Sikap pandang remeh, obsesi media sosial antara punca insiden kecemasan di hutan

“Ramai menganggap pendakian sebagai aktiviti berisiko rendah, sedangkan persekitaran gunung boleh berubah dengan sangat pantas dan tidak dapat dijangka.”

Feature Image (3)

Oleh: AHMAD ERWAN OTHMAN

KUALA LUMPUR, 29 Mei 2026 – Sikap segelintir masyarakat yang memandang remeh risiko bentuk muka bumi atau budaya ‘underestimate the mountain’ demi mengejar populariti segera di media sosial dikenal pasti antara faktor utama kekerapan insiden pendaki hilang serta kes kecemasan di kawasan hutan.

Presiden Mountain Medicine Society Malaysia, Muhamad Aliff Abdullah berkata, meskipun minat terhadap aktiviti rekreasi luar semakin meningkat, ia tidak berkembang seiring dengan tahap kesedaran keselamatan dalam kalangan penggemarnya.

Beliau yang juga Presiden Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) berkata, lambakan kandungan estetik di platform digital telah mewujudkan trend ‘pendaki ekspres’ yang terlalu taksub mengejar puncak atau jumlah gunung ditawan, semata-mata didorong kebimbangan ketinggalan atau fear of missing out (FOMO).

“Ramai menganggap pendakian sebagai aktiviti berisiko rendah, sedangkan persekitaran gunung boleh berubah dengan sangat pantas dan tidak dapat dijangka. Masalah timbul apabila media sosial tidak memaparkan realiti cabaran sebenar, sebaliknya hanya menonjolkan hasil akhir yang indah.

“Akibatnya, ramai terus mencuba trek kategori mencabar tanpa pengalaman asas, kurang latihan fizikal serta gagal menilai kemampuan diri secara jujur. Malah, ada yang mengalami penurunan keupayaan membuat keputusan rasional akibat keletihan melampau, hipotermia atau penyakit gunung akut (AMS),” katanya.

Muhamad Aliff yang mempunyai kepakaran dalam bidang wilderness medicine dan pendakian altitud tinggi menjelaskan, kecemasan di hutan lazimnya berpunca daripada rantaian kelemahan merangkumi aspek persediaan kelengkapan, tahap kecergasan, topografi serta penilaian mental pendaki.

Beliau berkata, antara kesilapan kritikal yang sering berlaku di lapangan termasuk mengabaikan disiplin kumpulan, enggan berpatah balik ketika cuaca buruk serta terlalu bergantung kepada gajet tanpa kemahiran asas navigasi dan kelangsungan hidup (survival).

Mengulas kaitan antara insiden kehilangan dengan unsur mistik atau pantang larang hutan, Muhamad Aliff berkata, adab dan pesanan orang lama wajar dihormati sebagai sebahagian budaya, namun pendekatan sains moden perlu dijadikan keutamaan.

“Banyak pantang larang tradisional seperti tidak bercakap besar atau tidak berpecah daripada kumpulan sebenarnya mempunyai elemen keselamatan yang sangat relevan. Namun secara saintifiknya, situasi yang dianggap ‘gangguan’ kebanyakannya berpunca daripada dehidrasi, panik, kurang tidur atau kesan kekurangan oksigen ke otak, termasuk high altitude cerebral edema (HACE),” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan agar pengurusan keselamatan pendakian di negara ini direformasikan dengan sistem pengurusan risiko yang lebih moden dan tersusun.

Beliau turut mencadangkan pelaksanaan sistem klasifikasi penarafan risiko gunung secara standard serta mewajibkan penggunaan sistem pendaftaran digital seperti kod QR, penjejakan langsung (live tracking) atau suar kecemasan (emergency beacon) bagi laluan berisiko tinggi.

Muhamad Aliff juga menyarankan tindakan lebih tegas terhadap pendaki yang menceroboh laluan tanpa permit, selain memperkukuh kepakaran menyelamat menerusi penubuhan modul pendidikan keselamatan rekreasi luar di peringkat kebangsaan.

“Gunung tidak boleh dilawan dengan ego. Reformasi terbaik bukan hanya terletak pada penguatkuasaan undang-undang, tetapi pembentukan budaya keselamatan yang lebih matang dalam komuniti rekreasi luar negara ini,” katanya.

Sementara itu, Malim Gunung Perhutanan (MGP) Selangor, Norimah Abd Karim berkata, pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) seperti mengabaikan disiplin berjalan secara berkumpulan serta enggan menggunakan sistem ‘buddy’ semata-mata untuk menjadi yang terawal tiba di puncak masih menjadi cabaran utama pihaknya.

Norimah yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam dunia rekreasi luar termasuk ekspedisi Trans Titiwangsa serta tujuh Puncak Tertinggi Malaysia (G7) berkata amalan membawa kelengkapan minimum demi kelihatan seperti pelari trail profesional di media sosial adalah sangat berisiko.

“Ada pendaki yang lebih fokus untuk mendapatkan kandungan menarik sehingga sanggup mengambil risiko dan mengabaikan keselamatan diri. Malah, wujud trend mengikuti trip ‘trans’ (menawan beberapa puncak dalam satu pendakian) secara mengejut tanpa persediaan mencukupi.

“Budaya terikut-ikut ajakan rakan dengan janji pendakian santai turut memakan diri apabila berdepan situasi sebenar di lapangan,” katanya yang mula berkhidmat sebagai MGP sejak 2022.

Bagi meminimumkan risiko pada masa hadapan, Norimah menyokong langkah Jabatan Perhutanan mewajibkan khidmat MGP bagi pendakian melebihi 500 meter dari aras laut, selain mencadangkan penggunaan aplikasi penjejakan digital serta pemerkasaan kempen pendidikan keselamatan secara berterusan.

Isu keselamatan hutan dan pendakian kembali menjadi perhatian susulan beberapa tragedi, antaranya melibatkan Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan masih hilang di Gunung Batu Putih, Tapah sejak Sabtu lepas dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih buntu.

Pada 23 Mei pula, seorang remaja Nur Izzati Humaira Azizul, 19, hilang ketika menuruni Bukit Changkat Asa di Hulu Bernam, Selangor sebelum mayatnya ditemui empat hari kemudian, manakala Mustaqqeem Mansoor, 34, dilaporkan maut akibat hipotermia di Gunung Liang Barat, Perak pada Oktober 2025.

Selain itu, kes kehilangan Mohammad Ashraf Hassan atau dikenali Acap, 29, ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail di kawasan Bukit Batu Putih, Gopeng pada Mac 2019 kekal menjadi misteri hingga hari ini. – BERNAMA