MB Perlis hanya beri keterangan, tidak direman SPRM

KUALA LUMPUR, 30 April 2024 – Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli tidak ditahan sebaliknya dibenarkan pulang selepas selesai memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa.

Menerusi perkongsian akaun Facebook rasmi Menteri Besar Perlis itu memaklumkan bahawa Mohd Shukri tidak direman.

“Menteri Besar tidak direman, telah dibenarkan pulang selepas selesai memberi keterangan,” tulis hantaran berkenaan pada Selasa.

Bagaimanapun, pihak media sedang mendapatkan penjelasan lanjut daripada SPRM berhubung perkara ini.

Pada Selasa, sebuah media tempatan melaporkan, Menteri Besar Perlis itu ditahan SPRM dipercayai susulan siasatan terhadap anaknya berkaitan pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000 sebelum ini.

Minggu lalu, media melaporkan anak kepada Menteri Besar Perlis antara enam individu yang direman SPRM bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Keseluruhan projek melibatkan kerja-kerja baik pulih, penyelenggaraan, pembekalan dan perkhidmatan bermula dari 2022 sehingga kini dianggarkan bernilai RM600,000.