100 sukarelawan tanam bakau, kutip sampah di Port Dickson

SEBANYAK 500 anak pokok bakau ditanam sempena Hari Paya Bakau Sedunia di sekitar Pantai Tanjung Biru, Tanjung Tuan dan Pantai Cermin, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 29 Julai 2024.

Program yang dianjurkan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) itu menanam pokok bakau minyak spesies Rhizophora apiculata.

Pengarah program, Noor Fadzli Shah berkata, program ini disertai seramai 100 sukarelawan.

Katanya, program ini juga bertujuan untuk menjayakan program Penghijauan Malaysia-Kempen Penanaman 100 juta pokok yang bermula sejak 2021 hingga 2025.

Noor Fadzli menambah, aktiviti itu diharap dapat memulihkan semula sebahagian daripada kawasan ekopelancongan Port Dickson dengan tanaman pokok bakau.

Pada program sama, sukarelawan turut melakukan aktiviti pembersihan pantai dan berjaya mengutip hampir 300 kilogram sampah.

“Program penanaman pokok bakau dan spesies yang sesuai akan diteruskan di pesisiran pantai negara khususnya di Negeri Sembilan, meliputi aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya bakau bagi peningkatan kesedaran masyarakat.

“Melalui kerjasama sukarelawan, kami berjaya menanam 500 anak pokok bakau di tiga lokasi pantai Port Dickson iaitu Pantai Tanjung Biru, Tanjung Tuan dan Pantai Cermin.

“Program ini diharap dapat memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan generasi muda mengenai kepentingan memelihara hutan serta alam sekitar.

“Antara peranan penting yang boleh difahami mengenai paya bakau ialah ia selaku ‘benteng’ kepada hakisan ombak, ribut dan banjir selain memberi malar hijau kepada kawasan pantai atau muara sungai yang terbuka,” katanya.