Lenggong mengubah warisan menjadi pemangkin ekonomi
Sebuah pekan kecil di Perak mencatat sejarah pada 30 Jun 2012 apabila Lembah Lenggong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

LENGGONG, sebuah pekan kecil di Perak mencatat sejarah pada 30 Jun 2012 apabila Lembah Lenggong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Pengiktirafan ini bukan sekadar memberi status antarabangsa, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan dan peningkatan ekonomi komuniti setempat.
Malaysia kini mempunyai enam Tapak Warisan Dunia UNESCO, dan Lembah Lenggong menonjol sebagai satu-satunya tapak arkeologi di Semenanjung.
Di sinilah tersimpan sejarah awal kehidupan manusia, termasuk penemuan Perak Man, rangka manusia tertua di Malaysia yang berusia lebih 11,000 tahun. Warisan ini kini diangkat sebagai tarikan pelancongan yang menggabungkan sejarah, budaya dan alam semula jadi.
Sejak pengiktirafan UNESCO, jumlah pelancong ke Lenggong telah meningkat secara mendadak.
Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, kehadiran pelancong melonjak 280 peratus daripada 24,770 orang pada 2022 kepada 114,182 orang pada 2023.
Pertumbuhan ini memberi kesan langsung kepada ekonomi komuniti luar bandar khususnya di Lenggong. Jika dahulu penduduk bergantung kepada pertanian, kini peluang pekerjaan dan perniagaan dalam sektor pelancongan membuka sumber pendapatan baharu buat mereka.
Penduduk kampung tradisional dan komuniti Orang Asli di sekitar menjadi antara penerima manfaat utama dari pengiktirafan ini. Ramai penduduk sekitar yang kini berperanan sebagai pemandu pelancong bertauliah (geoguide), mengendalikan pakej lawatan ke tapak arkeologi, gua bersejarah dan kawasan semula jadi di sekitar Lenggong.
‘Mini Amazon Malaysia’ merupakan antara aktiviti yang mencipta peluang pekerjaan kepada komuniti. Ada antara mereka yang mengusahakan homestay dengan memanfaatkan rumah tradisional sebagai penginapan pelawat, menawarkan pengalaman budaya seperti masakan kampung dan kraf tangan.
Sektor makanan tempatan turut berkembang. Pelancong yang datang memberi pasaran baharu untuk makanan tradisional seperti pekasam ikan-ikan air tawar seperti ikan tengalan dan ikan loma, kebebe, kerabu umbut bayas, kuih tradisi dan produk berasaskan herba hutan.
Usahawan kecil, khususnya wanita, memanfaatkan peluang ini untuk menjana pendapatan tambahan dengan menjual produk pekasam, kerepek dan hasil kraftangan berasaskan buluh, rotan dan kayu tempatan yang menjadi cenderamata pilihan pelancong.
Peningkatan aktiviti pelancongan juga memberi kesan rantaian ekonomi yang luas. Permintaan terhadap perkhidmatan pengangkutan, peralatan rekreasi seperti kayak dan basikal turut meningkat.
Usahawan muda mula menceburi bidang perniagaan berkaitan pelancongan seperti sewaan kenderaan, ATV, water rafting dan banyak lagi.
Lenggong kini turut menjadi salah satu lokasi yang trending untuk aktiviti ‘healing’, dipopularkan melalui media sosial kerana keindahan alam semula jadi, suasana tenang dan pengalaman autentik yang ditawarkannya.
Bagi memastikan manfaat ekonomi ini berkekalan, kerajaan negeri bersama Majlis Daerah Lenggong dan agensi berkaitan merancang pembangunan infrastruktur pelancongan secara berfasa dan terancang.
Enam tapak utama di Lenggong Geopark dan Tapak Warisan Dunia UNESCO akan dibangunkan dengan kemudahan bernilai RM22 juta meliputi Kompleks Kepala Gajah, Gua Harimau, Kawasan Debu Danau Toba Bukit Sapi, Kawasan Kota Tampan, Bukit Jawa dan Bukit Bunuh.
Setiap lokasi mempunyai nilai arkeologi dan geologi yang tinggi dan dengan kemudahan seperti laluan pejalan kaki, pusat interpretasi serta papan informasi, ia berpotensi meningkatkan jumlah pelancong secara signifikan.
Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, pembangunan ini akan direalisasikan bermula November 2025 dan dijangka siap sepenuhnya dalam masa dua tahun.
Inisiatif ini juga dijangka menyediakan latihan kemahiran kepada komuniti tempatan, memastikan mereka bersedia memanfaatkan peluang ekonomi melalui perkhidmatan pelancongan yang berkualiti dan mematuhi piawaian industri antarabangsa.
Walaupun statistik menunjukkan kadar kemiskinan di Lenggong sekitar 17.5 peratus, namun apabila melihat kepada trend positif di peringkat Negeri Perak, statistik tersebut menunjukkan penurunan peratus ketara dalam kemiskinan tegar hasil daripada pelbagai inisiatif kerajaan.
Dengan momentum pelancongan berasaskan warisan ini, Lenggong dijangka dapat mengurangkan kadar kemiskinan setempat secara beransur-ansur.
UNESCO juga memberi impak tidak langsung kepada pembangunan sosial. Pelancongan warisan memupuk rasa bangga terhadap identiti dan sejarah tempatan. Generasi muda yang terlibat dalam industri ini bukan sahaja memperoleh pendapatan, malah mewarisi pengetahuan tentang warisan budaya dan sejarah kawasan mereka.
Ia mewujudkan kitaran positif di mana pelestarian warisan menjadi tanggungjawab bersama kerana ia berkait rapat dengan kesejahteraan ekonomi komuniti.
Kisah Lenggong membuktikan bahawa pengiktirafan warisan dunia bukan sekadar penghormatan simbolik. Jika diurus dengan baik, ia mampu menjadi enjin pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Kejayaan ini bergantung pada kerjasama antara kerajaan, komuniti dan sektor swasta untuk memastikan pelancongan berkembang tanpa mengorbankan nilai warisan dan kelestarian alam.
Lenggong kini berada di landasan yang tepat untuk terus bersinar di pentas dunia, bukan sahaja sebagai destinasi sejarah, tetapi sebagai contoh bagaimana warisan boleh diubah menjadi peluang ekonomi yang memberi manfaat kepada seluruh komuniti.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.