Melindungi OKU sambil memperkukuh penyertaan digital

Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 berpotensi menjadi model tadbir urus digital yang seimbang, bukan sekadar melindungi tetapi memperkukuh penyertaan.

Feature Image (2)

PENGUATKUASAAN Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 menandakan satu fasa baharu dalam tadbir urus digital Malaysia. Dalam era di mana interaksi sosial, pembelajaran dan ekonomi semakin beralih ke ruang siber, keperluan terhadap perlindungan yang lebih sistematik menjadi semakin mendesak.

Akta ini bertujuan menangani isu buli siber, eksploitasi, penipuan digital serta kandungan berbahaya yang memberi kesan khusus kepada kanak-kanak dan remaja.

Namun, dalam perbahasan mengenai keselamatan digital, perhatian yang lebih mendalam perlu diberikan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), khususnya belia OKU. Bagi kelompok ini, ruang digital bukan sekadar medium komunikasi tetapi saluran penting untuk pembinaan identiti, jaringan sosial dan rasa kebersamaan.

Ramai belia OKU menggunakan platform digital untuk membina komuniti sokongan, berkongsi pengalaman hidup dan mendapatkan akses kepada maklumat serta peluang yang mungkin terhad dalam dunia fizikal.

Bagi individu neurodivergen atau mereka yang mempunyai kekangan mobiliti, komunikasi dalam talian menawarkan persekitaran yang lebih fleksibel dan kurang tekanan sosial. Dalam banyak keadaan, ruang digital menjadi medan pertama di mana mereka berasa diterima dan difahami.

Pada masa yang sama, golongan ini juga lebih terdedah kepada gangguan dalam talian. Buli siber dan diskriminasi boleh memberi kesan psikologi yang mendalam, sekali gus menjejaskan kesejahteraan emosi dan perkembangan sosial mereka. Dalam konteks ini, pengukuhan akauntabiliti platform digital melalui sistem pemantauan kandungan dan mekanisme pelaporan yang lebih berkesan adalah langkah yang wajar.

Perlindungan perlu dilihat sebagai asas kepada penyertaan yang bermakna. Tanpa keselamatan, ruang digital tidak mampu berfungsi sebagai ruang inklusif.

Namun begitu, dari sudut dasar awam, pelaksanaan akta ini memerlukan pendekatan yang berhati-hati dan berasaskan prinsip inklusiviti. Sekatan umur dan sistem pengesahan identiti yang diperkenalkan bertujuan melindungi golongan bawah umur daripada risiko eksploitasi. Akan tetapi, sekiranya reka bentuk sistem tidak mengambil kira keperluan aksesibiliti, ia boleh mewujudkan halangan baharu kepada OKU.

Dalam kerangka dasar awam, terdapat sekurang-kurangnya tiga pertimbangan utama yang perlu diberi perhatian. Pertama, prinsip access by design. Setiap mekanisme pengesahan, moderasi kandungan dan antara muka digital perlu dibangunkan dengan mengambil kira standard aksesibiliti sejagat. Ini selaras dengan komitmen negara di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008 yang menjamin akses kepada maklumat dan komunikasi tanpa diskriminasi.

Kedua, keperluan penilaian impak regulatori yang sensitif kepada OKU. Sebarang peraturan baharu dalam ekosistem digital wajar melalui analisis impak sosial yang menilai kesan terhadap kumpulan rentan, termasuk belia OKU. Pendekatan ini memastikan perlindungan tidak secara tidak sengaja mengehadkan hak penyertaan.

Ketiga, integrasi literasi keselamatan digital yang inklusif. Pendidikan mengenai keselamatan siber perlu dirangka dalam format yang mudah diakses oleh pelajar dengan pelbagai keupayaan, termasuk penggunaan bahan visual, bahasa mudah dan teknologi bantuan.

Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 berpotensi menjadi model tadbir urus digital yang seimbang, bukan sekadar melindungi tetapi juga memperkukuh penyertaan. Keselamatan dan inklusi tidak seharusnya dilihat sebagai dua matlamat yang bercanggah. Sebaliknya, keselamatan adalah prasyarat kepada penyertaan yang adil dan bermakna.

Dalam masyarakat digital yang semakin kompleks, dasar yang baik bukan hanya menutup ruang risiko, tetapi juga membuka ruang peluang secara saksama. Bagi golongan OKU, ruang digital yang selamat dan inklusif bukan sekadar isu teknologi atau perundangan. Ia adalah isu keadilan sosial dan hak asasi dalam abad ke-21.