Antara warisan ilmu Islam dan agenda jurnal berimpak tinggi

Dalam tradisi Islam, nilai ilmu tidak ditentukan oleh populariti atau jumlah pembacanya tetapi oleh beberapa kriteria utama.

Feature Image (5)

MENGAPA ahli akademik perlu menerbitkan penulisan mereka dalam jurnal berindeks dan berimpak tinggi?

Jurnal merupakan penerbitan berkala yang memuatkan artikel ilmiah hasil penyelidikan dan pemikiran akademik.

Istilah ‘berkala’ merujuk kepada dua aspek penting:

1. Ia diterbitkan mengikut jadual tetap (seperti bulanan, suku tahunan atau dua kali setahun)
2. Penerbitannya konsisten, yang dapat dilihat melalui kesinambungan nombor isu dan volume

Jurnal berindeks ialah jurnal yang disenaraikan atau dimasukkan ke dalam pangkalan data indeks akademik yang diiktiraf di peringkat antarabangsa atau kebangsaan.

Pengindeksan ini berfungsi sebagai bentuk pengesahan bahawa jurnal tersebut memenuhi standard akademik tertentu, termasuk aspek kualiti penerbitan, ketelusan proses semakan rakan sebaya (peer review) dan memudahkan penyelidik mencari serta merujuk artikel.

Antara contoh pangkalan indeks utama ialah Scopus (Elsevier), Web of Science (WoS) dan indeks terbuka seperti DOAJ (Directory of Open Access Journals).

Terdapat juga indeks serantau seperti ASEAN Citation Index (membabitkan jurnal dari seluruh Asia Tenggara) dan MyCite (Malaysian Citation Index) yang mengindeks jurnal di Malaysia.

Dalam komuniti akademik, jurnal berindeks dianggap lebih boleh dipercayai kerana telah melalui proses penapisan editorial dan teknikal yang ketat seperti proses peer review dan pematuhan kepada standard etika penerbitan.

Oleh itu, bagi sesuatu jurnal untuk disenaraikan dalam pangkalan indeks, ia juga perlu melalui proses tapisan yang ketat sebelum diiktiraf.

Jurnal berimpak tinggi pula ialah jurnal yang bukan sahaja diindeks tetapi artikel-artikel di dalamnya sering dirujuk (cited) oleh penyelidik lain.

Pengukuran impak ini pelbagai antaranya:
1. Impact Factor (IF) oleh Clarivate (Journal Citation Reports) – mengukur purata bilangan sitasi yang diterima per artikel dalam sesuatu jurnal dalam tempoh 2 ke 5 tahun.

2. CiteScore (oleh Scopus) – mirip Impact Factor tetapi menggunakan data daripada pangkalan Scopus.

3. H-Index & SJR (SCImago Journal Rank) – mengukur pengaruh sitasi bukan sekadar jumlah, tetapi juga kualiti sumber sitasi (contohnya, sitasi daripada jurnal ternama dilihat lebih berharga).

Pada aspek nilai akademik, jurnal berimpak tinggi menunjukkan bahawa kajian yang diterbitkan di jurnal tersebut memberi pengaruh besar terhadap perkembangan ilmu, menjadi rujukan utama dan membentuk hala tuju penyelidikan di peringkat global.

Ia juga menjadi tanda aras reputasi penyelidik. Sehingga ke takat penulisan ini, maka terjawab sudah persoalan mengapa penulisan di jurnal berimpak tinggi sangat ditekankan oleh universiti.

Namun apakah ini memadai menjadi kayu ukur kualiti penulis dan penulisannya? Ia tidak semestinya demikian. Setiap bidang punyai perbincangannya dan di sini saya kemukakan dalam bidang pengajian Islam dan nilai kesarjanaannya.

Dalam pengajian Islam, ukuran ini boleh dikritik kerana sitasi dan jumlah rujukan tidak boleh disamakan dengan kebenaran, kesahihan atau nilai ilmu.

Ada karya yang kurang dirujuk (oleh penulis artikel) tetapi tetap menjadi rujukan penting dan bermakna (oleh pakar bidang sejak zaman berzaman).

Apa hujahan artikel yang banyak disitasi (dirujuk) belum tentu benar? Dalam kajian orientalis, ada karya yang banyak dirujuk kerana kontroversi atau kerana ia membuka polemik tetapi dari sudut Islam, ia mungkin salah tafsir, tidak sahih sanadnya atau bertentangan dengan akidah.

Walaupun ia ‘berimpak tinggi’, mutunya dalam neraca ilmu Islam dipersoalkan. Sebagai contoh, dalam Muhammedanische Studien, Ignaz Goldziher (1850–1921) mengkritik kesahihan hadis dan menuduh bahawa banyak hadis adalah rekaan aliran politik dan mazhab terkemudian.

Karya ini dikritik hebat oleh para sarjana Islam tetapi ia terus menjadi rujukan utama orientalis Barat tentang hadis.

Justeru, tinggi sitasi bukan kerana ia benar atau bermutu tinggi dari sudut disiplin hadis tetapi kerana ia mencetuskan polemik besar dalam kalangan ahli akademik.

Begitu juga karya seperti The Veil and the Male Elite oleh Fatima Mernissi (1940–2015) yang mempertikaikan status hadis-hadis tertentu berkaitan peranan wanita tetapi banyak dirujuk dalam wacana feminisme Islam di Barat.

Hal yang sama dalam karya oleh John Wansbrough (1928–2002) iaitu Quranic Studies dan The Sectarian Milieu dan banyak lagi.

Selain itu, dalam pengajian Islam, ada penulisan yang sangat teknikal, khusus atau ditujukan kepada lapisan kecil sarjana (misalnya edisi kritikal manuskrip, syarah, hasyiah dan tahqiq naskhah lama).

Ia mungkin tidak banyak disitasi tetapi nilainya amat besar untuk kesinambungan ilmu. Sitasi juga dipengaruhi oleh trend. Dalam dunia sains moden, sitasi dipacu oleh isu semasa.

Sebagai contoh, kajian tentang AI, perubahan iklim atau COVID-19 boleh melonjakkan sitasi sesuatu penulisan.

Dalam Islam, fenomena yang sama boleh berlaku. Contohnya, kajian tentang Islamofobia mungkin lebih banyak disitasi atau dirujuk kerana ia merupakan isu global berbanding kajian lebih teliti dan khusus tentang ilmu faraid atau nahu Arab. Namun, itu tidak bermakna faraid atau nahu kurang penting.

Dalam tradisi Islam, nilai ilmu tidak ditentukan oleh populariti atau jumlah pembacanya tetapi oleh beberapa kriteria utama seperti:

1. Sanad: kesinambungan guru-murid yang dipercayai
2. Ijmak dan kesahihan: diterima dan disahkan oleh ulama muktabar
3. Tahqiq dan ketelitian: keaslian, penelitian dan ketepatan hujah dan lain-lain lagi

Meskipun sesuatu karya hanya dibaca oleh sedikit orang, ia boleh menjadi sumber ilmu yang mapan. Sebagai contoh, al-Risalah karya al-Imam al-Syafiʿi pada peringkat awal mungkin tidak ‘popular’ di luar kalangan ilmuwan usul fiqh, namun akhirnya menjadi tonggak besar dalam sejarah hukum Islam.

Sebaliknya, terdapat juga karya-karya yang suatu ketika dahulu sangat banyak disalin dan berpengaruh (berimpak tinggi pada zamannya), tetapi kemudian ditolak kerana bercanggah dengan akidah Islam seperti sebahagian karya falsafah dan aliran pemikiran sesat.

Maka, dalam konteks pengajian Islam, jurnal berindeks dan berimpak tinggi hanya wajar dianggap sebagai salah satu instrumen penilaian dalam kerangka akademia moden, namun bukan neraca mutlak yang menentukan nilai ilmu secara sejagat.

Hakikatnya, kedudukan sebenar sesuatu artikel atau karya tetap bergantung pada kesahihan sumber, ketelitian metodologi serta keselarasan dengan akidah dan syariat.

Dengan itu, sebuah artikel yang jarang disitasi tetapi meneliti manuskrip turath dengan teliti dan menyumbang pada penjagaan warisan ilmu Islam, mungkin lebih bernilai daripada artikel ‘impak tinggi’ yang sekadar mengikuti trend atau bahkan membawa tafsiran yang salah.

Oleh itu, pendekatan penilaian ilmiah di universiti perlu bersifat seimbang iaitu tidak hanya menilai karya berdasarkan indeks sitasi atau impak faktor semata-mata tetapi turut mengambil kira nilai keilmuan yang intrinsik, termasuklah dengan memberi jumlah mata yang tinggi bagi penerbitan buku yang boleh dibaca oleh khalayak umum.

Sehubungan itu, dasar akademik universiti-universiti di dunia Islam wajar digubal secara kontekstual dan holistik, dengan menggabungkan piawaian antarabangsa serta penekanan pada warisan ilmu Islam, keperluan masyarakat dan budaya tempatan.

Pada masa sama, sarjana digalakkan menulis bukan hanya dalam jurnal antarabangsa berindeks tetapi juga dalam jurnal tempatan yang berperanan menyuburkan kefahaman akademik negara tanpa mengabaikan nilai ilmiah serta buku bacaan umum yang boleh memanfaatkan masyarakat.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.