MRSM Muadzam Shah juara KPNP 2025

Pertandingan itu berjaya menarik penyertaan daripada 157 pasukan terdiri daripada sekolah menengah di seluruh negeri Pahang.

Poster Terkini

KUALA LUMPUR, 30 April 2025 – MRSM Muadzam Shah dinobatkan sebagai juara pada edisi sulung Kuiz Perakaunan Negeri Pahang (KPNP) 2025 di UNITEN Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Muadzam Shah, Pahang baru-baru ini.

Pertandingan itu berjaya menarik penyertaan daripada 157 pasukan terdiri daripada sekolah menengah di seluruh negeri Pahang.

Program itu dianjurkan oleh UNITEN Business School dengan kerjasama strategik daripada Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Yayasan Canselor UNITEN (YCU), Malaysian Institute of Accountants (MIA), The Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA), dan Yayasan Pahang.

Setelah melalui pusingan separuh akhir yang sengit, MRSM Muadzam Shah muncul sebagai Juara KPNP 2025, mendahului MRSM Kuantan yang dinobatkan sebagai Naib Juara. Maahad Tahfiz Negeri Pahang berjaya meraih Tempat Ketiga, diikuti oleh SMJK Tanah Puteh di tempat keempat dan SMK Sultan Abu Bakar di tempat kelima.

Sebagai Juara, MRSM Muadzam Shah menerima Tajaan Yuran Pengajian UNITEN bernilai RM12,000, wang tunai RM600, trofi kejuaraan dan sijil kemenangan.

Selain itu, anugerah Peserta Terbaik turut diperkenalkan bagi menghargai prestasi individu cemerlang sepanjang pertandingan. Anugerah itu disandang Muhammad Ikmal Naim Rusman dari MRSM Muadzam Shah, yang membawa pulang wang tunai RM100 berserta plak penghargaan.

Majlis penutup disempurnakan Profesor Madya Dr. Bakhtiar Alrazi, yang turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pasukan yang mara ke peringkat akhir, selepas berjaya menewaskan 149 pasukan lain dalam pusingan awal.

Beliau menekankan bahawa program seperti itu berperanan penting dalam memperkasa ilmu, membina karakter dan menyemai nilai murni dalam kalangan pelajar sejak di bangku sekolah.

Dalam ucapan beliau, Prof Madya Dr. Bakhtiar juga merakamkan penghargaan kepada penaja platinum iaitu ACCA, Hilmi Izwan & Co., Pejabat Menteri Besar Pahang, Stokis JRM, TNB JanaManjung, YCU, TNB Energy Services (TNBES) dan TYMBA Education Group serta penaja emas MIA dan MICPA dan penaja perak Yayasan Pahang.

Tidak dilupakan, penghargaan juga diberikan kepada penaja gangsa, Syafiq Suhaimi & Co., dan alumni UNITEN atas sokongan mereka yang amat dihargai.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian hadiah cabutan bertuah kepada para peserta, dengan hadiah-hadiah disumbangkan oleh TNB Cawangan Kuantan, Pahang, sebagai salah satu usaha menyemarakkan lagi kemeriahan program.

KPNP 2025 memperkenalkan format pertandingan yang merangkumi soalan aneka pilihan dan penyelesaian masalah, bertujuan untuk mengasah pemikiran kritis, kemahiran analitikal serta pengetahuan am pelajar dalam bidang perakaunan dan perniagaan.

Dengan kejayaan penganjuran kali pertama ini, UNITEN Business School berharap agar KPNP akan diteruskan sebagai acara tahunan untuk mencungkil bakat muda dan memperkasakan budaya kecemerlangan di negeri Pahang.