarūrah dengan mengikut syarak dan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Namun, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia telah memutuskan pengharaman pemindahan uterus wanita di Malaysia berdasarkan kepada kenyataan-kenyataan berikut:

1. Hukum asal pendermaan dan pemindahan uterus adalah haram dan tujuan untuk mendapatkan zuriat hanyalah bersifat takmīliyyah iaitu sebagai pelengkap kehidupan berkeluarga.

2. Keperluan mendapatkan zuriat melalui pendermaan dan pemindahan uterus di Malaysia belum berada pada tahap ḍarūrah.

3. Keperluan mendapatkan zuriat melalui pembedahan dan pemindahan uterus bagi wanita yang mempunyai uterus yang bermasalah atau tidak mempunyai uterus hanya sekadar berada pada tahap taḥsīniyyah.

Walaupun fatwa Akademi Fiqh Islam Jeddah dan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia berkenaan pemindahan uterus wanita kelihatan bercanggah, namun berdasarkan penelitian tidak wujud percanggahan antara kedua-duanya kerana keharusan yang diberikan Akademi Fiqh Islam Jeddah adalah dengan syarat wujud keadaan ḍarūrah dan keadaan tersebut masih belum berlaku di Malaysia sebagaimana yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia.

Kesimpulannya, Islam membenarkan bahkan menggalakkan umatnya berusaha mendapatkan zuriat. Rasulullah S.A.W sendiri berbangga memiliki umat yang ramai sebagaimana sabda baginda yang diriwayatkan dalam Sunan Abu Daud: “Nikahilah perempuan yang penyayang dan subur (banyak anak) kerana sesungguhnya aku akan membanggakan (banyaknya jumlah kalian) dihadapan umat-umat lain.”

Bagi memandu umatnya dalam usaha mereka mendapatkan zuriat menerusi ART, Islam telah menggariskan beberapa syarat yang perlu dipatuhi.

Syarat-syarat yang telah dibincangkan di atas bertujuan bagi memelihara maruah dan nasab, sekali gus menjamin kebajikan zuriat yang bakal lahir dan mengelakkan kacau-bilau dalam masyarakat.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.