USM perkasa seni, kesihatan dan keusahawanan pelajar SM Sains Kepala Batas
Kerjasama rentas institusi ini memperlihatkan komitmen bersama dalam memperkasakan seni sebagai medium pembangunan sosial, pendidikan dan kesejahteraan masyarakat.
KUALA LUMPUR, 29 Mei 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuhkan peranan universiti dalam pembangunan komuniti menerusi pelaksanaan Program Kajian Sosial: Membudayakan Seni Kaligrafi Islam Dalam Kalangan Belia yang berlangsung di Sekolah Menengah Sains Kepala Batas (SAKBA), Pulau Pinang.
Program ini dilaksanakan di bawah Dana Kajian Sosial 2025, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dengan objektif memperkasa potensi belia melalui pengintegrasian elemen seni, kesejahteraan mental dan keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah. Pendekatan ini selari dengan aspirasi pendidikan holistik yang bukan sahaja menekankan pencapaian akademik, malah pembangunan emosi, kreativiti dan kemahiran insaniah dalam kalangan generasi muda.
Inisiatif tersebut diterajui oleh Dr. Noor Mastura Mohd Mujar selaku ketua iCalli Project dari Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), USM. Program itu turut dijayakan melalui kolaborasi strategik bersama Persatuan Karyawan Kaligrafi dan Jawi Malaysia (KALIMA) serta Universiti Teknologi MARA (UiTM), Puncak Alam. Kerjasama rentas institusi ini memperlihatkan komitmen bersama dalam memperkasakan seni sebagai medium pembangunan sosial, pendidikan dan kesejahteraan masyarakat.

Seramai 30 orang pelajar Sekolah Menengah Sains Kepala Batas telah terpilih sebagai peserta program. Peserta terdiri daripada pelajar yang mempunyai minat dalam bidang seni kreatif dan pembangunan diri. Penglibatan mereka bukan sahaja memberi pendedahan kepada seni kaligrafi Islam, malah membantu membentuk keyakinan diri, disiplin, kemahiran komunikasi dan nilai keusahawanan dalam suasana pembelajaran yang lebih santai dan interaktif.
Menurut Dr. Noor Mastura, program ini dibangunkan sebagai pendekatan komuniti yang menggabungkan seni, kesihatan mental dan pembangunan ekonomi sosial belia dalam satu platform yang praktikal dan inklusif.
“Program ini bukan sekadar mengajar pelajar menghasilkan karya seni tetapi lebih kepada membentuk keseimbangan emosi, meningkatkan fokus dan membuka ruang kepada pembangunan potensi diri. Seni boleh menjadi medium terapi, pembangunan sahsiah dan pada masa yang sama membuka peluang ekonomi kepada belia,” jelas beliau.
Program ini dilaksanakan melalui empat fasa utama yang dirancang secara sistematik sepanjang tempoh tiga bulan pelaksanaan program. Fasa pertama melibatkan pengajaran asas tulisan khat dan teknik seni kaligrafi Islam kepada peserta. Dalam sesi ini, pelajar didedahkan kepada teknik asas penulisan, struktur huruf, penggunaan alat kaligrafi serta penghayatan makna dalam seni Islam. Pelajar turut diberi peluang mempelajari konsep kesabaran, ketelitian dan fokus melalui proses menghasilkan tulisan yang kemas dan seimbang.
Fasa kedua pula memberi fokus kepada teknik pewarnaan dan lukisan di atas kanvas. Dalam sesi ini, peserta dibimbing menghasilkan karya kreatif menggunakan kombinasi warna, tekstur dan elemen seni moden bagi menghasilkan produk yang lebih menarik dan bernilai komersial. Pendekatan seni visual yang digunakan membantu pelajar meningkatkan kreativiti dan keberanian dalam menghasilkan idea baharu melalui karya masing-masing.

Seterusnya, fasa ketiga melibatkan latihan pengiklanan dan pemasaran produk. Pelajar didedahkan kepada asas promosi, fotografi produk, pembinaan identiti produk dan strategi pemasaran kreatif bagi meningkatkan nilai jualan hasil karya mereka. Pendedahan ini penting dalam membantu pelajar memahami bahawa seni bukan sahaja mempunyai nilai estetika, malah berpotensi berkembang sebagai industri kreatif dan sumber pendapatan masa depan.
Fasa terakhir ialah jualan digital, di mana peserta diperkenalkan kepada konsep pemasaran dalam talian dan penggunaan platform digital bagi mempromosikan hasil seni kepada masyarakat. Pendekatan ini memberi pengalaman sebenar kepada pelajar mengenai asas keusahawanan digital dan ekonomi kreatif yang semakin berkembang dalam era teknologi masa kini.
Menariknya, sambutan terhadap hasil seni pelajar amat memberangsangkan apabila sebanyak 10 produk berjaya terjual sebelum sesi pengiklanan rasmi dilancarkan. Keadaan ini menunjukkan potensi besar karya seni pelajar serta minat masyarakat terhadap produk seni kreatif berasaskan kaligrafi Islam.
Secara keseluruhan, hampir semua hasil seni kaligrafi pelajar berjaya dijual sepanjang program berlangsung. Kesemua hasil jualan tersebut telah diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah bagi tabung aktiviti dan pembangunan. Inisiatif ini bukan sahaja memberi pengalaman pembelajaran kepada pelajar, malah menyumbang kembali kepada pembangunan komuniti sekolah secara langsung.
Rakan kolaborasi, Prof. Madya Dr. Nor Azlin Hamidon dari UiTM berkata program tersebut memberi impak positif kepada pelajar kerana pendekatan yang digunakan bersifat santai, kreatif dan dekat dengan jiwa remaja. “Pelajar bukan sahaja belajar menghasilkan karya seni, tetapi mereka juga belajar mengawal emosi, meningkatkan fokus dan bekerjasama dalam kumpulan. Program seperti ini sangat baik untuk pembangunan sahsiah dan kesejahteraan pelajar,” katanya.
Sementara itu, rakan industri, Ustaz Muhammad Afifuddin dari KALIMA turut menyifatkan seni kaligrafi sebagai medium yang mampu mendekatkan pelajar kepada penghayatan nilai dan makna melalui seni Islam. “Kaligrafi mempunyai elemen terapi yang membantu meningkatkan ketenangan dan fokus. Dalam masa yang sama, ia juga mampu membentuk jati diri dan penghargaan terhadap warisan seni Islam dalam kalangan generasi muda,” jelas beliau.
Pihak sekolah turut menzahirkan penghargaan kepada USM dan semua rakan kolaborasi atas komitmen dalam menjayakan program yang memberi manfaat besar kepada pelajar. Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperluaskan lagi potensi seni kreatif sebagai medium pembangunan belia, kesejahteraan mental dan inovasi sosial dalam komuniti sekolah.
Pada masa yang sama, USM turut menjalankan penyelidikan berkaitan potensi kaligrafi melalui aktiviti 3M iaitu menulis, membaca dan memahami ayat-ayat al-Quran sebagai pendekatan sokongan kesihatan kognitif warga emas, khususnya dalam pencegahan demensia.
USM juga mengalu-alukan kerjasama daripada pihak industri, agensi dan penggiat teknologi kreatif bagi meneroka pembangunan prototaip, inovasi sosial dan produk berkaitan seni kaligrafi serta kesihatan kognitif demi kesejahteraan masyarakat merentasi generasi.
