Pupuk Jiwa UPSI demi kegemilangan 2026

Pencapaian global UPSI hari ini adalah hasil keseimbangan antara prestasi dan jiwa.

Feature Image (8)

MD. AMIN menyampaikan amanat pada majlis Aspirasi Bitara 3.0 @ JIWA UPSI, di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

Oleh: BAZLI RAZAK

KUALA LUMPUR 28 Januari 2026 — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh pembangunan insan berteraskan nilai jiwa, akhlak dan kecemerlangan holistik sebagai tunjang utama pencapaian universiti itu, selari dengan pengiktirafan UPSI berada di kelompok 101-125 terbaik dunia dalam bidang pendidikan bagi Times Higher Education (THE) World University Rankings 2026.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata kejayaan tersebut bukan sekadar pencapaian akademik dan penyelidikan, sebaliknya didorong oleh pembinaan jiwa UPSI yang menyeluruh melibatkan ketakwaan, keinsanan, kekeluargaan, kecemerlangan dan jiwa pendidik dalam kalangan warga universiti.

“Pencapaian global UPSI hari ini adalah hasil keseimbangan antara prestasi dan jiwa. Kegemilangan universiti tidak hanya diukur melalui ranking tetapi bagaimana nilai kemanusiaan, adab dan akhlak menjadi nadi kepada setiap inisiatif yang digerakkan,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena Aspirasi Bitara 3.0 @ JIWA UPSI di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.

Beliau berkata kerangka BITARA yang merangkumi Bakat Unggul, Inovasi dan Penyelidikan, Transformasi Digital, Adab dan Akhlak, Revolusi Ekosistem serta Adaptasi Global menjadi pemacu strategik UPSI dalam memperkukuh daya saing universiti di peringkat nasional dan antarabangsa menjelang 2026.

BARISAN pengurusan tertinggi UPSI bergambar kenangan bersama warganya pada majlis Aspirasi Bitara 3.0 @ JIWA UPSI, di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

Di bawah teras Bakat Unggul, UPSI memperkenalkan tujuh inisiatif utama termasuk pembangunan Model Warga UPSI yang berteraskan nilai budiman dan inovatif, pelaksanaan Leadership Summit@Oxford University, penambahbaikan sistem pengambilan staf, pelaksanaan Expert@UPSI 2.0, Smart Campus 2.0 serta sistem kenaikan pangkat menerusi i-Promote Fasa 2.

Sementara itu, teras Inovasi dan Penyelidikan menyaksikan pelaksanaan enam inisiatif strategik antaranya program 4P bernilai RM35 juta, pelaksanaan Industry on Campus (IOC), penubuhan Pusat Hubungan dan Jaringan Industri, inisiatif KARYA@UPSI dengan sasaran 1,000 penerbitan Scopus serta pelaksanaan Research Booster Initiatives bagi meningkatkan produktiviti akademia.

Dalam usaha mendepani era pendigitalan, UPSI memberi penekanan kepada Transformasi Digital menerusi tujuh inisiatif utama termasuk AI4ALL, penubuhan Honor AI Lab, pembangunan Data Warehouse, penaiktarafan infrastruktur rangkaian melalui UPSI NetX, pengukuhan keselamatan siber serta pelaksanaan pelbagai platform digital melibatkan pemasaran dan perkhidmatan kampus.

Beliau berkata teras Adab dan Akhlak pula menjadi elemen penting pembentukan JIWA UPSI dengan pelaksanaan 10 inisiatif termasuk 5 Minutes Adab Talk, PLKN 3.0, Dapur Siswa MADANI, Mahasiswa Prihatin, Student Well-Being Index (STIDEX) serta pelaksanaan Counselor on Wheel bagi menyokong kesejahteraan pelajar secara menyeluruh.

SUASANA pada majlis Aspirasi Bitara 3.0 @ JIWA UPSI, di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

“Semua inisiatif ini disatukan dengan nilai jiwa supaya warga UPSI bukan sahaja cemerlang dari sudut intelek, malah berakhlak, beradab dan berperanan sebagai agen perubahan masyarakat.

Mengulas Revolusi Ekosistem, beliau berkata UPSI sedang melaksanakan 27 inisiatif berskala besar termasuk penjanaan pendapatan universiti, projek penjimatan tenaga solar, pembangunan kampus baharu, pusat komuniti dan kediaman pelajar, infrastruktur latihan berprestasi tinggi serta inisiatif kampus rendah karbon menjelang 2030.

Selain itu, teras Adaptasi Global turut diperkasakan melalui sembilan inisiatif antaranya sasaran 2,200 pelajar antarabangsa, penganjuran Global Educator Award 2026 melibatkan 100 negara, pelaksanaan program pendidikan fleksibel dan peluasan bilik darjah global.

Prof. Md Amin berkata kesemua aspirasi BITARA itu disokong oleh penghayatan JIWA UPSI, merangkumi JIWA Ketaqwaan, Keinsanan, Kekeluargaan, Kecemerlangan dan Jiwa Pendidik, yang diterjemahkan melalui pelbagai program kebajikan, kesejahteraan, kerohanian serta pembangunan profesional warga universiti.

“JIWA UPSI adalah roh kepada setiap dasar dan pencapaian universiti. Inilah kekuatan sebenar UPSI dalam melahirkan graduan pendidik dan warga universiti yang seimbang, berdaya saing serta relevan dengan tuntutan global,” Ujar beliau.

Turut menyampaikan amanat pada majlis itu Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UPSI, Profesor Dr. Suriani Abu Bakar; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid Salimin; Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman; Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed; Pengarah Jabatan Pengurusan Pembangunan & Harta Benda, Saiduri Dolah; Ketua Pegawai Digital, Pusat Teknologi Maklumat & Komunikasi UPSI, Ts. Dr. Megat Azrin Ahmad.