Pelajar UM pembentang termuda di persidangan antarabangsa AOCPRM

Na Risu dan Wong Kai Shi mencatat sejarah peribadi apabila berdiri sebaris dengan doktor perubatan dan pakar pemulihan dari seluruh Asia-Oceania.

Feature Image (6)

KUALA LUMPUR, 27 Ogos 2025 – Dua pelajar tahun kedua Kejuruteraan Bioperubatan Universiti Malaya (UM), Na Risu dan Wong Kai Shi mencatat sejarah peribadi apabila berdiri sebaris dengan doktor perubatan dan pakar pemulihan dari seluruh Asia-Oceania dalam Persidangan Asia-Oceanian Conference of Physical and Rehabilitation Medicine (AOCPRM) ke-9 yang berlangsung di Pulau Pinang baru-baru ini.

Walaupun masih di awal pengajian, keberanian mereka membentangkan hasil penyelidikan tentang Transcranial Magnetic Stimulation (TMS) bagi pesakit strok telah menarik perhatian ramai.

Mereka merupakan antara pembentang termuda dalam persidangan yang menghimpunkan pakar-pakar rehabilitasi dari serata rantau Asia Pasifik dan Oceania.

Dari makmal ke pentas dunia

Penyelidikan yang mereka bentangkan bukan sekadar tugasan makmal. Ia adalah hasil usaha sukarela sejak cuti semester tahun pertama, apabila mereka menyertai kumpulan kajian yang diketuai oleh Prof. Madya Ir. Dr. Nur Azah Hamzaid.

Projek ini dibiayai oleh Yayasan Penyelidikan Otak Minda dan Neurosains Malaysia (YPOMNM) dan melibatkan kerjasama rapat dengan pakar rehabilitasi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) iaitu Prof. Dr. Mazlina Mazlan dan Dr. Chung Tze Yang.

Fokus kajian ialah untuk menilai tindak balas otot kaki pesakit strok terhadap rangsangan magnetik melalui kaedah mekanomiografi.

Dengan cara ini, pasukan penyelidik dapat memahami dengan lebih baik tahap pemulihan pergerakan dan potensi intervensi baharu bagi mengurus pesakit strok.

Dr. Nur Azah berkata pengalaman ini amat berharga buat anak-anak muda tersebut.

“Ini adalah pendedahan yang sangat baik untuk pelajar melihat bagaimana kerja mereka dalam makmal boleh memberi kesan di dunia sebenar. Saya mahu mereka sedar tentang impak sebenar apa yang mereka lakukan,” katanya.

Bagi Na Risu dan Wong Kai Shi, peluang ini sesuatu yang tidak pernah mereka bayangkan.

“Sebagai pelajar tahun dua, kami tidak pernah terfikir boleh menyertai mesyuarat seperti ini. Lebih-lebih lagi apabila berpeluang berinteraksi dengan doktor dan penyelidik sebenar.

“Walaupun kami tahu kajian ini penting, melihat ia dikongsi dan dibincangkan dalam kalangan pakar memberi perspektif yang berbeza. Ini pasti mendorong kami untuk meneruskan usaha ini,” kata mereka berdua dalam satu kenyataan bersama.

Turut serta bersama mereka ialah seorang lagi rakan sekelas, Yong Yi Shean, yang sama-sama terlibat sebagai sukarelawan penyelidikan sejak tahun pertama pengajian.

Potensi TMS dalam pemulihan strok

Secara ringkasnya, TMS adalah teknik rawatan tanpa pembedahan yang menggunakan medan magnet untuk merangsang bahagian tertentu otak.

Dalam konteks strok, ia boleh membantu pesakit memulihkan semula fungsi motor, pertuturan serta mengurangkan kemurungan pasca-strok.

Bagi penyelidik muda UM ini, keberkesanan TMS yang ditunjukkan dalam kalangan pesakit PPUM bukan sahaja memberikan data bermakna tetapi juga keyakinan bahawa teknologi ini berpotensi memperkukuh kaedah pemulihan konvensional sedia ada.

Menyumbang kepada masyarakat

Selain aspek akademik, penyertaan pelajar ini turut memberi isyarat jelas tentang keupayaan generasi muda Malaysia untuk terlibat dalam penyelidikan yang relevan kepada masyarakat.

Menurut mereka, sokongan dana YPOMNM sangat penting dalam membuka ruang kepada pelajar muda menyumbang secara langsung dalam kajian klinikal.

Pencapaian ini turut mencerminkan pendekatan UM yang memberi peluang awal kepada pelajar untuk merasai pengalaman sebenar dunia penyelidikan.

Ia selari dengan usaha universiti melahirkan graduan bukan sahaja berpengetahuan tetapi juga berani tampil di peringkat antarabangsa.

Kisah Na Risu, Wong Kai Shi dan rakan mereka boleh menjadi inspirasi kepada pelajar lain. Ia membuktikan bahawa usia atau tahun pengajian bukan halangan untuk menceburi penyelidikan yang memberi impak besar.

Dengan keazaman dan bimbingan yang betul, pelajar muda mampu membawa nama negara ke persada antarabangsa.

Seperti yang ditunjukkan oleh tiga pelajar UM ini, usaha kecil di makmal boleh membuka jalan kepada sumbangan besar terhadap kesejahteraan masyarakat, khususnya dalam meningkatkan kualiti hidup pesakit strok.