INSTITUT Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan dan Pusat Kepimpinan dan Pembangunan Profesional (INPUMA-UMLEAD) Universiti Malaya (UM) menerima kunjugan hormat Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika penganjuran Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) Khas Timor Leste pada 8 Julai 2024 di Hotel Wyndham Grand, Bangsar Kuala Lumpur.
Pada tahun ini, INPUMA UM diberi kepercayaan tinggi oleh Sekretariat MTCP, Kementerian Luar Negeri untuk mengemukakan dan berkongsi pengalaman polisi awam dan kempimpinan Malaysian dalam program bina upaya bertemakan tata kelola baik, reformasi institusi dan pembinaan maasa depan yang berdemokrasi.
Penganjuran ini amat bertepatan dengan pendirian terbuka Malaysia yang menyokong permohonan keanggotaan Timor Leste untuk menyertai Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan giliran negara sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.
Dalam ucap tamanya bersama delegasi Timor Leste, Saifuddin Nasution juga menegaskan pentingnya untuk memahami maksud Malaysia bersih sebagai suatu usaha yang berterusan dan mendapat dukungan kerajaan dan rakyat secara keseluruhan.
Pihak INPUMA dan Pengurusan Tertinggi UM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian Menteri Dalam Negeri yang berbesar hati untuk meluangkan masa bersama UM dan menyampaikan ucap tama beliau, selain berkongsi pengalaman Malaysia dalam memperkasa dan membudayakan governans dalam polisi awam dengan para delegasi dari Timor Leste.
Dalam program MTCP Khas Timor Leste kali ini, seramai 15 peserta yang juga merupakan pegawai kerajaan dan penggubal polisi paling kanan dari Timor Leste telah dipilih untuk mengikuti program latihan khas ini.