Rokok, vape dan harga sebenar sebuah kesihatan
Berdasarkan bukti saintifik kukuh dan pengalaman di barisan hadapan perubatan, merokok dan vape bukanlah tabiat peribadi yang terhenti di luar pintu hospital.

SAAT-SAAT sebelum memasuki bilik bedah seringkali diselubungi rasa berdebar. Ada harapan untuk kesembuhan, bercampur sedikit kerisauan akan proses yang akan dilalui.
Dalam persediaan rapi yang dijalankan oleh pasukan perubatan, daripada pakar bius yang menjaga keselamatan anda semasa tidak sedarkan diri, hinggalah pakar bedah yang melakukan prosedur, ada satu elemen yang boleh menggugat segala perancangan dan meningkatkan risiko secara mendadak iaitu tabiat merokok dan penggunaan rokok elektronik atau vape.
Masyarakat umum perlu membuka mata tentang realiti yang seringkali tersembunyi ini. Berdasarkan bukti saintifik kukuh dan pengalaman di barisan hadapan perubatan, merokok dan vape bukanlah tabiat peribadi yang terhenti di luar pintu hospital.
Kesannya meresap jauh ke dalam tubuh, membawa risiko yang tidak boleh diabaikan semasa proses anestesia dan pembedahan.
Mengapa Rokok Konvensional Sangat Merisikokan Anestesia & Pembedahan?
Selama berdekad, penyelidikan telah berulang kali mengesahkan bahaya rokok terhadap pelbagai aspek kesihatan termasuk dalam konteks pembedahan:
1. Paru-Paru yang Dicemari
Asap rokok mengandungi bahan kimia perengsa dan karsinogen yang menyebabkan keradangan kronik, kerosakan pada struktur paru-paru (seperti emfisema) dan peningkatan penghasilan lendir. Nikotin pula merangsang saraf yang boleh menyebabkan kekejangan saluran pernafasan (bronkospasm).
Pakar perubatan menjelaskan, paru-paru perokok menjadi kurang elastik dan sukar untuk mengembang dan mengempis sepenuhnya, terutamanya apabila dibantu oleh mesin pernafasan semasa bius. Lendir yang banyak meningkatkan risiko saluran nafas tersumbat.
Laporan daripada badan kesihatan global seperti WHO dan persatuan profesional seperti American Society of Anesthesiologists menggariskan peningkatan ketara risiko komplikasi pernafasan (pneumonia, atelektasis – paru-paru kempis) pada perokok, malah memerlukan tempoh intubasi (memasukkan tiub pernafasan) yang lebih lama.
2. Sistem Kardiovaskular yang Terbeban
Nikotin meningkatkan kadar denyutan jantung dan tekanan darah serta menjadikan darah lebih cenderung membeku. Karbon monoksida daripada pembakaran tembakau, mengurangkan keupayaan hemoglobin membawa oksigen.
Jantung terpaksa bekerja lebih kuat dengan bekalan oksigen yang kurang, manakala darah menjadi lebih ‘likat’. Ini sangat berbahaya semasa pesakit menjalani pembedahan.
Merokok sebelum pembedahan bukan sekadar tabiat buruk, ia boleh menjadi ancaman serius kepada kesihatan. Kajian dalam jurnal Circulation menunjukkan bahawa pesakit yang merokok menghadapi risiko lebih tinggi mengalami strok semasa atau selepas pembedahan.
Selain itu, panduan daripada European Society of Cardiology menekankan bahawa merokok boleh meningkatkan kemungkinan pembentukan darah beku, yang boleh membawa kepada komplikasi serius seperti embolisme pulmonari.
3. Penyembuhan Luka yang Lambat
Merokok mengurangkan aliran darah ke tisu-tisu, termasuk kawasan pembedahan, melambatkan penghantaran oksigen dan sel-sel imun yang penting untuk penyembuhan dan melawan jangkitan.
Luka pembedahan tidak mendapat bekalan ‘bahan binaan’ dan ‘pekerja’ yang cukup untuk pulih dengan cepat dan berkesan.
Kajian menunjukkan bahawa perokok lebih cenderung mengalami luka pembedahan yang lambat sembuh serta kadar jangkitan yang lebih tinggi berbanding bukan perokok.
Malah, setiap minggu tanpa rokok sebelum pembedahan boleh meningkatkan aliran darah dan mengurangkan risiko komplikasi sebanyak 19 peratus.
Bukti daripada penyelidikan pembedahan secara konsisten menunjukkan peningkatan kadar jangkitan luka, kegagalan cantuman dan nekrosis (kematian tisu) pada perokok.
Oleh itu, menghentikan tabiat merokok sebelum menjalani prosedur pembedahan bukan sekadar pilihan bijak, ia adalah langkah penting untuk memastikan pemulihan yang lebih cepat dan selamat.
Wajah Risiko: Kisah Pak Cik Hassan
Mari kita lihat bagaimana risiko ini menjelma dalam situasi sebenar.
Pak Cik Hassan, 68 tahun, duduk di hadapan doktor pakar bius, jantungnya berdebar. Sudah 40 tahun usianya dihabiskan bersama rokok, ditemani pula penyakit lelah kronik (COPD) hasil tabiatnya. Kini, beliau dijadualkan untuk pembedahan perut yang penting.
“Pak Cik, paru-paru Pak Cik dah banyak terjejas disebabkan rokok dan COPD ni,” jelas doktor dengan sabar, sambil menunjukkan gambar X-ray (dalam penerangan mudah).
“Saluran nafas sempit, banyak kahak… Ini secara saintifiknya meningkatkan risiko untuk Pak Cik susah bernafas semasa dan selepas bius, kena jangkitan paru-paru atau paru-paru kempis. Luka pun lambat nak sembuh sebab darah tak bawa cukup oksigen.”
Wajah Pak Cik Hassan berubah pucat. Penyesalan bertandang di hatinya, “Kalaulah saya tahu…’.
Beliau memegang erat tangan isterinya, merasai beban kebimbangan yang sama. Berhenti merokok setelah berdekad lamanya bukanlah mudah tetapi kini beliau sedar, tabiat itu bukan sahaja merosakkan kesihatan harian tetapi juga menggadaikan keselamatan di ambang pembedahan penting ini.
Ia adalah satu realiti yang kejam akibat daripada pilihan masa lalu kini berhadapan dengannya di saat paling kritikal.
Vape: Persepsi ‘Kurang Bahaya’ di Hadapan Bilik Bedah – Kisah Ali
Bagi generasi muda pula, ancaman itu datang dalam bentuk yang berbeza tetapi tidak kurang berbahayanya, vape.
Ali, 20 tahun, terbaring kesakitan di unit kecemasan. Motosikalnya terlibat dalam kemalangan, meninggalkan patah tulang di tangan dan kaki yang memerlukan pembedahan segera. Fikirannya berserabut dengan kesakitan dan ketakutan akan pembedahan.
Semasa penilaian pantas sebelum dibawa ke bilik bedah, doktor pakar bius bertanya tentang tabiatnya. “Ali, kamu ada hisap vape tak? Dah berapa lama?”
Ali teragak-agak, kemudian mengakui, “Ya doktor… dah dari tingkatan dua rasanya… setiap hari…” Dia tidak pernah fikir vape itu berbahaya seperti rokok biasa, apatah lagi dalam situasi kecemasan begini.
Doktor menghela nafas. “Ali, walaupun nampak macam asap air, aerosol vape tu ada bahan kimia yang merengsakan saluran pernafasan kamu. Paling penting, ada nikotin yang ganggu jantung dan saluran darah. Untuk pembedahan kecemasan macam ni, di mana tak ada masa langsung nak bagi badan kamu pulih, paru-paru kamu mungkin akan lebih sensitif semasa proses bius, risiko saluran nafas mengejut (bronkospasme) tu ada. Nikotin tu pun boleh ganggu peredaran darah yang kita perlukan untuk tulang kamu yang patah ni cepat sembuh.”
Ali terdiam, matanya penuh kekhuatiran. Dalam keadaan kecemasan ini, tiada ruang untuk berhenti atau membersihkan sistemnya. Tabiat yang dianggap ‘cool’ dan ‘kurang bahaya’ di zaman remajanya kini menjelma sebagai risiko nyata di saat dia paling memerlukan tubuhnya berada dalam keadaan terbaik. Sesal yang datang tanpa diundang.
Implikasi Yang Tidak Boleh Diabaikan
Kisah Pak Cik Hassan dan Ali adalah dua contoh yang berbeza usia dan tabiat (rokok vs vape), tetapi menceritakan satu realiti yang sama iaitu penggunaan produk nikotin dan tembakau meletakkan pesakit dalam risiko yang lebih tinggi.
Di samping risiko perubatan yang serius termasuk peluang lebih tinggi untuk tinggal di ICU, tempoh pemulihan yang lebih lama dan kemasukan semula ke hospital, komplikasi ini juga membawa implikasi kewangan yang besar.
Kos rawatan yang meningkat akibat komplikasi, tempoh cuti sakit yang lebih panjang dan potensi kehilangan pendapatan menambahkan beban kepada pesakit dan keluarga.
Kisah Abang Rock: Amanat Dari Katil Hospital
Pada April 2025, satu video TikTok menyentuh hati seluruh negara. Mohd Radzi Mustaffa, 44 tahun, seorang pesara Tentera Udara dan penunggang motosikal dikenali sebagai ‘Abang Rock’ merakam video terakhir dari katil hospital sambil menunjukkan beg plastik berisi cecair kuning pekat yang disedut keluar dari paru-parunya.
“Saya mohon, berhentilah hisap vape. Jantung saya tinggal tiga peratus untuk berfungsi. Saya pernah anggap benda ni tak bahaya tapi tengoklah saya sekarang…”
Beliau mengaku telah menggunakan vape selama 4 tahun, sehingga menjadi sangat ketagih, ‘sebelah tangan pegang vape, sebelah lagi pegang handle motor’.
Dua hari selepas cuba berhenti, beliau mengalami sesak nafas yang teruk dan akhirnya dimasukkan ke ICU. Hanya 10 hari selepas memuat naik video itu, beliau menghembuskan nafas terakhir. Reaksi masyarakat? Luar biasa.
Ratusan ribu tontonan, ribuan komen insaf. Ada yang terus buang vape selepas menonton, ada yang menangis sambil memujuk pasangan untuk berhenti. Media seperti The Straits Times melaporkan kisahnya sebagai ‘haunting last words’, satu pengakhiran tragik kepada tabiat yang disangka selamat.
Ada Harapan: Berhenti Demi Keselamatan dan Kesihatan
Melihat realiti ini mungkin menakutkan tetapi ada jalan keluar. Langkah yang paling penting dan berkesan ialah berhenti merokok dan vape sepenuhnya, terutamanya jika anda dijadualkan untuk pembedahan (elektif).
1. Faedah Berhenti:
Dalam 24 jam: Tahap karbon monoksida menurun, meningkatkan bekalan oksigen.
Dalam beberapa minggu: Fungsi paru-paru mula meningkat, lendir berkurangan.
Dalam 4-8 minggu: Risiko komplikasi pernafasan dan kardiovaskular menurun mendekati tahap bukan perokok. Penyembuhan luka bertambah baik.
Dapatkan Bantuan Profesional: Jangan cuba bersendirian. Klinik Berhenti Merokok KKM menawarkan kaunseling dan sokongan yang terbukti berkesan. Terapi penggantian nikotin dan ubat-ubatan juga boleh didapati melalui nasihat doktor.
Berhenti, Walau Lewat: Walaupun pembedahan itu kecemasan seperti Ali, berhenti vape atau rokok sekarang tetap memberikan manfaat segera dan penting untuk sebarang prosedur di masa depan atau hanya untuk kesihatan am yang lebih baik.
Kesimpulan: Pilihan Anda Menentukan Risiko
Bukti saintifik adalah jelas. Pandangan pakar adalah sependapat. Pengalaman pesakit seperti Pak Cik Hassan dan Ali mengesahkan realiti pahit ini. Merokok dan vape sebelum pembedahan, walaupun pembedahan kecemasan, meningkatkan risiko komplikasi serius terhadap proses bius dan pemulihan.
Jangan biarkan tabiat ini menggadaikan keselamatan anda pada saat yang paling penting. Jika anda seorang perokok atau pengguna vape dan akan menjalani pembedahan, jadikan ia motivasi terkuat anda untuk berhenti. Berbincanglah dengan doktor anda dan dapatkan bantuan yang diperlukan.
Pilihan untuk berhenti bukan sahaja meningkatkan peluang kejayaan pembedahan dan pemulihan anda, tetapi juga merupakan langkah paling bermakna ke arah masa depan yang lebih sihat.
Biarlah bilik bedah menjadi tempat kesembuhan, bukan tempat di mana risiko akibat tabiat lama menghantui. Ambil tindakan sekarang.
Kesihatan anda, keluarga anda dan masa depan negara berharga lebih daripada mana-mana sedutan nikotin.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.