MyNUCLEAR mengubah ekosistem perubatan nuklear Malaysia
Usahasama peringkat nasional ini berfungsi sebagai pusat sumber sehenti bagi pesakit dan pakar kesihatan untuk memahami perubatan nuklear dan terapi inovatif seperti teranostik, demi meningkatkan kualiti penjagaan pesakit.
KUALA LUMPUR, 24 Februari 2026 – Landskap perubatan nuklear Malaysia melangkah ke hadapan dengan pelancaran MyNuCLEaR, iaitu laman web Malaysian Nuclear Medicine Care Locator, Education and Resources.
Diterajui oleh Persatuan Perubatan Nuklear dan Pengimejan Molekul Malaysia (MSNMMI) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM), laman web ini merupakan platform bersepadu yang memainkan beberapa peranan penting.
Perubatan nuklear adalah bidang khusus yang menggunakan bahan radioaktif dalam dos kecil dan terkawal untuk membantu mengesan atau merawat penyakit tertentu termasuk kanser prostat.
Bidang ini dikawal ketat dan telah diamalkan selama lebih 100 tahun, dengan penyelidikan berterusan yang membuka peluang baharu untuk menambahbaik kaedah pengurusan penyakit serta membantu pesakit menjalani kehidupan yang lebih baik sepanjang rawatan.
Dr Mahayuddin Abdul Manap selaku Presiden MSNMMI menekankan kepentingan myNuCLEaR dengan berkata: “MyNuCLEaR adalah platform sumber perubatan nuklear bersepadu sepenuhnya yang pertama di Malaysia, menghubungkan pesakit, pakar, penyedia perkhidmatan kesihatan dan penyelidik di seluruh negara.
“Dibangunkan melalui usahasama pelbagai agensi yang melibatkan kepakaran merentas disiplin serta sokongan industri daripada Novartis Malaysia, inisiatif ini bertujuan merapatkan jurang pengetahuan antara pesakit dan pakar kesihatan.
“Sebagai repositori maklumat berpusat, MyNuCLEaR memudahkan akses yang teratur kepada perkhidmatan perubatan nuklear, di samping menyokong penjagaan pesakit yang tepat pada masanya, berinformasi dan terselaras di seluruh negara.”
MyNuCLEaR adalah sumber pelbagai dimensi yang menyokong akses kepada:
1. Kemudahan dan perkhidmatan melalui direktori menyeluruh yang membantu pesakit mencari pusat perkhidmatan perubatan nuklear yang bertauliah di seluruh negara.
2. Penjagaan dengan mengukuhkan sistem rujukan nasional,sekaligus memperkemas aliran pesakit untuk diagnosis dan rawatan yang tepat pada masanya.
3. Pengetahuan dengan melalui pusat maklumat yang sentiasa dikemaskini tentang amalan perubatan nuklear daripada radiofarmaseutikal sehingga inovasi diagnostik dan terapeutik baharu seperti teranostik.
4. Pembangunan profesional berterusan melalui program pendidikan berstruktur untuk doktor muda, doktor dalam latihan serta anggota kesihatan bersekutu yang terlibat dalam perubatan nuklear di Malaysia.
5. Kemajuan penyelidikan dengan menghubungkan penyelidik bagi memupuk kerjasama dan memacu penggunaan teknologi perubatan nuklear inovatif.

Usaha untuk memajukan perubatan nuklear membawa manfaat kepada pesakit, jelas Pakar Perubatan Nuklear Profesor Madya Dr Tan Teik Hin. “Banyak kemajuan dalam bidang perubatan nuklear hari ini membolehkan pengesanan lebih awal dan rawatan yang lebih tepat, sekaligus menigkatkan harapan kepada pesakit.
“Sebagai contoh, kanser prostat kini semakin meningkat jumlahnya, namun sering dikesan lewat. Kemajuan teranostik membolehkan doktor mengesan tumor walaupun berukuran sangat kecil serta mengetahui lokasi penyebaran kanser menggunakan pengimejan Prostate-Specific Membrane Antigen (PSMA).
“Ini disusuli Radioligand Therapy (RLT) untuk menyalurkan rawatan secara terus kepada tumor dan lesi metastatik, sambil meminimumkan kesan impak terhadap sel-sel yang sihat. Secara ringkasnya, teknik teranostik membolehkan pengesanan yang lebih pantas, rawatan yang lebih tepat, kesan sampingan yang kurang dan akhirnya, meningkatkan kadar kelangsungan hidup serta kualiti hidup pesakit,” katanya.
Sanjeev Balachandran, Presiden Serantau Novartis Malaysia, Brunei dan Asia Emerging Markets (AEM), berkata: “MyNuCLEaR menetapkan aras baharu untuk negara ini dan menjadi batu loncatan untuk semua pesakit yang memerlukan perkhidmatan perubatan nuklear bagi memahami dan mengurus perjalanan rawatan mereka.
“Ia mengukuhkan lagi misi kami di Novartis untuk menambahbaik dan memanjangkan hayat pesakit, dengan mengatasi halangan melalui inovasi, satu pencapaian demi satu pencapaian. Kami berbangga menjadi sebahagian daripada inisiatif ini dan berharap dapat terus bekerjasama rapat dengan KKM dan MSNMMI bagi memajukan bidang perubatan nuklear di Malaysia.”
MyNuCLEaR membuka laluan kepada diagnosis lebih awal, rawatan berperibadi dan hasil rawatan yang lebih baik. Rakyat Malaysia kini boleh mengharapkan pengalaman rawatan yang mudah difahami dan berkesan. Maklumat lanjut boleh didapati di www.msnmmi.org.my/mynuclear/.
