Zulhijah menyisih ego, membebas jiwa

Setiap titisan darah korban adalah simbol bahawa ada sesuatu dalam diri yang sepatutnya mati iaitu sifat kesombongan, ketamakan dan keangkuhan.

Feature Image (1)

TATKALA gema takbir memecah fajar, memuji kebesaran Ilahi, umat Islam kembali menyelusuri satu musim yang sarat makna iaitu bulan Zulhijah. Merenung di sebalik hiruk-pikuk persiapan ibadah korban, terselit satu hakikat yang sering terhijab daripada pandangan mata; korban bukan sekadar sembelihan pada jasad haiwan, tetapi adalah sembelihan terhadap ego yang berakar dalam jiwa insan.

Allah SWT menegaskan dalam firmanNya yang bermaksud: “Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah ketakwaan kamu.” (Surah al-Hajj, 22:37)

Ayat ini seakan mengetuk pintu hati hambaNya yang beriman, bahawa hakikat korban bukan pada bilah pisau atau aliran darah tetapi pada keberanian manusia merobohkan benteng keakuan yang membelenggu diri.

Ego moden ialah penjara jiwa tanpa disedari

Menjengah dunia yang serba pantas hari ini, manusia tanpa sedar membina tembok ego setinggi langit. Media sosial menjadi cermin palsu yang menuntut pengiktirafan, menjadikan manusia berlumba-lumba mencari pujian dan perhatian. Sifat keakuan iaitu merasakan diri paling benar, enggan mengalah dan ingin sentiasa di hadapan, perlahan-lahan mencemarkan kebersihan hati.

Inilah benih mazmumah seperti ujub, riyak, takabur dan hasad dengki. Sedangkan Rasulullah SAW telah mengingatkan: “Tidak akan masuk syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarah kesombongan.” (Hadis riwayat Muslim)

Zulhijah hadir sebagai musim penyucian. Ia mengajak manusia kembali merenung dirinya; apakah yang selama ini perlu dikorbankan? Mungkin bukan harta, tetapi keegoan yang tidak kasat pada mata.

Korban yang menghubungkan hati manusia

Apabila ego disembelih, maka lahirlah jiwa yang halus melihat manusia lain. Pengagihan daging korban bukan sekadar amalan kebajikan, tetapi simbol runtuhnya jurang sosial. Si kaya tidak lagi terpisah daripada si miskin. Semua duduk di hamparan kemanusiaan yang sama dan di sinilah Islam mengajar satu bahasa yang tidak terucap iaitu Bahasa Empati.

Hati yang telah disucikan akan memandang manusia dengan lensa kasih sayang. Ia tidak lagi melihat dengan mata perbandingan, tetapi dengan rasa persaudaraan. Justeru, dari sinilah terjalin masyarakat yang saling memayungi dan bukannya saling menjatuhkan.

Hakikatnya, penyakit ego bukan hanya di ruang peribadi tetapi turut meresap ke dunia pekerjaan. Konflik pejabat, perebutan pengaruh dan keinginan untuk menonjolkan diri sering menjadi racun yang merosakkan organisasi. Apabila setiap individu mempertahankan “aku”, maka “maka kita” akan terkorban.

Maka, di sinilah roh Zulhijah sepatutnya hidup dan dihayati. Pemimpin yang menyembelih egonya akan memimpin dengan penuh hikmah iaitu lebih mendengar daripada berbicara dan lebih membimbing daripada mengarah.

Pekerja pula akan bekerja dengan penuh nilai integriti dan bukan untuk dipuji tetapi kerana sifat tanggungjawab. Sabda Nabi SAW: “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, apabila ego disingkirkan, organisasi akan berubah menjadi taman yang subur dan bukannya medan persaingan yang saling membinasakan.

Mencari damai di tengah gelora dunia

Kehidupan akhir zaman sering digambarkan sebagai gelombang yang tidak pernah reda. Manusia dihimpit tekanan, diburu ketidaktentuan dan semakin jauh daripada ketenangan hakiki. Oleh yang demikian, dalam keadaan ini, manusia sering mencari bahagianya di luar iaitu melalui harta, kedudukan dan pengaruh.

Namun, ulama besar Nusantara, Profesor Hamka, pernah menulis dengan penuh makna melalui karya agungnya, Tasawuf Moden: “Ketenangan tidak terletak pada apa yang dimiliki, tetapi pada apa yang dibersihkan dalam hati.”

Inilah rahsia tasawuf yang halus. Hati yang dipenuhi ego adalah hati yang sempit tetapi hati yang telah “disembelih egonya” akan menjadi tenang dan lapang, seluas langit yang menerima takdir tanpa gelisah. Allah SWT berfirman: “(Iaitu) orang yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera.” (Surah al-Syu‘ara’, 26:89)

Qalbun salim bukan lahir dari kemewahan tetapi daripada pengorbanan batin. Ia terbentuk di saat manusia berani meleraikan simpulan ego, membuang kesombongan, lalu merendahkan diri di hadapan Allah SWT. Mujahadah dalam sunyi, hati itu dicuci daripada debu dunia hingga menjadi bening, mampu memantulkan cahaya Ilahi dengan penuh ketenangan dan pada saat itulah, insan menemukan kebahagiaan sejati, bukan kerana memiliki segalanya, tetapi kerana jiwanya telah kembali kepada Pemilik segala-galanya.

Antara sebilah pisau dan jiwa

Akhirnya, Zulhijah bukan sekadar musim penyembelihan tetapi musim pembebasan. Setiap titisan darah korban adalah simbol bahawa ada sesuatu dalam diri yang sepatutnya mati iaitu sifat kesombongan, ketamakan dan keangkuhan. Maka, tanyalah diri; Apakah yang telah aku korbankan? Ego itu tidak akan rebah dengan kata-kata, tetapi dengan mujahadah. Ianya perlu dilawan, ditundukkan dan akhirnya diserahkan kepada Allah SWT.

Zulhijah mengajar kita satu hakikat yang mendalam; manusia tidak akan mencapai kedamaian selagi masih terpenjara dalam dirinya sendiri.

Sembelihlah ego diri yang melampau, maka akan hiduplah jiwa yang sihat. Runtuhkan sifat keakuan, maka akan terbinalah nilai-nilai keinsanan. Mungkin, di situlah bermulanya perjalanan menuju reda Allah SWT.