Serbuan Menunjukkan Rangkaian Rokok Seludup Semakin Menyesuaikan Taktik– Pakar Jenayah Ekonomi

Screenshot 2026-08-10 163301

KUALA LUMPUR, 26 Ogos 2026 – Walaupun penguatkuasaan dipertingkatkan dan dilaksanakan secara berterusan, kegiatan perdagangan rokok seludup di Malaysia masih berleluasa dan kini semakin menyesuaikan taktik operasi, bukannya berundur, kata Datuk Dr Yusoff Nook, bekas Ketua Polis Sarawak, peguam bertauliah dan pakar kawalan jenayah ekonomi.

Kenyataan beliau susulan beberapa siri operasi di sekitar Lembah Klang. Bahagian Siasatan Jenayah Hidupan Liar/Khas Perisikan Siasatan (WCB/PSK) Bukit Aman yang kini diketuai pengarah baharu, Datuk Mohd Zaki Ashar, telah merekodkan 13 kes, 17 tangkapan dan rampasan bernilai RM9.61 juta sejak Ops Taring Alpha 1 dilaksanakan.

Ini termasuk rampasan bernilai RM1.49 juta dalam serbuan di Semenyih dan Damansara Damai pada 15 Ogos, serta RM1.66 juta di Desa Petaling dan Putra Heights pada 17 Ogos.

Corak yang sama turut dilihat di Malaysia Timur. Di Sarawak, Ops Taring Alpha yang dijalankan merentasi 11 daerah, termasuk Kuching, Miri dan Bintulu, berjaya merampas rokok serta barangan kontraban lain bernilai RM1.94 juta antara 1 hingga 13 Ogos.

Di Sabah pula, polis marin merampas 134,600 batang rokok seludup bernilai lebih RM167,000 dari sebuah stor di Tenom pada Julai lalu. Operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan yang telah merekodkan 44 kes dan rampasan berjumlah RM6.21 juta sejak Januari sahaja.

“Agensi penguatkuasaan kita wajar diberikan pengiktirafan atas usaha yang telah dilaksanakan tahun ini, termasuk peningkatan jumlah serbuan serta operasi yang lebih pantas dan berasaskan risikan di Lembah Klang, Sabah dan Sarawak.

“Namun, modus operandi rangkaian ini terus berubah. Setiap kali penguatkuasaan berjaya menutup satu laluan, kegiatan ini akan mencari laluan lain,” kata Datuk Dr Yusoff.

Beliau berkata, walaupun penguatkuasaan dipergiatkan di seluruh Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur rangkaian ini tetap berleluasa mencerminkan corak yang beliau katakan sejak awal tahun ini – jumlah rampasan dan tangkapan mungkin meningkat, namun pasarannya secara umum masih belum mengecil secara ketara.

“Usaha ini sememangnya wajar dihargai. Tetapi selagi pasaran yang menjadi sumber permintaan kepada rangkaian ini masih wujud, penguatkuasaan semata-mata tidak mampu memenangi pertempuran ini,” katanya.

Menurut Datuk Dr Yusoff, tinjauan pengguna terbaharu oleh Wawasanex mendapati 91 peratus rakyat Malaysia yang pernah membeli rokok haram menyatakan harga sebagai sebab utama mereka berbuat demikian, manakala 75 peratus pula menyebut faktor akses yang mudah.

“Dapatan ini menunjukkan bahawa kita sedang berdepan dengan masalah permintaan yang didorong oleh faktor kemampuan harga dan akses, bukan semata-mata masalah bekalan,” katanya.

“Selagi rokok haram lebih murah dan lebih mudah diperoleh berbanding rokok sah, kita akan terus membincangkan isu yang sama setiap beberapa bulan, cuma lokasi yang menjadi tajuk utama akan berubah.

“Ini bukan kegagalan penguatkuasaan. Ia adalah realiti pasaran dan tingkah laku pengguna yang perlu ditangani,” katanya.

Menjelang pembentangan Belanjawan 2027 pada awal Oktober, Datuk Dr Yusoff menggesa Kementerian Kewangan supaya menangguhkan sebarang kenaikan lanjut duti eksais ke atas rokok sah sehingga satu kajian semula dilaksanakan bagi menilai bagaimana jurang harga yang semakin besar berbanding produk haram menyumbang kepada permintaan terhadap rokok seludup.

“Kita sudah mengetahui faktor yang mendorong pembeli beralih kepada pasaran haram, iaitu harga dan akses.

“Jika harga rokok sah terus dinaikkan tanpa pelan untuk menangani pasaran haram, kita sebenarnya melebarkan lagi jurang harga yang mendorong lebih ramai rakyat Malaysia memilih alternatif haram,” katanya.

“Setiap serbuan yang kita lihat bulan ini, sama ada di Lembah Klang, Sabah mahupun Sarawak, menunjukkan anggota penguat kuasa kita sedang melaksanakan tugas yang sukar dan memerlukan kemahiran tinggi.

“Pendirian saya tetap sama: ukuran sebenar kejayaan bukanlah berapa banyak rampasan yang dilaporkan dalam berita, tetapi sama ada pasaran haram itu sendiri semakin mengecil.

“Dalam hal ini, masih banyak yang perlu dilakukan,” katanya.