UM dedah pendidikan halal dari kecil bersama kanak-kanak

Peserta program terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan India, sekali gus mencerminkan nilai keterangkuman dalam usaha menyebarluaskan kesedaran berkaitan pemakanan halal.

Feature Image (1)

KUALA LUMPUR, 20 Jun 2026 – Jabatan Fiqh Usul dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Halal UM (University Malaya Halal Research Centre, UMHRC) telah menganjurkan program komuniti yang bertajuk Strengthen in Halal & Haram (SILAH) di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah, Jalan Cheras, Kuala Lumpur.

Program ini bertujuan meningkatkan kefahaman kanak-kanak mengenai konsep halal dan haram dalam pemakanan serta kepentingan memilih makanan yang halal lagi baik dalam kehidupan seharian.

Program yang berlangsung melibatkan 45 orang peserta yang berusia antara 7 hingga 13 tahun. Menariknya, peserta program terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan India, sekali gus mencerminkan nilai keterangkuman dalam usaha menyebarluaskan kesedaran berkaitan pemakanan halal.

Program tersebut turut dibantu oleh 35 orang urusetia yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi Jabatan Fiqh dan Usul dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM). Turut hadir memeriahkan program ialah penasihat program, Dr. Norhidayah Pauzi yang meluangkan masa bersama para peserta dan urusetia sepanjang program berlangsung.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM), memberikan peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi Universiti Malaya untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di bilik kuliah melalui aktiviti pendidikan komuniti yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

Pemilihan kanak-kanak sebagai peserta utama dibuat bagi menerapkan kefahaman berkaitan halal dan haram sejak usia muda, sekali gus membantu membentuk generasi yang lebih peka terhadap pemilihan makanan menurut syariat Islam.

Sepanjang program berlangsung, para peserta telah mengikuti pelbagai aktiviti yang dirancang secara interaktif dan menyeronokkan. Program dimulakan dengan sesi ice breaking bagi mewujudkan suasana mesra serta meningkatkan keyakinan peserta untuk berinteraksi antara satu sama lain.

Seterusnya, peserta mengikuti sesi perkongsian ilmu yang disampaikan oleh Adam Hakeem Amran, mahasiswa APIUM yang juga merupakan sebahagian daripada urusetia program. Dalam sesi tersebut, beliau menerangkan konsep halal dan haram dalam pemakanan serta kepentingan membuat pilihan makanan yang menepati tuntutan syariat Islam serta disertai dengan kuiz interaktif bersama peserta untuk mengukuhkan kefahaman mereka.

Program diteruskan dengan aktiviti eksplorasi berkonsepkan explorace yang merangkumi beberapa stesen pembelajaran berkaitan isu halal dan haram dalam pemakanan. Melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, peserta berpeluang mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh dalam suasana yang lebih praktikal dan menyeronokkan.

Pengarah program, Lutfir Rahman Idris menjelaskan kejayaan Program SILAH banyak dipengaruhi oleh kerjasama dan dedikasi yang ditunjukkan oleh ahli jawatankuasa dan urusetia sepanjang program berlangsung.

Beliau berkata, semangat kerja berpasukan, komunikasi yang berkesan serta komitmen tinggi daripada semua urusetia telah membantu memastikan setiap aktiviti dapat dijalankan dengan lancar dan mencapai matlamat yang ditetapkan.

“Setiap ahli memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini. Kerjasama yang diberikan bukan sahaja memudahkan pelaksanaan aktiviti, malah membolehkan objektif program dicapai dengan lebih berkesan,” ujarnya.

Sementara itu, Dr. Norhidayah menjelaskan bahawa Program SILAH memberi penekanan bahawa pembentukan tabiat memilih makanan halal perlu diterapkan sejak usia kanak-kanak kerana nilai dan amalan yang dibentuk pada peringkat awal akan memberi kesan berpanjangan dalam kehidupan mereka.

“Melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif dan praktikal, peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan baharu, malah berpeluang mengaplikasikannya secara langsung menerusi aktiviti yang dijalankan sepanjang program. Tahniah diucapkan kepada Pengarah program dan semua urusetia di atas inisiatif yang hebat ini,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Pengurus Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah, Faezah Md Sairy turut merakamkan penghargaan kepada mahasiswa dan mahasiswi Universiti Malaya atas komitmen mereka dalam menjayakan program tersebut. Beliau menyifatkan kehadiran para mahasiswa bukan sahaja berjaya menyampaikan ilmu kepada peserta, malah turut mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna.

“Kami amat menghargai usaha yang telah dilakukan oleh pihak Universiti Malaya dalam menganjurkan program ini. Diharapkan jalinan kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang agar lebih ramai kanak-kanak mendapat manfaat daripada program pendidikan yang memberi penekanan kepada aspek halal dan haram dalam kehidupan seharian,” katanya.

Tambahan itu, Dr. Norhidayah menjelaskan bahawa Program SILAH selari dengan aspirasi Dasar Halal Negara yang turut memberi penekanan kepada aspek pendidikan, kesedaran dan literasi halal dalam kalangan masyarakat. Menurut beliau, usaha meningkatkan kefahaman mengenai halal tidak seharusnya tertumpu kepada aspek pensijilan dan industri semata-mata, sebaliknya perlu bermula daripada pembentukan pengetahuan dan kesedaran sejak usia muda.

“Kanak-kanak merupakan generasi pewaris yang akan membentuk corak penggunaan pada masa hadapan. Oleh itu, pendedahan awal mengenai konsep halal dan haram dalam pemakanan amat penting bagi melahirkan masyarakat yang bukan sahaja memahami tuntutan syariah, malah mampu membuat pilihan makanan secara lebih beretika, bertanggungjawab dan berinformasi,” jelas beliau.

Dalam era globalisasi yang menyaksikan kepelbagaian produk makanan dan rantaian bekalan yang semakin kompleks, kesedaran halal perlu diperkukuh melalui pendekatan pendidikan yang berterusan dan menyeluruh.

Kejayaan Program SILAH membuktikan bahawa kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dan komuniti setempat mampu menjadi platform berkesan dalam memperluaskan literasi halal dalam kalangan masyarakat.

Selaras dengan aspirasi Dasar Halal Negara, program seumpama ini diharapkan dapat menyumbang kepada pembentukan generasi yang lebih celik halal, berpengetahuan serta mampu membuat keputusan yang selari dengan prinsip halal dan gaya hidup yang baik.