Pakej rahmah, tapi haji tidak sah!
Antara syarat utama pelaksanaan badal haji ialah seorang pelaksana haji hanya dibenarkan untuk melakukan badal bagi satu orang dalam satu musim haji.
Oleh: FAWWAZ FADZIL
SETIAP kali tiba musim haji, pasti ramai orang yang memasang niat untuk membuat badal haji. Biasanya, amalan badal haji ini dikhususkan untuk arwah ibu bapa, ahli keluarga yang telah meninggal dunia atau mereka yang uzur dan sakit terlantar. Niat ini memang sangat mulia dan amat dituntut dalam agama bagi melunaskan rukun Islam kelima buat insan tersayang.
Namun begitu, niat suci ini telah membuka peluang kepada para penipu di luar sana. Pantang dibuka media sosial baharu, pasti akan melintas pelbagai iklan badal haji dengan tawaran harga ‘Rahmah’, iaitu semurah RM1,500 hingga RM5,000 sahaja. Apabila didengar iklan sebegini, memang akan terasa macam berbaloi tetapi jika tersalah langkah, wang upah lebur dan kesahan ibadah haji entah ke mana.
Untuk memahami isu ini dengan lebih mendalam, ia perlu dilihat dari sudut asas hukum Islam. Secara ringkasnya, badal haji atau ganti haji bermaksud seseorang yang telah melakukan haji untuk dirinya, lalu melaksanakan haji untuk orang lain sama ada seseorang yang telah meninggal dunia atau sakit yang tiada harapan sembuh untuk melakukan ibadah haji ke tanah suci, sama ada dengan upah atau tidak.
Mengikut hukum syarak, antara syarat utama pelaksanaan badal haji ialah seorang pelaksana haji hanya dibenarkan untuk melakukan badal bagi satu orang dalam satu musim haji.
Hal ini berdasarkan riwayat daripada Abdullah bin Abbas RA, maksudnya: Bahawa Nabi SAW mendengar seorang lelaki berkata: (Menyahut Panggilan-Mu Ya Allah daripada Syubrumah), Lalu baginda bersabda: Siapakah Syubrumah? Maka lelaki tersebut menjawab: Saudaraku. Baginda bersabda: (Kamu sudah menunaikan haji untuk dirimu?) Lelaki tu berkata: Tidak, Baginda bersabda: (Tunaikan haji untuk dirimu terlebih dahulu, kemudian tunaikan untuk Syubrumah). (HR Abu Daud: Hadith no. 1811)
Mafhum daripada hadis Syubrumah di atas menunjukkan bahawa ibadah haji adalah ibadah yang tidak boleh digabungkan dua niat dalam satu ibadah haji. Sekiranya ibadah haji boleh dilakukan untuk dua orang atau lebih dalam satu masa, tentu Nabi SAW akan mengizinkan lelaki tersebut untuk menggabungkan niat haji untuk dirinya dan Syubrumah sekaligus.
Selain daripada dalil hadis, isu ini juga boleh dilihat dari sudut praktikal dan pelaksanaannya. Ibadah haji ialah suatu ibadah yang terhad waktunya (*mudayyaq*). Dalam bahasa mudahnya, tempoh masa yang ada pada musim haji tersebut memang hanya cukup untuk fokus menyempurnakan satu ibadah haji sahaja. Memandangkan setiap individu perlu melengkapkan kesemua manasik haji dengan sempurna, memang mustahil dan tidak logik untuk seseorang itu melaksanakan dua atau lebih ibadah haji serentak dalam tahun yang sama.
Di sinilah munculnya masalah penipuan yang sering digelar sebagai ‘badal borongan’. Penipu biasanya akan mengiklankan pakej dengan harga yang terlampau murah berbanding kos sebenar. Untuk menampakkan pakej mereka lebih meyakinkan di mata masyarakat, mangsa akan ditawarkan dengan pelbagai cenderamata percuma seperti sejadah, air zam-zam, kurma dan paling popular, sijil badal haji yang siap berbingkai cantik.
Persoalannya, bagaimana mereka mendapat keuntungan jika harga yang ditawarkan sangat murah? Jawapannya terletak pada sistem borong. Mereka mengambil beribu-ribu penyertaan waris tanpa sebarang had. Cuba bayangkan, jika satu agensi berjaya mengumpul 1,000 nama dengan bayaran RM1,500 seorang, mereka sudah mengutip tunai sebanyak RM1.5 juta.
Hakikatnya, mereka mungkin hanya mengupah dua atau tiga pihak yang berada Mekah. Pihak-pihak ini hanya membaca niat haji untuk banyak nama bagi satu badal haji yang dilakukan. Ini bukan lagi sebuah ibadah yang suci tetapi ia sudah bertukar menjadi perniagaan borong. Sijil dan video doa yang dihantar kepada waris pula selalunya hanyalah sekadar video yang dikitar semula atau disunting secara digital.
Mari kita fikir sejenak menggunakan logik akal dan pengiraan mudah. Untuk menunaikan haji, seorang penduduk tempatan di Arab Saudi atau mana-mana petugas di sana wajib memiliki permit haji yang sah atau dipanggil “tasrih”. Harga permit ini sahaja, mengikut kadar rasmi yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi, sekitar RM11,300 (SR10,000) seorang bagi tahun 2026/1448H.
Kos asas ini belum lagi mengambil kira aspek penginapan di dalam khemah di Mina, perbelanjaan makan minum harian dan kos pengangkutan yang sememangnya melambung tinggi ketika musim kemuncak haji. Jika upah badal yang ditawarkan kepada agensi di Malaysia hanya RM1,500 hingga RM5,000, adakah masuk akal wang itu cukup untuk menampung kos operasi sebenar di Tanah Suci? Sudah pasti jumlah itu tidak melepasi kos asas. Maka terbuktilah bahawa pakej berharga murah ini sebenarnya hanyalah sekadar umpan murah untuk menarik minat orang yang mahukan penjimatan.
Perkara ini sangat menyedihkan terutamanya apabila dinilai dari sudut emosi dan kerohanian. Ramai waris bertungkus-lumus mengumpul duit titik peluh sedikit demi sedikit semata-mata kerana mahu membalas jasa arwah ibu bapa mereka. Sayangnya, niat suci mereka dimanipulasi dan mereka ditipu hidup-hidup. Lebih menakutkan lagi, dari sudut pandang hukum Islam, badal haji yang dilaksanakan secara borong itu adalah tidak sah kerana rukun serta syarat wajibnya langsung tidak dipenuhi.
Waris di tanah air menyangka kewajipan arwah sudah selesai dengan megahnya sijil yang digantung di dinding, namun rupa-rupanya tanggungan tersebut masih tertunggak dan tidak tertunai di hadapan Allah.
Oleh hal yang demikian, orang Islam perlu mengambil langkah berjaga-bagga untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa sindiket ini. Perkara pertama dan paling penting adalah jangan sesekali kelabu mata dengan pakej yang terlalu murah dan sentiasalah merujuk kepada kadar harga lantai yang disarankan oleh pihak berkuasa agama dari semasa ke semasa.
Selain itu, waris juga bertanggungjawab untuk menyemak latar belakang agensi yang menawarkan perkhidmatan tersebut. Pastikan agensi berkenaan berdaftar secara rasmi dan memiliki lesen Pengendali Jemaah Haji (PJH) yang diiktiraf oleh Lembaga Tabung Haji.
Seterusnya, jangan segan untuk banyak bertanya dan meminta bukti yang jelas. Mintalah profil pelaksana haji seperti nama penuh dan salinan pasport mereka, berserta salinan permit haji yang sah daripada Kerajaan Arab Saudi.
Kesimpulannya, niat yang baik untuk beribadah biarlah sentiasa diiringi dengan ilmu pengetahuan dan kewaspadaan. Jadilah pengguna serta umat Islam yang bijak. Biarlah kita membayar lebih mahal sedikit, asalkan ibadah yang dilaksanakan terjamin sah, selamat dan beroleh haji yang mabrur buat insan tersayang.
* Penulis merupakan Mahasiswa di Jabatan Fiqh-Usul & Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

