Lawatan ke zoo jadi wadah pembelajaran inklusif kanak-kanak OKU

Bagi kanak-kanak Orang Kurang Upaya, pengalaman pembelajaran di luar bilik darjah membawa nilai yang jauh lebih bermakna dan signifikan.

Feature Image (8)

Oleh: NOR HASLAWATI MOHD MOKHLAS DAN HASMAHZAITI OMAR

KUALA LUMPUR, 20 Januari 2026 – Bagi kebanyakan kanak-kanak, lawatan ke zoo sering dianggap sebagai aktiviti santai dan rekreasi. Namun, bagi kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU), pengalaman pembelajaran di luar bilik darjah seperti ini membawa nilai yang jauh lebih bermakna dan signifikan.

Pendekatan pembelajaran luar kelas terbukti berkesan dalam menyokong perkembangan holistik kanak-kanak OKU kerana ia membolehkan mereka belajar melalui pengalaman sebenar yang lebih menyeronokkan, bermakna dan berkesan. Melalui pendedahan secara langsung, kanak-kanak bukan sahaja menerima maklumat, malah membina kefahaman melalui rangsangan deria dan interaksi sosial yang lebih luas.

Antara contoh pelaksanaan pembelajaran luar kelas ialah lawatan pendidikan ke zoo yang menggabungkan elemen terapi minda, pengenalan kepada dunia haiwan serta pembangunan emosi dan sosial. Program seumpama ini membuka ruang pembelajaran baharu dan memberi peluang kepada kanak-kanak OKU untuk meneroka persekitaran luar yang kebiasaannya terhad kepada bilik darjah.

Pada 24 Disember 2025, Universiti Malaya melalui kerjasama Pusat Kaunseling dan Pemerkasaan OKU (CDE), Kelab Zoologi serta seorang pensyarah Program Ekologi dan Biodiversiti telah menganjurkan Program Lawatan Pendidikan ke Zoo Negara buat julung kalinya untuk kanak-kanak berkeperluan khas. Sepanjang program tersebut, peserta menerima bimbingan secara individu, terlibat dalam aktiviti berstruktur serta mendapat sokongan emosi yang disesuaikan mengikut keperluan masing-masing.

Penganjuran program ini bukan sahaja memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna, malah mengeratkan hubungan antara kanak-kanak dan pendidik dalam suasana yang lebih santai, inklusif dan menyokong. Kejayaannya turut menjadi contoh serta galakan kepada sekolah pendidikan khas dan institusi lain agar merancang lawatan pendidikan seumpama ini secara lebih meluas. Pendekatan pembelajaran luar kelas yang terancang membuktikan bahawa aktiviti lawatan bukan sekadar sesuai, malah memberi impak positif yang besar terhadap perkembangan dan kesejahteraan pelajar OKU.

Lawatan ke Zoo Negara tersebut memberi peluang kepada kanak-kanak OKU mengenali pelbagai spesies haiwan secara langsung. Mereka bukan sekadar melihat gambar atau video, sebaliknya dapat memerhati pergerakan, mendengar bunyi dan memahami tingkah laku haiwan sebenar. Rangsangan deria ini membantu meningkatkan fokus, kefahaman dan keupayaan kognitif. Malah, terdapat kanak-kanak yang sebelum ini pasif dan kurang berkomunikasi menunjukkan minat mendalam apabila melihat haiwan seperti tapir dan zirafah, seterusnya berani bertanya soalan serta menyebut nama haiwan dengan bimbingan guru.

Dari aspek psikomotor, aktiviti luar kelas ini turut menyumbang kepada perkembangan fizikal kanak-kanak OKU. Pergerakan berjalan dari satu lokasi ke lokasi lain, menunjuk haiwan, memegang peta lawatan serta memberi makanan kepada haiwan membantu meningkatkan koordinasi motor kasar dan motor halus. Aktiviti fizikal yang dirancang ini mengukuhkan otot, keseimbangan dan kawalan pergerakan melalui pengalaman sebenar.

Selain itu, lawatan ini berfungsi sebagai terapi minda apabila suasana hijau dan interaksi dengan haiwan membantu mengurangkan tekanan, kebimbangan serta tingkah laku agresif. Kanak-kanak kelihatan lebih ceria, tenang dan bersemangat di luar persekitaran bilik darjah. Aktiviti seperti mendengar penerangan penjaga zoo dan memberi makan haiwan turut meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran sosial mereka.

Program ini juga memberi pendedahan awal tentang kepentingan pemuliharaan hidupan liar dan biodiversiti. Kanak-kanak diperkenalkan kepada spesies terancam dan haiwan ikonik tempatan seperti harimau Malaya, tapir Malaya dan siamang melalui pemerhatian langsung serta penerangan bergambar. Mereka turut dibimbing memahami kepentingan menjaga habitat semula jadi, mematuhi peraturan zoo dan peranan manusia dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem. Pendedahan berasaskan pengalaman ini memupuk kesedaran, empati dan rasa tanggungjawab terhadap kelestarian alam secara berperingkat.

Dari sudut pembangunan mampan, program ini menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 berkaitan Pendidikan Berkualiti dan SDG 10 bagi Mengurangkan Ketidaksamaan melalui penyediaan peluang pembelajaran inklusif kepada kanak-kanak OKU. Pendedahan kepada pemuliharaan biodiversiti pula menyumbang kepada SDG 15: Kehidupan di Darat, manakala kerjasama antara universiti, keluarga dan komuniti mencerminkan semangat SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat.

Kejayaan program ini turut dipacu peranan guru, fasilitator dan sukarelawan yang bertindak sebagai pembimbing dan penyokong sepanjang lawatan. Pendekatan yang mesra, sabar dan penyayang membantu kanak-kanak berasa selamat serta dihargai, di samping meningkatkan kepekaan pendidik terhadap keperluan unik kanak-kanak OKU.

Penglibatan ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini. Sokongan dan kepercayaan yang diberikan bukan sahaja meningkatkan keyakinan kanak-kanak, malah mengukuhkan kerjasama antara ibu bapa dan pendidik dalam proses pendidikan.

Sebagai kesinambungan pembelajaran, aktiviti susulan seperti melukis dan mewarna haiwan, sesi bercerita pengalaman lawatan, pembuatan buku skrap serta terapi seni di rumah dan bilik darjah boleh dilaksanakan bagi mengukuhkan ingatan, kefahaman dan kreativiti kanak-kanak OKU.

Kesimpulannya, pembelajaran luar kelas melalui lawatan pendidikan ke Zoo Negara merupakan pendekatan holistik yang sesuai untuk kanak-kanak OKU.

Ia bukan sahaja memperkayakan pengetahuan, malah menyokong perkembangan kognitif, psikomotor, emosi dan sosial mereka. Seperti peribahasa ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’, usaha kecil yang dilaksanakan secara bersama ini membuktikan pendidikan inklusif mampu direalisasikan melalui komitmen dan empati semua pihak.

Usaha sedemikian wajar diperluaskan agar kanak-kanak OKU terus menikmati peluang pembelajaran yang inklusif, seimbang dan berterusan sebagai sebahagian daripada masyarakat yang adil dan prihatin.

* Nor Haslawati Mohd Mokhlas ialah Pengurus di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) P.I.N.T.A.R, Universiti Malaya manakala Profesor Madya Dr Hasmahzaiti Omar ialah Pensyarah di Program Ekologi Biodiversiti, Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya.