“SETIAP pengalaman adalah peluang untuk belajar dan berkembang.”
Itu kata-kata semangat yang terpacul dari mulut Yeoh Wanyu, 23, ketika memulakan perbualan baru-baru ini.
Anak bongsu daripada dua adik-beradik yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang ini bukan sahaja seorang mahasiswa pergigian yang cemerlang tetapi juga bakal menjadi seorang aktivis komuniti yang berdedikasi.
Pelajar tahun akhir jurusan Sarjana Muda Pembedahan Pergigian di Universiti Malaya (UM) ini mempunyai rekod akademik yang membanggakan.
Dengan pencapaian akademik yang konsisten cemerlang dari peringkat sekolah rendah hingga ke universiti, Wanyu membuktikan bahawa kecemerlangan akademik dan penglibatan aktif dalam aktiviti ko-kurikulum boleh berjalan seiring.
“Saya percaya pendidikan bukan sekadar pencapaian akademik tetapi juga tentang bagaimana kita menggunakan ilmu untuk memberi manfaat kepada masyarakat,” ujar Wanyu yang kini memegang jawatan sebagai Ketua Editor Persatuan Mahasiswa Pergigian Universiti Malaya (DENSOC).
Penglibatan Wanyu dalam pelbagai projek dan aktiviti kampus telah membentuk keperibadiannya sebagai seorang pemimpin dan bakal graduan yang serba boleh.
Sebagai pengarah projek “Arte of Muse” pada tahun 2022, dia belajar untuk menguruskan projek berskala besar dan berinteraksi dengan pihak pengurusan kolej.
“Projek ini mengajar saya bahawa seni boleh menjadi medium yang kuat untuk menyatukan komuniti,” jelasnya.
Pencapaian Wanyu tidak terhad di peringkat tempatan sahaja.
Sebagai pengarah projek International Dental Physiology Quiz (IDPQ), dia berjaya menganjurkan sebuah pertandingan peringkat antarabangsa yang menarik penyertaan 138 peserta dari lapan buah negara.
“Pengalaman ini mengukuhkan keyakinan saya untuk terus menganjurkan program-program yang memberi manfaat kepada komuniti akademik dan profesional pergigian pada masa hadapan,” katanya dengan penuh semangat.
Wanyu juga aktif dalam Persatuan Pelajar Pergigian Malaysia (MDSA) di peringkat nasional, membuktikan komitmennya terhadap pembangunan profesional dalam bidang pergigian.
Penyertaan dalam program MUNUS (Universiti Malaya – National University of Singapore) pada tahun 2024 pula membuka peluang untuk dia membina jaringan profesional di peringkat antarabangsa.
Namun, apa yang membezakan Wanyu dengan mahasiswa cemerlang lain di kampus adalah komitmennya terhadap khidmat masyarakat.
Penglibatan dalam program larian amal ClapRun 2024 dan projek SULAM Bersama NGO Buku Jalanan Chow Kit (BJCK) menunjukkan keprihatinannya terhadap isu-isu sosial.
“Saya sentiasa berasa terpanggil untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik terutamanya dalam aspek kesihatan pergigian.
“Motivasi ini hadir apabila sentiasa memikirkan persoalan: Jika bukan kita yang mendekati mereka, siapa lagi; dan jika bukan sekarang, bila lagi?” soalnya secara retorik.
Melalui projek SULAM ini, Wanyu berjaya menghasilkan sebuah buku panduan kesihatan pergigian khusus untuk kanak-kanak tanpa dokumen di sekitar Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.
“Saya berharap buku ini dapat membantu meningkatkan kesedaran tentang kebersihan mulut dalam kalangan kanak-kanak yang kurang bernasib baik ini.
Saya percaya apabila mereka mula yakin untuk menjaga kebersihan gigi dan diri sendiri, itu akan menjadi titik tolak kepada usaha mereka untuk mengubah diri serta keluarga masing-masing,” ujarnya.
Anak kepada pasangan pesara guru dan jurutera ini menjadikan kedua ibu bapa sebagai suri teladan hidupnya.
“Merekalah yang pertama mengajar saya erti dedikasi dan kerja keras. Tanpa asuhan mereka dan nilai positif hidup yang diterapkan kepada kami adik-beradik, belum tentu saya akan berjaya melangkah sejauh ini,” kata Wanyu dengan penuh terharu.
Walaupun jadualnya padat dengan aktiviti akademik dan ko-kurikulum, Wanyu masih meluangkan masa untuk hobi iaitu membaca buku dan bermain catur.
“Hobi-hobi ini membantu saya mengimbangi kehidupan dan meningkatkan kemahiran berfikir secara strategik,” jelasnya.
Bagi Wanyu, setiap projek dan aktiviti yang disertainya telah mengajar nilai kepimpinan, kerjasama dan dedikasi.
“Saya berasa bangga dapat menyumbang kepada komuniti dan berharap dapat terus membawa perubahan positif dalam bidang pergigian dan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.
Semoga perjalanan Wanyu akan terus menginspirasi ramai lagi mahasiswa, tanpa mengira latar belakang pengajian untuk sama-sama menyumbang sumbangan yang bermakna kepada masyarakat, selain terus bertungkus-lumus mencapai kecemerlangan akademik.