IKPD mampu turunkan kemiskinan di Sabah
Paras kemiskinan terkini di Malaysia secara keseluruhannya adalah dengan nilai purat PGK sebanyak RM2,705, di mana bagi negeri Sabah adalah RM2,843.

ISU kemiskinan di Malaysia merupakan antara cabaran utama yang terus diberi perhatian oleh kerajaan dalam usaha memastikan kesejahteraan rakyat dan pembangunan seimbang. Walaupun negara telah mencatat pelbagai kejayaan dalam pembangunan ekonomi sejak beberapa dekad lalu.
Namun, isu kemiskinan masih wujud terutama di negeri-negeri tertentu seperti Sabah. Paras kemiskinan terkini di Malaysia secara keseluruhannya adalah dengan nilai purat PGK sebanyak RM2,705, di mana bagi negeri Sabah adalah RM2,843.
Nilai purata PGK ini adalah kedua tertinggi di Malaysia selepas Wilayah Kuala Lumpur. Negeri Sabah sering dikaitkan dengan kadar kemiskinan yang lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain disebabkan oleh faktor geografi, taburan penduduk yang luas, kekurangan infrastruktur serta jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Secara tradisional, kemiskinan diukur berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) isi rumah. Pendekatan ini menilai sama ada pendapatan seseorang atau sesebuah keluarga berada di bawah garis kemiskinan yang ditetapkan oleh kerajaan. Walaupun ukuran ini penting, ia tidak mampu menggambarkan keseluruhan realiti kehidupan masyarakat. Dalam konteks ini, penggunaan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (IKPD) dilihat sebagai satu pendekatan yang lebih komprehensif untuk memahami dan menangani kemiskinan secara berkesan di Sabah.
Terdapat keluarga yang mempunyai pendapatan melebihi garis kemiskinan tetapi masih menghadapi kekurangan dalam aspek pendidikan, kesihatan, perumahan dan akses kepada kemudahan asas. Oleh itu, IKPD diperkenalkan bagi mengukur kemiskinan berdasarkan pelbagai dimensi kehidupan yang mempengaruhi kesejahteraan individu dan keluarga.
IKPD menilai kemiskinan melalui beberapa dimensi utama seperti pendidikan, kesihatan dan taraf hidup. Dalam dimensi pendidikan, aspek seperti tahap persekolahan dan kehadiran anak-anak ke sekolah diambil kira. Di Sabah, penggunaan IKPD amat relevan memandangkan masih banyak kawasan luar bandar dan pedalaman yang berhadapan dengan pelbagai cabaran pembangunan. Terdapat komuniti yang tinggal jauh dari pusat bandar dan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air bersih.
Dalam sesetengah kawasan, akses kepada institusi pendidikan dan kemudahan kesihatan juga masih terhad. Walaupun sesetengah isi rumah mungkin memperoleh pendapatan yang mencukupi melalui aktiviti pertanian atau perikanan. Namun, mereka masih mengalami kekurangan dari segi kemudahan dan peluang pembangunan. Oleh itu, ukuran kemiskinan berdasarkan pendapatan sahaja tidak mampu menggambarkan keadaan sebenar yang dihadapi oleh masyarakat di Sabah.
Pelaksanaan IKPD membantu kerajaan mengenal pasti kawasan dan kelompok masyarakat yang memerlukan perhatian khusus. Data yang diperoleh membolehkan perancangan dasar dilakukan secara lebih bersasar dan berkesan. Sebagai contoh, jika sesuatu kawasan dikenal pasti mengalami kekurangan dalam aspek pendidikan, kerajaan boleh memberi tumpuan kepada pembinaan sekolah baharu, penyediaan kemudahan pembelajaran digital atau pemberian bantuan persekolahan.
Jika masalah utama berkaitan kesihatan, usaha boleh difokuskan kepada peningkatan kemudahan klinik, perkhidmatan kesihatan bergerak dan program pemakanan masyarakat. Pendekatan ini memastikan sumber yang diperuntukkan dapat dimanfaatkan secara optimum untuk menangani punca sebenar kemiskinan.
Selain itu, IKPD turut memainkan peranan penting dalam menilai keberkesanan program pembangunan yang dilaksanakan di Sabah. Melalui pemantauan berkala, kerajaan dapat mengukur perubahan yang berlaku dalam setiap dimensi kemiskinan dan mengenal pasti aspek yang masih memerlukan penambahbaikan. Sebagai contoh, peningkatan akses kepada elektrik dan air bersih mungkin menunjukkan kemajuan dalam taraf hidup, manakala peningkatan kadar kehadiran ke sekolah pula mencerminkan keberkesanan intervensi dalam sektor pendidikan.
Dengan adanya data yang lebih terperinci, dasar pembangunan dapat disesuaikan mengikut keperluan semasa masyarakat. Penggunaan kaedah pengukuran IKPD juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menekankan usaha membasmi kemiskinan dalam semua bentuk dan dimensi. Kemiskinan bukan sekadar isu kekurangan wang tetapi turut melibatkan kekurangan peluang, akses kepada perkhidmatan asas dan penyertaan dalam pembangunan sosial.
Oleh itu, pendekatan pelbagai dimensi membolehkan kerajaan melihat kemiskinan secara lebih menyeluruh dan seterusnya merangka strategi yang lebih berkesan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah. Walau bagaimanapun, kejayaan IKPD dalam menurunkan kemiskinan di Sabah bergantung kepada pelaksanaan dasar yang konsisten dan kerjasama pelbagai pihak. Kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti setempat perlu berganding bahu bagi memastikan setiap intervensi yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Kesimpulannya, Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi merupakan instrumen yang penting dalam usaha menurunkan kemiskinan di Sabah. Pendekatan ini memberikan gambaran yang lebih menyeluruh mengenai keadaan sebenar masyarakat dengan mengambil kira pelbagai aspek kehidupan selain pendapatan.
Melalui penggunaan IKPD, kerajaan dapat merancang dan melaksanakan dasar yang lebih tepat, berkesan dan inklusif. Dengan komitmen yang berterusan daripada semua pihak, penggunaan indeks ini berpotensi menjadi pemangkin utama dalam meningkatkan taraf hidup rakyat serta mengurangkan jurang pembangunan di Sabah secara mampan.

