Apabila cerun runtuh, ekosistem pun tumbang
Penyingkiran litupan hutan untuk pertanian lereng bukit, pembukaan ladang sayur dan tanaman komersial, pembinaan di kawasan berisiko serta sistem perparitan yang tidak efisien terbukti mempercepatkan kegagalan cerun.

TANAH runtuh merupakan antara bencana geologi yang semakin kerap berlaku di Malaysia, khususnya di kawasan berlereng curam yang berdepan tekanan pembangunan dan perubahan guna tanah termasuk pembukaan kawasan pertanian berskala besar.
Fenomena ini melibatkan pelbagai bentuk pergerakan tanah seperti kegagalan cerun, runtuhan batuan dan aliran lumpur. Secara umum, tanah runtuh sering dibahaskan sebagai isu keselamatan yang mengancam nyawa dan harta benda manusia.
Namun, perbahasan ini wajar diperluaskan kerana kesan sebenar tanah runtuh turut melibatkan kerosakan serius terhadap biodiversiti di kawasan bandar dan luar bandar, termasuk ancaman kepada spesies endemik yang bernilai tinggi dari sudut ekologi serta kelestarian landskap pertanian.
Terdapat pandangan yang menyatakan bahawa tanah runtuh ialah bencana semula jadi yang sukar dielakkan, khususnya dalam iklim tropika yang menerima hujan lebat sepanjang tahun. Dari sudut saintifik, hujan berpanjangan sememangnya faktor utama kerana ia meningkatkan kandungan air dalam tanah, melemahkan struktur cerun dan mengurangkan daya ricih tanah.
Namun, hujah ini menjadi tidak lengkap apabila faktor manusia diketepikan. Penyingkiran litupan hutan untuk pertanian lereng bukit, pembukaan ladang sayur dan tanaman komersial, pembinaan di kawasan berisiko serta sistem perparitan yang tidak efisien terbukti mempercepatkan kegagalan cerun.
Oleh itu, persoalan utama bukan sekadar mengapa tanah runtuh berlaku tetapi sejauh mana aktiviti manusia, termasuk amalan pertanian yang tidak mampan, memburukkan risiko yang sedia ada.
Beberapa kejadian tanah runtuh di Malaysia membuktikan bahawa kesannya melangkaui isu infrastruktur semata-mata. Kejadian tanah runtuh di kawasan Aring 8–Kenyir–Kuala Jeneris, berhampiran Sungai Deka Elephant Conservation Center, misalnya sering dibincangkan dari sudut penutupan laluan dan keselamatan pengguna jalan raya.
Namun, dari perspektif biodiversiti dan guna tanah, runtuhan ini turut menjejaskan kawasan pertanian kecil di pinggir hutan serta mengganggu habitat hidupan liar seperti gajah, tapir dan spesies hutan lain yang bergantung kepada koridor ekologi.
Perubahan landskap memaksa haiwan mengubah pola pergerakan, sekali gus meningkatkan konflik manusia-hidupan liar, khususnya di kawasan ladang dan kebun serta menjejaskan keseimbangan ekosistem hutan.
Di kawasan bandar pula, ada pihak beranggapan bahawa tanah runtuh tidak memberi kesan besar terhadap biodiversiti kerana bandar dianggap miskin kepelbagaian biologi.
Pandangan ini wajar dicabar. Kejadian tanah runtuh yang berlaku di sekitar ibu negara, termasuk di Bangsar, Bukit Bandaraya dan Jalan Klang Lama membuktikan bahawa biodiversiti bandar juga terdedah kepada risiko.
Selain kawasan hijau bandar, tanah runtuh turut memberi kesan kepada kebun komuniti dan pertanian bandar berskala kecil yang berfungsi sebagai habitat mikro bagi burung, serangga pendebunga dan flora tempatan.
Apabila cerun runtuh dan struktur hijau rosak, habitat ini musnah, sekali gus menjejaskan fungsi ekosistem bandar seperti kawalan suhu, penyerapan air hujan dan kualiti udara.
Perbahasan menjadi lebih kritikal apabila tanah runtuh berlaku di kawasan luar bandar dan tanah tinggi seperti laluan Gua Musang dan Lojing serta kawasan pertanian tanah tinggi di Cameron Highlands yang terkenal dengan tanaman sayur-sayuran dan bunga. Kawasan ini bukan sahaja kaya dengan biodiversiti, malah menjadi pusat pengeluaran makanan negara.
Apabila tanah runtuh berlaku akibat pembukaan cerun pertanian yang melampau, hutan musnah secara mendadak dan spesies kehilangan tempat tinggal serta sumber makanan.
Bagi spesies endemik yang mempunyai taburan terhad dan keupayaan penyesuaian rendah, gangguan ini boleh membawa kepada kepupusan setempat. Pada masa yang sama, tanah pertanian turut rosak, hasil tanaman musnah dan petani kehilangan sumber pendapatan.
Selain itu, tanah runtuh juga membuka ruang kepada kemasukan spesies invasif. Kawasan pertanian dan hutan yang terganggu memudahkan spesies asing seperti lalang (Imperata cylindrica), Chromolaena odorata dan senduduk asing menakluki ruang baharu manakala haiwan perosak seperti tikus, siput gondang emas dan serangga invasif mudah merebak, bersaing dengan spesies tempatan dan mengubah rantaian makanan.
Kejadian runtuhan di Taman Eko Rimba Mossy Forest, yang menyebabkan kerosakan laluan pejalan kaki dan penutupan kawasan pelancongan, menunjukkan betapa sensitifnya ekosistem hutan lumut.
Ekosistem ini menempatkan tumbuhan endemik seperti orkid hutan lumut, lumut sphagnum dan spesies unik yang sangat bergantung kepada keadaan mikroiklim yang stabil.
Sebarang gangguan fizikal akibat tanah runtuh boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kelangsungan biodiversiti sekitarnya, termasuk menjejaskan kestabilan ekosistem dan kawasan pertanian tanah tinggi berhampiran.
Dari sudut hidrologi pula, ada yang berpendapat bahawa kesan tanah runtuh terhadap sungai dan tasik hanyalah sementara. Namun realitinya, peningkatan sedimen akibat tanah runtuh boleh mencetekkan sungai, menjejaskan kualiti air dan merosakkan sistem pengairan pertanian di hilir.
Empangan pula berisiko kehilangan kapasiti takungan manakala limpahan air boleh mencetuskan bencana sekunder seperti banjir lumpur yang memusnahkan sawah, kebun dan ladang.
Sehubungan itu, langkah pencegahan dan pengurusan tanah runtuh perlu dilaksanakan secara tegas dan bersepadu. Antaranya ialah penguatkuasaan perancangan guna tanah yang ketat, pengawalan aktiviti pertanian di cerun berisiko tinggi, pemuliharaan hutan sebagai penampan semula jadi serta penerapan amalan pertanian lestari.
Penggunaan teknologi pemantauan cerun dan sistem amaran awal juga wajar diperluaskan. Selain itu, pemulihan ekosistem pascaruntuhan, termasuk penanaman semula spesies tempatan dan kawalan spesies invasif perlu dijadikan keutamaan, bukan sekadar langkah sampingan.
Perdebatan tentang tanah runtuh tidak boleh terhenti pada soal keselamatan manusia semata-mata. Tanah runtuh ialah fenomena kompleks yang memberi kesan mendalam terhadap biodiversiti bandar, luar bandar dan kawasan pertanian, termasuk ancaman serius terhadap spesies endemik.
Pembangunan dan pertanian tanpa perancangan mampan hanya mempercepatkan kerosakan alam dan meningkatkan risiko bencana. Jika langkah pencegahan dan pengurusan tidak diambil secara serius dan berani, kerugian terhadap alam sekitar dan keselamatan makanan negara akan menjadi tidak ternilai.
Sesungguhnya, menjaga kestabilan cerun dan ekosistem bermakna melindungi masa depan biodiversiti dan kesejahteraan manusia, kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

