USM dekati komuniti tingkat kesedaran penjagaan paliatif

Pendidikan komuniti penting kerana ramai penjaga pesakit mempunyai keinginan untuk membantu tetapi kurang pengetahuan mengenai kaedah penjagaan yang betul.

Feature Image (4)

KUALA LUMPUR, 27 Mei 2026 – Unit Paliatif di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil pendekatan lebih dekat dengan masyarakat menerusi penganjuran Program Penjagaan Asas Pesakit Terlantar Bersama Komuniti bagi meningkatkan kefahaman berkaitan penjagaan paliatif dan pesakit terlantar.

Program dengan kerjasama Pertubuhan Paliatif Universiti Sains Malaysia itu memberi pendedahan kepada ahli keluarga pesakit, sukarelawan dan komuniti setempat mengenai aspek asas penjagaan paliatif termasuk pengurusan pesakit terlantar, pemakanan, sokongan psikologi serta pengendalian tekanan emosi penjaga.

Pensyarah Perubatan dan Pakar Perubatan Dalaman PKTAAB merangkap Penyelaras Unit Paliatif PKTAAB, Dr Siti Nooraini Mohamad Yusof berkata pendidikan komuniti penting kerana ramai penjaga pesakit mempunyai keinginan untuk membantu tetapi kurang pengetahuan mengenai kaedah penjagaan yang betul.

“Penjagaan paliatif bukan sekadar merawat simptom penyakit, sebaliknya melibatkan sokongan menyeluruh terhadap pesakit dan ahli keluarga yang menjaga mereka.

“Apabila penjaga mempunyai ilmu dan keyakinan, pesakit akan menerima penjagaan yang lebih baik serta bermaruah,” katanya dalam kenyataan berkaitan program itu.

Menurut beliau, latihan secara praktikal memberi impak lebih besar berbanding penerangan teori kerana peserta dapat memahami situasi sebenar yang bakal dihadapi ketika menjaga pesakit di rumah.

Program itu turut menampilkan beberapa stesen latihan praktikal yang memberi peluang kepada peserta mempelajari teknik menukar lampin dan cadar pesakit secara selamat, kaedah memindahkan pesakit dari katil ke kerusi roda serta pengurusan penjagaan luka tekanan, beg stoma dan tiub nasogastrik.

Dr Siti Nooraini berkata penilaian sebelum dan selepas program menunjukkan peningkatan tahap pengetahuan peserta secara konsisten, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan latihan berasaskan pengalaman sebenar.

Beliau berkata PKTAAB juga terus memperkukuh perkhidmatan penjagaan paliatif menerusi pembangunan ekosistem sokongan menyeluruh yang bukan hanya tertumpu kepada rawatan di hospital.

Selain klinik paliatif dan rawatan pesakit dalam, unit berkenaan turut menyediakan khidmat lawatan ke rumah bagi membantu pesakit yang menghadapi kesukaran hadir ke hospital.

Kemudahan talian hotline dan sesi tele-konsultasi turut disediakan bagi membolehkan ahli keluarga mendapatkan panduan segera tanpa perlu hadir secara fizikal ke fasiliti kesihatan.

Dalam pada itu, aspek sokongan emosi dan kaunseling terus diberi perhatian memandangkan penjagaan paliatif melibatkan cabaran emosi bukan sahaja kepada pesakit tetapi juga ahli keluarga.

Menurut Dr Siti Nooraini, usaha mendekati masyarakat melalui pendidikan awam dan latihan sukarelawan merupakan antara langkah penting dalam membina komuniti yang lebih prihatin terhadap keperluan pesakit kronik dan terlantar.

Inisiatif itu turut diperkukuh menerusi kerjasama strategik bersama Majlis Kanser Negara (MAKNA), termasuk penempatan kakitangan MAKNA di Unit Paliatif PKTAAB bagi memperkasakan perkhidmatan kepada pesakit di wilayah utara.

Usaha memperluas ilmu penjagaan paliatif kepada masyarakat dilihat semakin penting ketika negara berdepan peningkatan populasi warga emas serta penyakit kronik, selain membantu mengurangkan risiko komplikasi kesihatan dan kemasukan semula pesakit ke hospital.