Bersediakah guru menerima mereka?
Kanak-kanak berumur enam tahun di tahun satu persekolahan arus perdana.
Oleh: MOHD NAZRI ABDUL RAHMAN dan MUHAMMAD ASYRAF MANSOR
PERALIHAN sistem pendidikan kini yang membenarkan kanak-kanak seawal usia enam tahun untuk mengikuti persekolahan di Tahap Satu bermula sesi persekolahan 2027 telah mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan akademik, ibu bapa dan komuniti.
Tradisinya, sistem pendidikan Malaysia menetapkan usia tujuh tahun sebagai permulaan pendidikan wajib di sekolah rendah. Mampukah kanak-kanak seawal enam tahun mengikuti sistem pendidikan formal dalam persekitaran persekolahan arus perdana?
Sejauh manakah guru dan pentadbiran sekolah arus perdana bersedia untuk menerima kanak-kanak ini? Adakah kemudahan infrastruktur (saiz kerusi dan meja; bilangan murid) sekolah berupaya menyediakan ruang pembelajaran yang inklusif dan merangsang pembelajaran kanak-kanak enam tahun?
Dengan arus pemodenan dan kepantasan kognitif generasi alfa/betta, memungkinkan peralihan umur persekolahan. Tidak dinafikan, kanak-kanak berumur enam tahun mampu menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira, namun dari sudut perkembangan kanak-kanak khususnya kematangan emosi, mereka masih berada pada fasa bermain.
Ini pastinya memberi cabaran besar buat guru di sekolah rendah di mana struktur pembelajarannya adalah lebih formal berbanding prasekolah. Dalam situasi baharu ini, mereka bukan sahaja perlu mengajar mata pelajaran akademik yang padat kepada individu yang masih memerlukan perhatian emosi yang tinggi dan bimbingan fizikal dalam mengurus diri.
Pastinya transisi ini menuntut kesediaan guru yang tinggi dalam realiti sebenar bilik darjah. Guru Tahap Satu telah melalui latihan pedagogi yang sejajar dengan kurikulum KSSR, berbeza dengan cara mengajar kanak-kanak berusia enam tahun, pedagogi wajib adalah ‘bermain sambil belajar’.
Adakah kurikulum persekolahan 2027 bagi Tahap Satu memberi penekanan kepada aspek ini? Adakah guru mempunyai masa yang cukup untuk mengintegrasikan elemen bermain dalam mata pelajaran yang mengejar KPI akademik? Pastinya tanpa asas latihan pedagogi dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, guru Tahap Satu sekolah rendah mungkin mempunyai kecenderungan menggunakan kaedah ‘chalk and talk’ yang membosankan dan memberi tekanan kepada murid kecil ini.
Selain itu, perlu diingatkan dalam aspek perkembangan, kanak-kanak berumur enam tahun mempunyai daya tumpuan (attention span) yang lebih pendek, sekitar 10 hingga 15 minit bagi satu-satu aktiviti.
Maka, guru Tahap Satu, perlu mempunyai kemahiran pedagogi awal kanak-kanak dan menjadi lebih kreatif dan bertenaga untuk mengendalikan kelas yang mungkin 35 hingga 40 orang murid dalam satu kelas, di mana sebahagiannya baru berusia enam tahun. Kegagalan dalam pengurusan tingkah laku ini memungkinkan berlakunya ‘burnout’ dalam kalangan guru Tahap Satu adalah tinggi.
Tidak dapat dinafikan, sebahagian besar guru Tahap Satu mempunyai kemahiran yang baik dalam mengenal pasti penguasaan akademik kanak-kanak. Namun, kemasukan murid berumur enam tahun, guru Tahap Satu bukan hanya mahir mengenal pasti perbezaan antara kanak-kanak yang pintar akademik dengan kanak-kanak yang matang secara sosial.
Justeru kesediaan guru juga pastinya diukur melalui keupayaan mereka untuk tidak melabel murid yang lambat menyesuaikan diri sebagai lemah, sebaliknya memahami bahawa setiap kanak-kanak mempunyai garis masa perkembangan yang berbeza.
Untuk memastikan guru Tahap Satu bersedia menjayakan transisi ini, beberapa langkah proaktif perlu diambil tindakan segera antaranya menyediakan latihan silang (cross-training) bagi guru-guru Tahap Satu dalam bidang Pendidikan Awal kanak-kanak.
Latihan ini tidak hanya memberi fokus kepada pedagogi tetapi lebih kepada psikologi perkembangan kanak-kanak di bawah usia tujuh tahun. Ini penting bagi memastikan kanak-kanak dapat bimbingan sosioemosi semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.
Selain itu, kurikulum transisi yang lebih fleksibel bagi murid Tahap Satu perlu dilaksanakan dalam tempoh yang lebih panjang, bukannya sekadar dua ketiga minggu.
Adalah lebih baik jika ia dapat dilaksanakan bagi keseluruhan penggal pertama bagi memastikan kestabilan emosi murid berumur enam tahun. Selain itu, adalah lebih efektif saiz kelas tahun satu mempunyai nisbah guru kepada murid yang lebih kecil.
Bagi kelas yang mempunyai kanak-kanak berusia enam tahun, nisbah 1:20 adalah lebih ideal berbanding 1:40 murid Tahap Satu aliran perdana sekarang. Selain itu, jika kanak-kanak enam tahun mula memasuki Tahap Satu, wujud keperluan untuk mempunyai pembantu guru di dalam kelas bagi membantu urusan bukan akademik.
Guru Malaysia mempunyai dedikasi yang tinggi, namun tanpa sokongan sumber, latihan dan persekitaran yang kondusif, proses transisi ini akan menemui halangan besar khususnya para guru yang akan berhadapan dengan situasi baharu ini.
Mendesak kanak-kanak untuk memasuki alam persekolahan formal terlalu awal, tanpa kesediaan guru yang rapi, ia mungkin berhadapan dengan risiko mematikan minat murid-murid terhadap ilmu. Hasilnya generasi yang kita lahirkan generasi yang pintar membaca tetapi tempang dari segi sahsiah, adab dan ketahanan emosi.
* Prof Madya Dr. Mohd. Nazri Abdul Rahman ialah Pensyarah di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya manakala Muhammad Asyraf Mansor ialah Pegawai Penyelidik di Pusat Jalinan Masyarakat, Universiti Malaya.

