Memelihara ihsan dan kesucian sunah dalam mengurus amukan haiwan korban
Kekhilafan terbesar dalam pendekatan ini bermula apabila mencampuradukkan dua bab hukum yang berbeza sifatnya akibat alpa terhadap metodologi penyusunan kitab-kitab hadis muktabar.

TRAGEDI amukan haiwan korban yang mengorbankan nyawa baru-baru ini bukan sekadar meninggalkan duka, malah mencetuskan perbincangan ilmiah yang subur dalam kalangan masyarakat. Ia disusuli pula dengan insiden tembakan kaki lembu korban di dataran korban untuk mengawal amukan yang berlaku.
Demi mencari jalan keluar yang selamat dan pantas, segelintir pihak mengemukakan pandangan yang membenarkan tindakan menembak kaki lembu dari jauh atas alasan “darurat ancaman nyawa”. Hujah yang paling popular dicanang untuk menghalalkan tindakan agresif ini ialah kisah unta ghanimah yang melarikan diri dalam musafir Nabi SAW bersama para Sahabat.
Tindakan nekad seorang sahabat memanah seekor unta yang lari melepaskan diri telah diperakui oleh Nabi sebagai tindakan tepat sejajar dengan situasi yang diperlukan. Namun, jika diteliti melalui neraca usul fiqh yang terarah, penyandaran dalil ini sebenarnya merupakan satu bentuk qiyas ma’al fariq, iaitu analogi tersasar yang cuba digunakan sehingga merosakkan syarat sah ibadah.
Kekhilafan terbesar dalam pendekatan ini bermula apabila mencampuradukkan dua bab hukum yang berbeza sifatnya akibat alpa terhadap metodologi penyusunan (manhaj) kitab-kitab hadis muktabar. Memang benar dalam naskhah cetakan Sahih Muslim hari ini, hadis unta musafir yang melarikan diri itu diletakkan di bawah tajuk besar Kitab al-Adhahi (Kitab Korban).
Namun perlu disedari sejarah teks hadis ini iaitu imam Muslim sendiri langsung tidak menulis sebarang tajuk bab (tajuk kecil) dalam kitab beliau. Teks asal Sahih Muslim hanya mengandungi nama kitab besar sahaja, manakala tajuk-tajuk bab yang terperinci di dalam naskhah hari ini dikatakan hasil ijtihad Imam al-Nawawi beratus tahun kemudian.
Imam Muslim menghimpunkan hadis unta liar di bawah Kitab al-Adhahi semata-mata kerana lafaz hadisnya mengandungi hukum umum tentang alat menyembelih (seperti larangan menggunakan gigi dan kuku). Penggabungan ini bersifat tematik longgar atas faktor persamaan teknikal menumpahkan darah, bukannya kerana persamaan hukum ritual korban.
Bukti paling nyata bahawa kelompok bab susunan Imam Muslim ini bercampur-campur dan bukannya perbincangan ritual korban secara suci adalah pada urutan babnya. Sebelum Kitab al-Adhahi ditutup untuk memasuki Kitab al-Asyribah (Kitab Minuman), diletakkan satu tajuk iaitu “Bab haram menyembelih kerana selain Allah” yang membawa hadis riwayat Saidina Ali bin Abi Thalib RA tentang larangan menyembelih untuk selain Allah, melaknat bapa dan sebagainya.
Sesiapa yang mendalami ilmu agama pasti tahu bahawa sembelihan syirik dan melaknat bapa tiada kaitan dengan syiar korban hari raya. Jika kedudukan hadis dalam naskhah Muslim dijadikan alasan mutlak untuk hukum ritual korban, cara berfikir sedemikian akan menjadi sangat celaru. Maka, tindakan sebahagian pihak yang menggunakan hadis unta liar musafir untuk menghalalkan tembakan ke atas lembu korban, hanya kerana hadis itu berada dalam Kitab Korban adalah satu kesilapan istidlal (pengambilan dalil).
Sebaliknya, Imam al-Bukhari ternyata jauh lebih cermat dalam isu ini kerana beliau menulis sendiri keseluruhan tajuk babnya sebagai representasi fiqh peribadinya (fiqhul Bukhari fi tarajimihi). Menyedari sifat kedua-dua ibadah ini tidak sama, Imam al-Bukhari secara tegas mengasingkan kes unta liar musafir tersebut keluar terus daripada bab korban.
Beliau meletakkannya di bawah Kitab al-Zaba’ih wa al-Said (Kitab Sembelihan dan Buruan) dengan tajuk bab yang ditulisnya sendiri: “Bab: Mana-mana haiwan ternakan yang bertukar menjadi liar, maka statusnya adalah sama seperti binatang buruan”. Al-Bukhari memahami bahawa kes unta dipanah itu adalah semata-mata bab menyelamatkan harta dan bekalan makanan biasa, bukannya acuan untuk ritual ibadah korban.
Acuan asal tatacara korban gaya Nabi SAW
Ibadah korban pula adalah ritual khusus (ta’abbudi) yang bertujuan menumpahkan darah demi mendekatkan diri kepada Allah SWT. Disebabkan sifatnya sebagai ibadah mahdah, acuan pelaksanaannya wajib mencontohi petunjuk asal Nabi SAW sebagaimana yang digambarkan dalam hadis Anas bin Malik RA, iaitu Baginda mengorbankan dua ekor kambing bertanduk dengan merebahkan dan menyembelih kedua-duanya menggunakan tangan Baginda sendiri sambil bertakbir dan meletakkan kaki di atas rusuk haiwan tersebut.
Sentuhan fizikal yang menenteramkan ini dikuatkan lagi dengan perintah Rasulullah SAW menerusi hadis Syaddad bin Aus RA agar setiap Muslim berbuat ihsan dalam sembelihan dengan cara menajamkan pisau dan memberikan keselesaan kepada haiwan ternakan. Menggantikan kelembutan sunah ini dengan peluru yang menembusi daging dan mematahkan tulang sama sekali telah merobek prinsip ihsan tersebut.
Lebih kritikal lagi, syarat sah haiwan korban dituntut bebas daripada empat kecacatan utama, termasuk sifat pincang atau tempang yang jelas. Batasan waktu kebebasan daripada cacat cela ini wajib dipelihara merangkumi tempoh sebelum (qabl) dan semasa (‘ind) pisau diletakkan di leher haiwan. Imam al-Nawawi, sosok yang mencipta tajuk bab dalam Sahih Muslim tadi, menegaskan perkara ini dengan sangat jelas dalam kitab fiqhnya sendiri, al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab iaitu:
“Jika seseorang telah merebahkan haiwan untuk dikorbankan dalam keadaan ia sihat walafiat, tiba-tiba haiwan itu menggelupur (bertindak liar) dan patah kakinya atau menjadi pincang di bawah pisau (ketika hendak disembelih), maka tidak sah (batal) korbannya menurut pandangan yang paling sahih.
Ini kerana ia dikira haiwan yang pincang semasa disembelih.” Berdasarkan formula fiqh yang mantap ini, tindakan menembak atau memanah kaki lembu dari jauh secara sengaja pastinya merosakkan status korban tersebut kerana haiwan disembelih dalam keadaan pincang. Seseorang yang menggunakan tajuk bab ciptaan Imam al-Nawawi untuk menghalalkan tembakan korban sebenarnya telah menyalahi fatwa peribadi Imam al-Nawawi sendiri.
Kita perlu bijak membezakan antara status daging yang halal dimakan dengan status ibadah korban yang sah. Sekiranya lembu itu mati atau cedera akibat tembakan sebelum sempat disembelih secara normal, dagingnya memang halal dimakan sebagai sembelihan darurat berdasarkan hadis unta musafir tetapi ibadah korbannya sudah dikira runtuh dan pemiliknya hanya mendapat pahala sedekah daging biasa.
Islam sebagai agama yang syamil sebenarnya sudah menyediakan jalan keluar yang lebih profesional tanpa perlu terburu-buru ‘menampilkan’ hukum kelonggaran yang merosakkan ibadah. Memandangkan waktu korban adalah luas merangkumi empat hari sehingga akhir hari Tasyrik, tindakan terbaik apabila haiwan mula stres adalah menangguhkan sembelihan ke hari berikutnya agar haiwan kembali tenang.
Solusi kontemporari patuh syariah
Pihak penganjur sepatutnya memanfaatkan kepakaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk mengendalikan haiwan agresif menggunakan ubat pelali (tranquilizer) yang terbukti selamat dan mampu menidurkan haiwan secara saintifik tanpa mencederakan fizikal atau mematahkan tulangnya.
Bagi kariah yang mempunyai keupayaan kewangan, penyediaan dana kontingensi untuk membeli lembu pengganti (lembu ekspres) di pasaran adalah langkah paling tuntas untuk memastikan ibadah hari raya tetap berjalan, manakala lembu yang mengamuk itu dijinakkan kemudian untuk tujuan lain.
Kebergantungan melampau sebahagian pihak kepada “fatwa senjata api” ini perlu dihindari secara bijak laksana. Pengalaman ratusan tahun ibadah korban di Malaysia membuktikan bahawa amukan haiwan kebiasaannya berpunca daripada pengabaian SOP keselamatan seperti membiarkan orang awam berkerumun terlalu rapat, ikatan tali yang longgar dan suasana bising yang mencetuskan panik kepada haiwan ternakan.
Sesungguhnya menjadi tanggungjawab ilmiah ke atas semua pihak dalam kalangan umat Islam untuk tidak membiasakan perkara yang salah atas nama darurat. Isu keselamatan di lapangan korban tidak sepatutnya diselesaikan dengan cara mengorbankan ketulenan hukum-hakam syarak.
Tragedi yang berlaku di lapangan wajarlah dijadikan loceng amaran untuk kita menaikkan taraf profesionalisme para petugas menerusi kursus pengendalian haiwan yang bertauliah, bukannya dengan melonggarkan sempadan ibadah mahdah mengikut selera akal semata-mata.
Marilah kita kembali memelihara kesucian syiar ini mengikut neraca sunah yang asal, agar setiap titisan darah korban yang tumpah benar-benar menjadi saksi ketaatan kita yang bersih daripada sebarang kecacatan pengurusan manusia.

