Tangani kemiskinan generasi muda bukan sekadar peluang pendidikan, ekonomi gig
Generasi muda yang lahir dalam keluarga berpendapatan rendah, terperangkap dalam kitaran kemiskinan yang sukar diputuskan.

ISU kemiskinan di Malaysia bukanlah sesuatu yang baharu, namun yang membimbangkan adalah apabila generasi muda, khususnya yang lahir dalam keluarga berpendapatan rendah, terperangkap dalam kitaran kemiskinan yang sukar diputuskan.
Kitaran ini seringkali dicirikan oleh akses pendidikan yang terhad, peluang pekerjaan yang rendah dan kekangan sosioekonomi yang mengekang potensi anak-anak muda untuk melonjakkan taraf hidup mereka.
Laporan Bank Dunia menyatakan golongan muda berusia antara 18 hingga 30 tahun menyumbang hampir 40 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja di Malaysia.
Namun, dalam kalangan mereka, sebahagian besar berasal daripada kumpulan B40 yang berdepan dengan cabaran sosio-ekonomi yang ketara.
Kebanyakan anak muda daripada keluarga miskin memulakan hidup dewasa mereka dengan kekurangan modal insan dan modal sosial. Ini menyukarkan mereka untuk bersaing secara adil dalam pasaran kerja.
Pendidikan sering digambarkan sebagai laluan utama untuk keluar daripada kemiskinan. Namun realitinya, anak-anak muda daripada keluarga miskin berdepan dengan pelbagai halangan yang memperlahankan mobiliti sosial mereka.
Kajian sebelum ini mendapati bahawa pelajar B40 mencatat kadar keciciran yang lebih tinggi, terutamanya selepas peringkat menengah atas, berbanding rakan sebaya daripada keluarga T20.
Ini berpunca daripada faktor ekonomi keluarga yang memaksa mereka bekerja lebih awal atau kekangan akses kepada pendidikan berkualiti.
Akses kepada pendidikan tinggi semakin mencabar dengan kenaikan kos sara hidup dan yuran pendidikan. Walaupun pelbagai skim bantuan diperkenalkan oleh kerajaan seperti PTPTN dan biasiswa, masih wujud jurang sokongan yang menyebabkan anak muda berpendapatan rendah sukar untuk menyempurnakan pengajian.
Antara harapan dan realiti
Sejurus tamat persekolahan atau pengajian tinggi, anak-anak muda ini berdepan pula dengan cabaran mendapatkan pekerjaan yang stabil dan bergaji lumayan.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia (2024) menunjukkan bahawa kadar pengangguran belia (15–24 tahun) kekal pada tahap 10.5 peratus, jauh lebih tinggi daripada kadar purata nasional.
Lebih membimbangkan ialah situasi ‘underemployment’ atau pekerjaan di bawah kelayakan, di mana ramai graduan muda hanya mampu bekerja dalam sektor tidak formal seperti ekonomi gig.
Meskipun ekonomi gig memang menawarkan fleksibiliti dan peluang segera, namun ia tidak menjamin kestabilan pendapatan dan faedah pekerjaan jangka panjang. Anak muda daripada keluarga miskin akhirnya terus kekal dalam kelompok berisiko tinggi jika tidak diberikan laluan pembangunan kerjaya yang jelas.
Meskipun pelbagai dasar telah diperkenalkan bagi membantu golongan muda keluar daripada perangkap kemiskinan, termasuk Program Latihan Khidmat Negara, TVET (Latihan Teknikal dan Vokasional), serta inisiatif MySTEP, keberkesanan program ini masih terhad tanpa integrasi yang lebih kukuh antara sektor pendidikan, industri dan komuniti setempat.
Oleh itu, antara cadangan yang boleh dipertimbangkan termasuklah memperkukuhkan pendidikan vokasional yang benar-benar berorientasikan industri, memperluas akses latihan semula dan meningkatkan jaringan sokongan sosial untuk keluarga miskin.
Dasar fiskal negara juga perlu memfokuskan kepada pelaburan dalam modal insan yang menyasarkan golongan rentan untuk memecahkan rantaian kemiskinan secara berkesan.
Sebuah tanggungjawab kolektif
Isu kemiskinan dalam kalangan generasi muda tidak hanya terletak di bahu kerajaan semata-mata. Sektor swasta, NGO dan masyarakat secara keseluruhan perlu berganding bahu untuk menyediakan peluang dan persekitaran yang kondusif.
Syarikat misalnya, boleh memainkan peranan lebih besar melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bersifat jangka panjang dalam pembangunan bakat muda.
Selain itu, membebaskan generasi muda daripada kitaran kemiskinan memerlukan pendekatan bersepadu yang bukan sahaja menyentuh aspek ekonomi tetapi juga pembangunan manusia secara menyeluruh.
Negara perlu memastikan bahawa setiap anak muda, tanpa mengira latar belakang keluarga, mempunyai peluang yang adil untuk mencapai potensi maksimum mereka.
Hanya dengan itu, Malaysia mampu membina sebuah masyarakat yang benar-benar inklusif dan mampan di masa hadapan.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.