Dewasa bersama kartun editorial, gambaran ringkas pendekatan berasas
Bakat seni lukis kartun seharusnya diangkat dalam menterjemahkan kemakmuran dan keharmonian masyarakat Malaysia.

KARTUN merupakan suatu medium penyampaian yang tidak asing bagi masyarakat Malaysia dan kebiasaannya ditafsirkan sebagai persembahan ringan yang mencuit hati melalui lukisan serta dialog ringkas. Kartun hadir dalam pelbagai bentuk persembahan dan gaya seperti kartun editorial, majalah, buku dan pelbagai lagi yang mendasari fungsinya.
Hadirnya bukan sahaja sebagai medium hiburan malah lebih daripada itu. Kartun mampu untuk menjadi wakil penyampai yang efektif dalam menyuarakan mesej positif melalui jalan cerita yang dibentuk.
Justeru, seni lukis kartun merupakan salah satu bidang kesenian yang penting kerana keistimewaan dalam mengangkat peranannya sebagai fungsi cerminan masyarakat, galur pemikiran, bahasa, aspek kebudayaan dan khazanah warisan visual. Kartun sering mewarnai kehidupan masyarakat dengan unsur lucu yang mendewasakan pemikiran terutamanya kartun editorial.
Dalam media komunikasi, kartun kebiasaannya muncul dalam media cetak seperti akhbar, majalah, risalah dan buku bacaan. Penampilan bersahaja dengan watak menarik serta dialog perbualan yang mendasari sesuatu topik digunakan sebaik mungkin untuk menyampaikan mesej tertentu.
Umum mengetahui bahawa sifat kartun yang ringkas dan menarik merupakan keistimewaan yang ada pada medium ini. Ditambah dengan kreativiti visual dan idea kartunis dari sudut ungkapan makna menjadikan medium ini kekal mengisi ruang pemikiran manusia. Hal ini adalah kerana keunikan yang ada pada medium ini mudah difahami dengan kadar cepat berbanding dengan teks penuh sesuatu penceritaan.
Hadirnya sangat memberi kesan kepada segenap golongan masyarakat kerana setiap ungkapan kata dan naratifnya membuka minda pembaca berkenaan lanjutan berita yang menjadi tumpuan ketika itu. Pemahaman dalam bentuk situasi yang dipaparkan jelas memberikan gambaran idea tentang apa yang berlaku sewajarnya.
Fungsinya adalah sebagai refleksi pemikiran dalam mendepani sesuatu berita yang menjadi perbincangan umum dan kebiasaannya adalah bersandarkan berita utama yang dilaporkan walaupun hanya berdiri pada satu atau beberapa bingkai gambar sahaja.
Kartun editorial senantiasa menyumbang kepada pemahaman ringkas tentang fokus atau tumpuan utama sesuatu akhbar tersebut dan hal ini adalah bersifat harian. Ia merupakan sisipan berkesan kepada aliran pemahaman pembaca apabila kartun ini akan terarah kepada tafsiran mesej berpandukan sesuatu tumpuan berita.
Kartun editorial ini seakan menjalankan usaha dalam memberi pendapat atau sudut pandangan yang sedikit berbeza lazimnya. Pemikiran pembaca akan diuji dengan suatu babak yang diadun yang mengungkap suatu kandungan berita secara santai. Dengan ini, menjadikan lebih mudah kepada pembaca memahami kesinambungan dan kupasan kandungan berita terpilih sebagai gambaran atau contoh situasi melalui perumpamaan yang bersesuaian.
Dialog yang ringkas tetapi nyata dengan santunan makna dan memudahkan mesej disampaikan kepada khalayak. Kartun berupaya untuk mengungkap pertimbangan pembaca terhadap sesuatu perkara dalam memahami dengan cara yang lebih mudah melalui keterangan bergambar.
Kadangkala ia hadir dalam bentuk persoalan mahupun sindiran halus untuk membuat pembaca berfikir sejenak tentang perhitungan maksud yang diutarakan. Ia seolah berfungsi dalam memberikan bayangan secara sepintas lalu namun boleh difahami dan dihadam berkenaan tujuan yang terkandung dalam bingkisan kartun oleh pembaca daripada pelbagai latar belakang budaya.
Begitu juga dengan kewujudan ruangan kartun di pertengahan muka surat sesebuah akhbar. Kehadirannya bukan sahaja berfungsi untuk memberikan penghuraian dalam bentuk seni berkenaan berita tertentu yang menjadi tumpuan, malah turut memberikan ruang santai kepada pembaca sebelum meneruskan aktiviti pembacaan berikutnya.
Lazimnya, kartun di pertengahan akhbar ini akan mempunyai jalan cerita yang khusus dan pelbagai watak yang diwujudkan. Kartun ini hadir dalam beberapa bingkai olahan bergantung dengan kesesuaian ruang kolum yang ada.
Bermula dengan berita utama di muka surat hadapan hinggalah ke berita sukan dihelaian terakhir. Kedudukan kartun dipertengahan kandungan akhbar bukanlah suatu kebetulan tetapi mempunyai tujuan yang pasti iaitu bagi menyediakan ruang dan peluang kepada pembaca untuk merehatkan minda seketika.
Pembaca dirasakan perlu merehatkan mata selepas membaca berita panjang yang penuh dengan deretan perkataan dalam membentuk laporan berita. Maka, dititik inilah kartun menjalankan kewajipan sebagai pelengkap media yang menghiburkan.
Dengan kepelbagaian cerita yang dicoret melalui lukisan watak manusia dan penyelitan unsur pengajaran dengan gaya pembawaan lucu serta penuh makna tersendiri menjadikannya sangat menghiburkan. Pembaca akan berupaya menyusup seketika dari kelesuan pembacaan dan kembali bertenaga bagi meneruskan pembacaan.
Di sisi lain, kartun editorial juga berhasil dalam menembusi ulasan bersahaja menelusuri pelbagai ruang lingkup berita seperti politik, ekonomi, jenayah dan pelbagai isu sosial. Kebolehannya dalam mengungkap isu semasa dengan gaya yang tersendiri telah memberikan dimensi baharu dalam merumuskan pemahaman berita kepada pembaca. Ternyata peranan kartunis juga tidak kurang pentingnya jika dibandingkan dengan seorang wartawan dalam menulis berita.
Kartunis bukan sahaja berkebolehan menghasilkan lukisan yang berkesan malah turut bertindak kebiasaannya sebagai pengolah atau refleksi kandungan berita dalam bentuk yang lebih santai namun ternyata efektif. Bukan mudah untuk mengungkap persoalan yang mendasari berita dengan membina susunan dialog pantas yang penuh dengan unsur penerangan, selitan kiasan atau ulasan ringan dengan gaya menghiburkan.
Demikian lah perihalnya dunia kartun editorial di akhbar dalam mencorak fungsi seni visual. Yang pasti, peredaran zaman adalah halangan dalam menterjemahkan makna kartun yang pernah dihasilkan kerana setiap kartun mempunyai latar persekitaran yang melingkari sesuatu karya.
Faktor sekeliling dan persekitaran banyak mempengaruhi naratif kartun maka kemungkinan sesuatu karya itu sukar difahami jika diinterpretasi oleh generasi yang berbeza latar zaman. Dengan kata mudah, setiap generasi mempunyai sandaran cerita dan karya yang berbeza dalam menghayati dan membuat rangkuman berkenaan sesuatu mesej yang dibina.
Ringkasan dari apa yang telah dibicarakan, bakat seni lukis kartun seharusnya diangkat dalam menterjemahkan kemakmuran dan keharmonian masyarakat Malaysia. Melaluinya, pelbagai pengkisahan boleh dilaksanakan dalam mengungkap identiti kebangsaan dan budaya Malaysia dalam konteks perkembangan semasa yang padat dengan kepelbagaian adat dan budaya masyarakat.
Bersama perancangan yang teliti disulam dengan bakat seni lukis maka kartun dirasakan boleh menyumbang kepada karya-karya yang membawa tema kemasyarakatan seperti sikap saling menghormati, semangat kekitaan, bekerjasama, kasih sayang antara anggota keluarga dan masyarakat serta adat tradisi yang diwarisi yang mampu secara tepat menginspirasi masyarakat Malaysia.
Oleh kerana kekuatannya dalam membawa makna secara cepat dan ringkas, maka kartun seharusnya lebih dimanfaatkan terutamanya dalam membawakan mesej berunsur pendidikan terutamanya kepada kanak-kanak. Dengan menggunakan gaya dan bahasa yang berhikmah dan teladan yang baik, kartun dilihat mampu untuk dijadikan wadah penyampaian yang berkesan selaras dengan keunikannya dalam menarik minat sesiapa sahaja yang memandang ke arahnya.

