Bersama membina semula kepercayaan setelah amanah dikhianati
Ada kes yang melibatkan guru menghantar mesej tidak senonoh, gambar tidak sesuai atau cuba mendekati pelajar melalui media sosial.

SEJAK kebelakangan ini, Malaysia telah dikejutkan dengan beberapa laporan mengenai penglibatan guru sekolah dalam kes serangan seksual terhadap pelajar yang menimbulkan kemarahan, kebimbangan dan kesedihan dalam kalangan masyarakat. Guru sepatutnya menjadi individu yang mendidik, membimbing dan melindungi pelajar manakala sekolah merupakan institusi yang selamat untuk perkembangan akademik, emosi dan sosial pelajar. Majoriti guru di Malaysia menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan profesionalisme.
Namun, apabila terdapat segelintir guru yang menyalahgunakan kuasa dan kepercayaan yang diberikan kepada mereka, institusi pendidikan akan terjejas dan keyakinan masyarakat terhadap sistem pendidikan mula terhakis. Kes seperti ini bukan sahaja memberi kesan kepada mangsa, malah turut memberi impak besar terhadap keluarga, sekolah dan masyarakat secara keseluruhan.
Dalam konteks sekolah, serangan seksual ini boleh berlaku dalam bentuk sentuhan tidak senonoh, gangguan seksual, ugutan, eksploitasi seksual, pemaksaan hubungan seksual atau perbuatan yang menjatuhkan maruah seseorang. Faktor utama yang boleh menyumbang kepada berlakunya kes seumpama ini ialah penyalahgunaan kuasa. Guru mempunyai kedudukan yang tinggi dalam sekolah dan sering dianggap sebagai individu yang mesti dihormati.
Dalam sesetengah keadaan, kuasa ini disalahgunakan untuk mendekati atau mengawal pelajar secara tidak wajar. Disebabkan oleh itu, pelajar sering berasa takut untuk melawan, melaporkan atau mempertahankan diri apabila berhadapan dengan perlakuan tidak wajar daripada guru. Situasi ini menyebabkan ramai mangsa memilih untuk berdiam diri walaupun mengalami penderitaan emosi yang mendalam.
Kemajuan teknologi turut membuka ruang kepada gangguan seksual secara dalam talian. Ada kes yang melibatkan guru menghantar mesej tidak senonoh, gambar tidak sesuai atau cuba mendekati pelajar melalui media sosial. Hubungan yang bermula secara dalam talian boleh berkembang menjadi eksploitasi seksual.
Pelajar sekolah, khususnya remaja, mudah terpengaruh kerana mereka masih berada dalam fasa perkembangan emosi dan identiti diri. Mereka mungkin tidak menyedari bahawa tindakan guru tersebut sebenarnya merupakan bentuk manipulasi dan penderaan.
Selain itu, kelemahan sistem pemantauan di sekolah juga boleh menjadi faktor penyumbang. Sesetengah sekolah mungkin kurang mempunyai prosedur yang jelas untuk melaporkan gangguan seksual. Terdapat juga keadaan di mana aduan pelajar tidak diberi perhatian serius kerana bimbang akan mencemarkan nama baik sekolah. Jika laporan tidak disiasat dengan segera, pelaku mungkin akan terus mengulangi perbuatannya terhadap mangsa lain.
Bukan itu sahaja, ada guru yang kembali berkhidmat di sekolah yang sama atau yang lain setelah didapati terlibat dalam kes seumpamanya. Oleh itu, sistem pemantauan, mekanisme aduan dan tindakan tatatertib perlu diperkukuh untuk menunjukkan bahawa sekolah ialah tempat selamat dan tiada kompromi terhadap jenayah seksual.
Kesan serangan seksual terhadap mangsa sangat besar dan boleh berlanjutan hingga dewasa. Pelajar mungkin hilang minat untuk belajar, takut datang ke sekolah dan mengalami kemerosotan prestasi. Hubungan sosial mangsa juga boleh terjejas apabila mangsa mungkin sukar mempercayai orang lain, menjadi pendiam atau mengasingkan diri daripada rakan-rakan.
Lebih ekstrem, mangsa mungkin mengalami trauma, kemurungan, kebimbangan, rasa malu dan hilang keyakinan diri yang akhirnya membawa kepada gangguan tekanan pascatrauma atau Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD). Sekolah yang sepatutnya menjadi tempat selamat bertukar menjadi tempat yang menakutkan bagi mangsa. Dalam sesetengah kes, mangsa turut berhadapan dengan stigma masyarakat yang cenderung menyalahkan mereka.
Kes serangan seksual melibatkan guru turut memberi kesan besar terhadap institusi pendidikan. Imej profesion perguruan tercemar akibat tindakan segelintir individu yang terlibat, sekali gus menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap integriti profesion keguruan.
Kepercayaan ibu bapa terhadap sekolah akan turut terjejas apabila keselamatan anak-anak tidak dapat dijamin kerana tahap pemantauan dan keberkesanan pengurusan sekolah yang lemah. Dalam jangka panjang, isu seperti ini boleh menghakis kesejahteraan sosial masyarakat kerana sekolah seharusnya memainkan peranan penting dalam membentuk generasi masa depan. Jika pelajar membesar dalam suasana yang tidak selamat, perkembangan emosi dan keyakinan mereka akan tergugat.
Pelbagai langkah perlu diambil untuk membendung isu ini daripada terus berlaku. Pertama, pelajar perlu diberikan pendidikan mengenai keselamatan diri dan sempadan fizikal sejak usia muda. Mereka perlu diajar untuk mengenali tingkah laku tidak sesuai dan mengetahui hak mereka untuk berkata tidak. Pendidikan ini bukan bertujuan menggalakkan perlakuan negatif tetapi membantu pelajar melindungi diri daripada eksploitasi dan penderaan.
Kedua, saringan psikologi dan latar belakang juga perlu diperkasa bagi memastikan individu yang memasuki profesion perguruan mempunyai tahap kestabilan emosi dan moral yang baik. Di samping itu, guru diwajibkan untuk mengikuti latihan berkaitan etika profesion, psikologi pelajar dan batas hubungan profesional. Program pembangunan profesional secara berkala sepanjang perkhidmatan boleh membantu meningkatkan kesedaran guru tentang tanggungjawab mereka.
Ketiga, sekolah perlu menyediakan saluran aduan yang selamat, terjamin kerahsiaan dan mudah diakses oleh pelajar. Pelajar mesti diberi keyakinan bahawa laporan mereka akan disiasat secara adil tanpa ancaman atau diskriminasi. Pihak sekolah termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengambil tindakan segera terhadap mana-mana individu yang disyaki terlibat sementara siasatan dijalankan.
Pendekatan ini penting untuk melindungi mangsa lain daripada menjadi sasaran di masa hadapan selain memastikan sekolah terus kekal menjadi institusi pendidikan yang terbaik dalam menuntut ilmu.

