UM tingkat kesihatan mulut warga emas menerusi WISeCare
Irogram ini diadakan pada 4, 7 dan 15 April lalu di Kelana Jaya Multipurpose Hall serta beberapa pusat jagaan warga emas di Petaling Jaya.
Oleh: DR. JESSICA FRANCIS
KUALA LUMPUR, 29 April 2026 — Universiti Malaya (UM) menerusi program WISeCare: A Wellness Integration for Seniors and Caregivers mempergiat usaha meningkatkan kesihatan mulut dalam kalangan warga emas dan penjaga mereka melalui pendekatan pendidikan yang interaktif dan holistik.
Program kesihatan oral itu dilaksanakan oleh sekumpulan pelajar prasiswazah tahun akhir bersama pensyarah Fakulti Pergigian di bawah inisiatif SULAM dan UMCARES, dengan fokus memperkasa peserta melalui pengetahuan berkaitan penjagaan kesihatan mulut, pengurusan gigi palsu serta amalan kesihatan fizikal.
Di bawah penyeliaan Pensyarah Fakulti Pergigian, Dr Jessica Francis, program berkenaan diadakan pada 4, 7 dan 15 April lalu di Kelana Jaya Multipurpose Hall serta beberapa pusat jagaan warga emas di Petaling Jaya, melibatkan penyertaan pelajar, penjaga dan penghuni pusat jagaan.
Menurut penganjur, WISeCare menekankan penyampaian pendidikan kesihatan yang mudah difahami, interaktif dan menyeronokkan melalui pendekatan pelbagai deria serta penglibatan aktif peserta.

Antara kaedah digunakan termasuk penggunaan kad visual bagi menerangkan langkah pembersihan gigi palsu, sekali gus membantu peserta mengenal pasti masalah lazim serta memahami teknik penjagaan yang betul dan rutin harian yang efektif.
Bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran, elemen nyanyian turut diperkenalkan sebagai medium pengukuhan, dengan lagu khas yang memudahkan peserta mengingati langkah kebersihan gigi palsu.
Selain itu, demonstrasi secara langsung turut diadakan bagi memberi peluang kepada warga emas mempraktikkan teknik memberus gigi dan penjagaan gigi palsu di bawah bimbingan fasilitator, memastikan pengetahuan yang diperoleh dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Program itu turut menekankan kepentingan aktiviti fizikal dalam menyokong kesejahteraan keseluruhan, termasuk kesihatan mulut, menerusi aktiviti exergame yang menggunakan teknologi sensor pergerakan untuk mensimulasikan permainan sukan seperti tenis.
Pendekatan berkenaan dilihat mampu meningkatkan koordinasi, keseimbangan dan mobiliti peserta dalam suasana santai, walaupun merupakan pengalaman baharu bagi kebanyakan mereka.

Dalam usaha memperluas pembangunan kompetensi penjaga, WISeCare turut menjalinkan kerjasama dengan London College of Clinical Hypnosis (LCCH) Asia bagi menganjurkan latihan yang menggabungkan aspek klinikal dan kesejahteraan holistik.
Latihan tersebut merangkumi teknik hipnosis kendiri yang membantu peserta mengurus tekanan, meningkatkan fokus serta mengekalkan keseimbangan emosi dalam persekitaran kerja yang mencabar.
Kolaborasi itu mencerminkan keperluan semasa sektor kesihatan yang semakin menitikberatkan pendekatan menyeluruh, merangkumi aspek fizikal, mental dan emosi dalam penjagaan pesakit.
Melalui pelaksanaan program ini, WISeCare berupaya memperkasa warga emas untuk meningkatkan kesihatan mulut dan kesejahteraan keseluruhan melalui amalan gaya hidup sihat secara berterusan.
* Penulis merupakan Pensyarah Pergigian dan Pakar Klinikal di Jabatan Ortodontik, Pergigian Kanak-Kanak & Pergigian Penjagaan Khas, Fakulti Pergigian, Universiti Malaya.
