Tragedi tuntut siasatan demi keselamatan sekolah
Sekolah bukanlah sekadar institusi akademik tetapi sebuah tempat kerja yang tertakluk kepada undang-undang keselamatan yang ketat.

TRAGEDI yang meragut nyawa seorang remaja berusia 13 tahun di sebuah sekolah di Pengkalan Chepa baru-baru ini sangat menyayat hati. Demi keadilan mangsa tragedi, kita harus bertekad agar tragedi seumpama ini tidak berulang di negara kita.
Kita tidak boleh sekadar bersimpati, sebaliknya perlu bertindak dengan penuh tanggungjawab melalui sudut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP). Di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP 1994 atau Akta 514), sekolah bukanlah sekadar institusi akademik tetapi merupakan sebuah tempat kerja yang tertakluk kepada undang-undang keselamatan yang ketat.
Dalam konteks ini, pihak pengurusan sekolah atau Kementerian Pendidikan bertindak sebagai majikan, manakala guru serta staf adalah pekerja.
Penting untuk ditegaskan bahawa akta ini mewajibkan majikan bertanggungjawab bukan sahaja terhadap keselamatan pekerja, malah terhadap orang lain yang berada di premis tersebut termasuk murid, ibu bapa, dan pelawat.
Keselamatan murid bukan sekadar soal ihsan atau budi bicara, tetapi ia adalah tanggungjawab perundangan yang mandatori atau statutory duty. Dalam prinsip KKP, setiap kemalangan adalah isyarat kegagalan dalam sistem kawalan. Walaupun kita menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kepada pihak berkuasa, komuniti perlu faham bahawa siasatan menyeluruh bertujuan mencari punca akar (root cause), bukannya mencari kesalahan semata-mata demi pencegahan pada masa hadapan.
Persoalan kritikal yang perlu dijawab ialah mengapakah kenderaan tersebut berada di kawasan yang sepatutnya menjadi zon selamat untuk murid? Adakah kawasan tersebut telah digazetkan sebagai zon pejalan kaki yang bebas kenderaan? Tanpa jawapan kepada punca akar ini, kita hanya “menampal luka” tanpa merawat punca penyakit yang sebenar.
Iktibar daripada kemalangan ini wajib dikongsikan dengan semua sekolah lain sebagai amaran keselamatan bagi mengelakkan sejarah berulang. Siasatan ini adalah satu amanah yang perlu ditunaikan kepada mangsa dan seluruh murid di negara kita bagi memastikan setiap dapatan diterjemahkan kepada langkah pencegahan yang konkrit.
Meskipun siasatan adalah langkah reaktif, tunjang utama KKP adalah pencegahan proaktif melalui penilaian risiko. Pindaan AKKP pada tahun 2022 telah memperkasakan lagi aspek ini dengan mewajibkan penilaian risiko bagi setiap aktiviti di tempat kerja.
Pihak sekolah seharusnya melaksanakan HIRARC (Kenal pasti Bahaya, Penilaian Risiko, dan Kawalan Risiko) khusus untuk pergerakan trafik di dalam kawasan sekolah. Melalui HIRARC, kita dapat menentukan tahap risiko pertembungan kenderaan dengan murid dan seterusnya mengambil langkah kawalan yang sewajarnya. Kegagalan memahami risiko trafik ini adalah satu kegagalan dalam memenuhi kewajipan statutori yang telah ditetapkan di bawah undang-undang.
Situasi yang ideal di setiap tempat kerja memerlukan pengurusan yang sistematik. Justeru, persoalan utama yang perlu diajukan ialah adakah setiap sekolah telah melantik staf yang kompeten untuk mengetuai hal-ehwal keselamatan? Mengikut undang-undang, setiap tempat kerja yang mempunyai lebih daripada lima orang pekerja kini diwajibkan melantik seorang Penyelaras KKP (OSH Coordinator).
Langkah paling utama yang perlu diambil serta-merta adalah dengan mengadakan audit menyeluruh terhadap pengurusan trafik di sekolah, termasuk mendefinisikan secara jelas sempadan kawasan pejalan kaki dan kawasan kenderaan.
Definisi dan peraturan trafik di dalam sekolah ini perlu disampaikan dan dilatih kepada murid-murid dengan kadar segera agar mereka faham akan bahaya di persekitaran mereka. Sebagai anggota masyarakat, marilah kita sama-sama mengambil langkah proaktif dengan mengusulkan semakan semula keselamatan infrastruktur melalui PIBG.
Kehilangan nyawa tidak dapat dinilaikan dengan wang ringgit, dan pelaburan dalam aspek keselamatan adalah jauh lebih bermakna daripada membiarkan risiko terus mengancam anak-anak kita di tempat yang sepatutnya paling selamat untuk mereka.

