Bantuan tunai, penurunan kadar faedah strategi dua hala pemulihan ekonomi

Kedua-dua langkah ini bukan sahaja bersifat responsif terhadap cabaran makroekonomi tetapi juga memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.

Feature Image (2)

BANTUAN tunai RM100 secara sekali beri atau one-off kepada semua warganegara dewasa Malaysia melalui MyKad, bersama penurunan kadar faedah sebanyak 25 mata asas oleh Bank Negara Malaysia (BNM), membentuk satu pendekatan dasar yang saling melengkapi dalam menangani tekanan ekonomi semasa.

Kedua-dua langkah ini bukan sahaja bersifat responsif terhadap cabaran makroekonomi tetapi juga memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat, khususnya golongan B40 dan M40 yang menetap di kawasan bandar.

Golongan berpendapatan rendah dan sederhana di bandar menghadapi tekanan kos sara hidup yang lebih tinggi berbanding mereka di luar bandar.

Kenaikan harga barangan asas dan perkhidmatan, terutamanya selepas peluasan kaotogiri SST, telah menyebabkan kuasa beli mereka merosot secara ketara.

Dalam konteks ini, bantuan RM100 yang dikreditkan terus ke MyKad untuk pembelian barangan asas seperti beras, ubat-ubatan, produk kebersihan dan alat tulis, menjadi satu bentuk sokongan segera yang sangat diperlukan.

Walaupun jumlahnya kelihatan kecil, impaknya besar apabila digabungkan dengan penjimatan lain seperti subsidi bersasar dan penangguhan tol.

Bagi keluarga bandar yang terdiri daripada empat orang dewasa, jumlah bantuan boleh mencecah RM400, cukup untuk menampung keperluan dapur selama beberapa minggu.

Pada masa sama, penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh BNM kepada 2.75 peratus menjadikan kos pinjaman lebih rendah, sekali gus memberi ruang kepada isi rumah dan perniagaan kecil untuk bernafas.

Bagi golongan M40 yang mungkin mempunyai komitmen pinjaman rumah, kereta atau pendidikan, pengurangan kadar faedah ini boleh menjimatkan ratusan ringgit sebulan.

Ia juga membuka peluang kepada perusahaan mikro dan PKS untuk mendapatkan pembiayaan tambahan bagi memperluas operasi atau menambah stok, terutamanya menjelang musim perayaan dan cuti sekolah.

Kombinasi bantuan tunai dan pelonggaran dasar monetari ini turut menyokong pemulihan sektor runcit dan perdagangan domestik.

Dengan lebih daripada 22 juta individu dewasa layak menerima bantuan RM100, suntikan fiskal mencecah lebih RM2 bilion ke dalam ekonomi.

Ini dijangka merangsang semula aktiviti perniagaan di pasar raya seperti Mydin, Lotus’s dan 99Speedmart serta kedai runcit komuniti yang terlibat dalam program MyKasih.

Peningkatan permintaan terhadap barangan asas akan memberi kesan limpahan kepada rantaian bekalan, logistik dan pengangkutan, sekali gus mengaktifkan semula ekosistem perdagangan tempatan.

Dari sudut dasar, langkah ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam melaksanakan pendekatan fiskal dan monetari yang bersifat inklusif dan bersasar.

Ia bukan sahaja membantu rakyat menghadapi tekanan ekonomi jangka pendek tetapi juga memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi ketidaktentuan global.

Bantuan tunai melalui MyKad yang dikawal secara digital juga mengurangkan risiko ketirisan dan penyalahgunaan, menjadikannya lebih telus dan berkesan.

Secara keseluruhan, gabungan bantuan tunai RM100 dan penurunan kadar faedah oleh BNM merupakan strategi dua hala yang menyasarkan kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi.

Ia memberi kelegaan kepada golongan B40 dan M40 bandar yang paling terkesan, sambil menyokong pemulihan ekonomi negara secara menyeluruh.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.